Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Awal Ashaari mengaku tidak bersalah rosakkan palang pagar sebuah perumahan

Anggaran Waktu Membaca:

PETALING JAYA: Pengacara popular Malaysia Awal Ashaari atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari didakwa di Mahkamah Majistret pada Selasa (17 Mei) atas tuduhan melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar pondok pengawal milik pengurusan sebuah perumahan di Damansara.

Ahmad Awaluddin, 41 tahun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

“Saya mengaku tidak bersalah,” jawab Ahmad Awaluddin yang memakai kot biru gelap ketika ditanya pengakuannya.

Personaliti televisyen itu didakwa melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar milik Pengurusan Challis Damansara yang nilai kerugiannya dianggarkan RM600 (S$190), di pondok pengawal Challis Damansara, Jalan PJU 3/30, Sunway Damansara, pada 11.30 pagi, 16 April lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan tidak lebih dari lima tahun, denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Wafi Husain menawarkan jaminan RM5,000 (S$1,580) dengan seorang penjamin.

Peguam M Reza Hassan dibantu Hamizah Sobree yang mewakili Ahmad Awaluddin memohon jaminan RM3,000 (S$948) atas alasan pendapatan anak guamnya sebagai pengacara tidak konsisten.

“Anak guam saya menanggung isteri, dua anak serta ibu bapanya yang tua. Saya mohon jaminan yang  ditawarkan oleh pendakwaan dikurangkan,” katanya.

Mahkamah membenarkan Ahmad Awaluddin diikat jamin RM2,000 (S$632) dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Julai ini bagi sebutan kes.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan