Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Asam garam dalam kehidupan apabila terima kritikan dari yang lebih berpengalaman, kata Naim Daniel

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Topik pasangan sepupu, Naim Daniel dan Sissy Imann 'dimarahi' juri tetap program realiti, Famili Duo iaitu Mas Idayu menjadi polemik hangat dibincangkan pelbagai pihak, sejak seminggu lalu.

Naim dan Sissy menerima kritikan pedas dari Mas Idayu selepas persembahan minggu keenam yang bertemakan Irama Tradisional ketika mendendangkan lagu Jampi dalam versi keroncong.

Sissy gagal menahan air matanya ketika dikritik Mas Idayu. Malahan penyanyi lagu Mungkin Kamu itu meluahkan perasaan kecewa berikutan kegagalan memberikan persembahan terbaik sehingga mengecewakan juri, Naim dan penonton.

Sissy juga membuat keputusan membatalkan majlis pelancaran album sulungnya yang dirakamkan di Studio Abbey Road, di London yang dijadualkan pada 2 Februari ini.

Mengulas adakah ia mengganggu persembahan dalam program Famili Duo separuh akhir dengan tema Legenda/Idola pada Ahad (29 Jan) Naim berkata, beliau seorang yang mudah hadam dan serap sesuatu perkara, mungkin sebab sudah berada dalam industri hampir 20 tahun.

"Bagi saya, ia adalah asam garam dalam kehidupan apabila individu lebih berpengetahuan berkata-kata.

Saya percaya program Famili Duo berbentuk kekeluargaan, jadi ia sepatutnya bebas tekanan.

Tekanan mungkin datang dari segi mahu memikirkan konsep, lagu dan sebagainya. Saya dan Sissy berada di pentas ini atas kapasiti sebagai penghibur, pemuzik, penyanyi dan artis.

Dan situ, saya merasakan apabila Mummy (Mas Idayu) memberikan komen pedas, saya cepat-cepat hadam. Cuma, apa yang disampaikan ada harganya, mungkin saya mudah serap tetapi tidak kepada Sissy kerana Sissy pernah ada sejarah hitam dalam program realiti. Jadi mungkin perkara itu boleh dikatakan luka lama berdarah semula. Saya tetap berpendirian, pasangan sudah melakukan yang terbaik," katanya kepada BH Online.

Menafikan memberi tekanan kepada persembahan, penyanyi lagu Sumpah dan Purnama itu berkata setiap yang berlaku adalah pengalaman.

"Nak kata saya sedih teruk, tidak juga sebab perjuangan harus diteruskan.

Macam Sissy saya faham, jadi saya perlu jadi kekuatan buatnya bagi memastikan semuanya berjalan dengan lancar. Tak boleh kalau Sissy sedih, saya juga sedih, nanti lain pula jadinya," katanya.

Mengulas sekiranya tersingkir dalam program Famili Duo peringkat separuh akhir sebab hanya empat pasangan terpilih, Naim berkata, beliau tetap bersyukur, sekurang-kurangnya berpuas hati kerana sudah mencuba sehabis baik.

"Saya tetap berbangga dapat bekerjasama dengan Sissy, lagipun, penyertaan kami hanya untuk berseronok.

Program Famili Duo seperti persembahan bersama rakan-rakan, kami selalu jumpa dan berborak mengenai pelbagai perkara, mungkin ada tekanan dari segi memikirkan konsep tetapi selebihnya kami berseronok sahaja," katanya, seperti yang dipetik oleh BH Online.
Sumber : Agensi berita/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan