Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Artis sertai misi bantuan mangsa gempa dan tsunami di Palu

Bekas peserta Akademi Fantasia Musim kelima, Heliza Helmi tidak dapat menyembunyikan rasa teruja berpeluang menyertai misi bantuan kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) ke Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia.

Anggaran Waktu Membaca:
Artis sertai misi bantuan mangsa gempa dan tsunami di Palu

Heliza Helmi. (Gambar: Heliza Helmi/Facebook)

Diterbitkan : 15 Oct 2018 09:07AM Dikemas Kini : 15 Oct 2018 05:17PM

SEPANG: Bekas peserta Akademi Fantasia Musim kelima, Heliza Helmi tidak dapat menyembunyikan rasa teruja berpeluang menyertai misi bantuan kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) ke Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia.

Penyanyi dan pengacara terkenal itu berkata beliau bersyukur dipelawa pihak MAPIM untuk menyertai misi kali kedua pertubuhan berkenaan kerana secara peribadi berasa begitu terkesan dengan nasib saudara seagama yang diuji dengan tragedi dahsyat gempa bumi dan tsunami pada petang 28 Sep lalu.

“Alhamdulillah hasrat untuk pergi sendiri ke lokasi tragedi itu tercapai dan saya akan sedaya upaya dengan kemampuan yang ada untuk membantu pihak MAPIM mengedarkan pek bantuan kepada mangsa apabila tiba di sana.

“Penyertaan dalam misi ini juga pastinya akan memberi pengajaran tersendiri kepada saya,” katanya ketika ditemui Bernama selepas majlis pelepasan misi kemanusiaan MAPIM ke Palu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semalam (14 Okt).

Heliza, 32 tahun, yang turut ditemani adiknya, Nur Hazwani Afiqah Helmi, 21 tahun, juga berharap orang ramai terus memberikan bantuan kepada mangsa di Palu yang jelas memerlukan sokongan untuk memulakan kehidupan baharu.

Bagi seorang lagi artis, Eizlan Yusof yang mempunyai tauliah Leftenan Kolonel (Bersekutu) Angkatan Pertahanan Awam (APM), beliau juga berhasrat mengikuti misi bantuan kemanusiaan ke Palu.

“Sepatutnya saya menyertai misi ini, namun atas sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan, saya terpaksa tarik diri dan mungkin akan ke sana (Palu) dalam misi MAPIM seterusnya,” katanya.

Gempa bumi dan tsunami yang melanda Palu setakat ini sudah mengorbankan lebih 2,000 nyawa dengan lebih 30,000 lagi penduduk terjejas akibat tragedi berkenaan. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan