Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Artis-artis lama dan baru bergabung hasilkan lagu raya baru; tambah kemeriahan Aidilfitri tahun ini

Selepas dua tahun masyarakat menyambut Lebaran dalam suasana yang agak suram ekoran langkah-langkah keselamatan yang ketat, tahun ini sambutan dimeriahkan lagi dengan lagu-lagu raya baru oleh para penggiat seni tempatan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Selepas dua tahun masyarakat menyambut Lebaran dalam suasana yang agak suram ekoran langkah-langkah keselamatan yang ketat, tahun ini sambutan dimeriahkan lagi dengan lagu-lagu raya baru oleh para penggiat seni tempatan.

Menerusi projek lagu 'Raya #KembaliBersama', 12 artis tempatan lama dan baru bergabung suara untuk membangkitkan lagi semangat beraya pada Aidilfitri kali ini.

album cover raya kembali
Gambar: Yama Jive Productions


TERKENANG PENGALAMAN BERSAMA PENYANYI ASAL

Lagu 'Musafir Di Aidilfitri' yang pernah dinyanyikan Allahyarham S Jibeng boleh dikatakan antara lagu wajib berkumandang tatkala tibanya Hari Raya.

Ianya diberi nafas baru oleh salah seorang penyanyi era poh-yeh-yeh, A Romzi.

Merakamkan lagu tersebut sungguh bererti buat dirinya kerana beliau seangkatan dengan Allahyarham dan mengenalinya secara peribadi.

a romzi penyanyi
Penyanyi era poh-yeh-yeh, A Romzi. (Gambar: Syawal Yusoff)


"Saya biasa dengan S Jibeng waktu dulu di panggung negara kalau menyanyi, kadang-kadang sedih selalu ada, selalu bersama. Jadi kenangan manis itu yalah dengan orang macam begitu kalau dia nak nyanyi pun kita pimpin dia, pergi dekat mikrofon," kata A Romzi.

Penyanyi yang kini mencecah usia 76 tahun itu juga memastikan versinya berbeza dari versi-versi lagu 'Musafir di Aidilfitri' yang dirakamkan sebelum ini.

"Saya sampaikan saja sebagaimana untuk saya elakkan daripada dua penyanyi S Jibeng dan M Nasir. Saya terpaksa cari jalan tapi mudah-mudahan dapat diterima masyarakat," tambah A Romzi yang pernah popular pada tahun-tahun 1960an.

12 ARTIS, 6 LAGU BARU, 3 LAGU NYANYIAN SEMULA

Sebanyak enam lagu Raya yang baru dan tiga lagu yang dinyanyikan semula dirakamkan dalam Projek 'Raya #KembaliBersama'.

Persiapan bagi rakaman lagu-lagu tersebut sudah dimulakan sejak tiga bulan lalu.

sha'aban yahya
Penggubah lagu dan penerbit, Sha'aban Yahya.


Menurut penggubah lagu dan penerbit, Sha'aban Yahya, pelancaran koleksi lagu-lagu raya tersebut bertepatan pada masanya memandangkan keadaan pandemik kini beransur baik.

"Banyak benda yang kita nak kaitkan Hari Raya itu dengan keadaan sekarang COVID-19. Macam mana kita nak beraya dua tahun tanpa kebiasaan raya jadi apa yang kita buat. Kita ambil pengalaman itu dan luahkan dalam bentuk lagu," kata Encik Sha'aban.

Meskipun akur ramai yang mungkin terbiasa dengan lagu-lagu raya klasik, Encik Sha'aban berkata usaha ini bagi memberi lebih banyak pilihan kepada masyarakat.

"Kita tak nak bertanding dengan lagu-lagu klasik (Hari Raya). Biarlah ia di situ. Kita mahukan repertoir yang berbeza untuk pendengar," tambah Encik Sha'aban.

Seramai 12 artis tempatan lama dan baru terlibat untuk menjayakan projek tersebut.

Antaranya termasuk Mahani Mohd, Farisha Ishak, Arif Samsudin, Ahmad Stokin dan Elfee Ismail.

Encik Sha'aban memberitahu BERITAmediacorp, artis-artis baru yang ditampilkan juga merupakan mereka yang dilihat sebagai cukup berpotensi.

Antaranya ialah penyanyi muda berusia 16 tahun, Syaz Smooth.

Bekas juara pertandingan Suara WGS musim kedua itu membawakan lagu baru duet berjudul 'Syukur Raya' yang dinyanyikan bersama Putri Emily.

syaz smooth
Bekas juara pertandingan Suara WGS musim kedua, Syaz Smooth. (Gambar: Syawal Yusoff)


"Pertama kali Syaz dengar, ia sangat berbeza. Ia tidak seperti lagu Hari Raya biasa jadi sangat teruja," kata Syaz Smooth.

Sebelum ini, Syaz Smooth pernah mengeluarkan single lagu rayanya yang pertama, tahun lalu bersama seorang lagi artis tempatan.

ARTIS MUDA TERUJA DAPAT TIMBA PENGALAMAN DARIPADA ARTIS LAMA

Beliau lebih teruja kali ini kerana dapat bekerjasama artis-artis yang lebih mapan.

"Syaz berasa sangat gembira sebab ini juga pertama kali Syaz disertakan dalam koleksi atau album raya dan kedua, saya dapat bersama artis-artis legenda," ujar Syaz Smooth.

Seorang lagi artis yang menghargai gabungan lama dan baru dalam projek-projek silang generasi seperti itu ialah Zalelo.

"Saya rasa projek-projek ini menolong artis-artis baru macam saya dapat pengalaman lebih mendalam, dalam muzik, dalam 'networking', cara nak nyanyi dan juga memberikan kami wadah untuk menunjukkan bakat," kata Zalelo yang merupakan puteri kepada penyanyi Aman Shah.

zalelo
Zalelo, anak perempuan kepada penyanyi Aman Shah. (Gambar: Syawal Yusoff)


Zalelo dan teman duet, Danial Baharin, sama-sama memberikan nafas baru mereka kepada lagu 'Hari Raya' yang pernah dipopularkan Aziz M. Osman dan Noraliah Lee.

Meskipun pernah mengeluarkan single lagu Raya tahun lalu, Zalelo berasa 'tertekan' kerana lagu itu di luar daripada zon keselesaannya.

"Saya mulanya rasa takut kerana genre dia lain daripada genre yang saya biasa - R&B dengan hip hop. Pulak buat lagu Raya jadi macam ada tekanan sikitlah tapi Alhamdulillah, hasilnya sangat hebat.

"Versi kami lebih rancak dan ton (suara) Zalelo dengan Danial lain jadi bila nyanyi bersama macam unik," tambah Zalelo.

Lagu raya berentak dikir barat yang jarang didengar juga disertakan dalam koleksi tersebut menerusi lagu 'DK Sendu Aidilfitri' ciptaan kumpulan ULAN.

Lebih menarik lagi, lagu itu seakan-akan kesinambungan kepada lagu 'Sendu Aidilfitri' nyanyian trio tempatan 7riiiQa yang turut tampil dalam versi baru itu.

"Lagu ini saya lakarkan daripada orang melihat kawan-kawan, keluarga yang beraya sendirian tanpa ibu bapa. Jadi kita faham perasaan mereka merayakan Aidilfitri tanpa orang yang tersayang," kata penulisnya, Mohd Sarwani Hamsani.

ulan
(Gambar: Syawal Yusoff)


Bagi memberikan lebih kesegaran kepada lagu raya berentak dikir barat, ULAN juga memasukkan ciri-ciri unik dan menarik.

"Kita buat cara kita, pembaharuan, daripada susunan muzik, kita gabungkan dengan elemen instrumen lain selain daripada genderang dikir barat sendiri. Kita masukkan seruling, kita masukkan gendang," tambah Sarwani.

Orang ramai boleh mendengar lagu-lagu dalam koleksi 'Raya #KembaliBersama' di wadah digital Spotify, Apple Music dan YouTube, menjelang hujung minggu ini.

Buat masa ini, beberapa lagu sudahpun dimainkan di stesen-stesen radio tempatan dan Malaysia.

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan