Apabila peminat wanita dari S'pura derma S$10,000 kepada pelakon, pelawak Ebby Yus...
Pelakon serta pelawak Ebby Yus tidak pernah meminta wang ringgit dari peminat. Jauh sekali untuk mengumumkan status kewangan beliau.

(Gambar: Ebby Yus)
BERITAmediacorp: Pelakon serta pelawak Ebby Yus tidak pernah meminta wang ringgit dari peminat. Jauh sekali untuk mengumumkan status kewangan beliau.
Namun baru-baru ini, seorang wanita - peminat beliau dari Singapura - menderma S$10,000 kepada Ebby Yus membuat dirinya terkejut dibantu sebegitu rupa.
Memang, pelakon veteran itu mengalami dugaan sehingga terpaksa berehat hampir selama dua tahun lamanya kerana pelbagai masalah kesihatan. Itupun kalau perlu, beliau hanya meminta bantuan daripada adik-beradiknya sendiri.
Artis berusia 56 tahun itu mempunyai penyakit darah tinggi, kencing manis, jantung, gastrik, sakit saraf serta “buah pinggang bocor "dari pemahaman beliau.

(Gambar-gambar: Ebby Yus)
Beliau hanya mampu kembali aktif kepada kerjaya seninya bermula Mac tahun ini sedikit demi sedikit.
Ketika dihubungi menerusi panggilan jarak jauh ke Kuala Lumpur baru-baru ini, Ebby Yus menerangkan kepada BERITAmediacorp: “Bukan maksudnya buah pinggang berlubang tapi diistilahkan buah pinggang bocor (ketawa). Syukur alhamdulilah, tidak adalah sampai dialisis walaupun teruk ketika itu, badan jadi kembang, seluar pun tak boleh pakai, kaki bengkak.“
Beliau berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan khususnya untuk penyakit yang ada hubungkaitnya dengan buah pinggang ketika itu. Tanpa segan-silu beliau berkongsi terpaksa menjual empat buah kereta miliknya.
“Kosong baliklah, bukan sahaja perbelanjaan untuk rawatan juga untuk perbelanjaan harian kita. Lebih baik kita cepat-cepat jual (kereta). Lagipun ketika itu, ada juga peminat bagi sumbangan.”
Ada yang memberinya RM1,000 atau RM2,000. Kawan-kawan pelawak Malaysia pernah juga memberinya RM8,000 ketika beliau tidak dapat bekerja.
Bukan itu sahaja, persatuan Seniman dan seorang Menteri turut memberi sumbangan kewangan kepada pelakon itu yang pernah membintangi filem berjudul Tuah pada tahun 1988.
Kini, apabila sudah dapat kembali bekerja kini, Ebby Yus meminta mereka mendoakannya sahaja, bukan memberikan lagi sumbangan wang.
“Saya dah boleh bekerja dah. Mungkin ada orang lain yang lebih perlukannya lagi,”katanya bersemangat.

Tanpa diduga, terdapat pula seorang wanita dari Singapura yang menghubungi pihak Ebby Yus melalui Instagram pada Mac tahun ini dengan sesuatu hajat. Mungkin juga setelah peminat pelawak tersebut membaca laporan media seberang tambak mengenai keadaan kesihatan Ebby Yus ketika itu sehingga tidak dapat bekerja.
Pada mulanya, beliau agak keberatan untuk memberikan nombor akaun banknya kepada wanita Singapura itu. Ebby sempat memberitahu wanita tersebut beliau sudah kembali bekerja walaupun tidak seperti dahulu.
Jelasnya terperinci kepada kepada BERITAmediacorp: “Dia kata dia pun nak dapat pahala jugak. Saya tidak mahu dilihat sebagai sombong atau berlagak. Terfikir jugak takut ia panggilan 'scam'. Saya fikir dua tiga hari jugak. Selepas itu, saya bagi sajalah mana tahu kalau rezeki. Kalau ia panggilan 'scam' dalam bank saya pun bukannya ada duit sebab saya sakit kan."
Rupa-rupanya wanita tersebut serta keluarganya mengikuti perkembangan Ebby Yus yang dilaporkan sakit sebelum ini.
Rezeki Ebby Yus kerana wanita tersebut menyumbangkan sebanyak S$10,000. Itu yang membuat Ebby terperanjat kerana ia adalah suatu jumlah yang besar padanya.
Sehingga kini, rupa wanita itu pun tidak diketahuinya kerana beliau tidak berkongsi sebarang fotonya. Cuma, wanita tersebut pernah berpesan kepada Ebby Yus agar jangan memberitahu sesiapa pun tentang dirinya.

“Selepas itu keluar macam-macamlah. Biasalah netizen kan. Ada kata mungkin dia nak apa-apa dengan saya. Saya kata tidak ada apa pun dia nak dari saya, saya bukanlah sesiapa kan, saya bukan terkenal sangat pun,” terang pelawak itu.
Ebby Yus berpendapat bahawa wanita Singapura itu amat jujur dan ikhlas, bukan seorang wanita misteri setelah beliau dapat berkomunikasi dengannya. Selepas sahaja transaksi tersebut dilaksanakan, wanita tersebut tidak lagi menghubungi pelawak tersebut.
"Saya yang WhatsApp dia tanya khabar sebab orang dah bagi kita, dah bantu kita. Dua minggu sekali saya tanya khabar. Dia jawab khabar baik. Habis di situ saja. Itu saya katakan dia tidak ada apa-apa. Dia anggap benda itu dah bagi, dah. Itulah keikhlasan dia,” cerita Ebby Yus lagi.
Teringin juga beliau untuk berjumpa dengan wanita tersebut dan familinya demi mengucapkan terimakasih sekiranya keadaan sudah mengizinkan.
“Nak bersaudara pun tak mengapa. Sebagai bukti untuk kita membalas kesyukuran itu adalah untuk kita pergi dan berjumpa. Dia tidak cakap nak berjumpa. Kalau kita dapat jumpa orang baik-baik ini, tak nak ke?” ujar beliau.
Beliau turut melahirkan rasa bersyukur pada Allah SWT atas keprihatinan peminat-peminat yang sanggup memberi sumbangan kewangan kepadanya selama ini.
Tambah Ebby Yus: “Dalam ramai-ramai artis di Malaysia saya terpilih sebab saya tak sangka. Saya anggap cuma diminati di Malaysia saja.“
Untuk sekarang ini, beliau dapat kembali aktif dengan perniagaan bantal yang dikatakan berkualiti hotel lima bintang selain dari mengusahakan tiga buah cawangan restoran Selasih.
“Baru dilancarkan beras, kebanyakannya bukan saya yang keluar duit. Saya ini sebagai 'sleeping partner' sebab saya tidak ada modal pun,” kongsinya lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.