ANUGERAH PERDANA EMAS 2025: HUSIN SAABAN - Pelawak Pemikir yang membantu membentuk industri lawak SG

SINGAPURA: Beliau bukan sahaja aktif dalam penulisan, nyanyian dan lakonan, malah lebih dikenali melalui lawak jenakanya yang mencuit hati penonton.
Setelah hampir empat dekad mencurahkan bakti dalam dunia seni tanah air, Husin Saaban akhirnya menerima pengiktirafan tertinggi – Anugerah Perdana Emas 2025 di Pesta Perdana.
“Sumbangan saya itu saya rasa bermula di akhir-akhir tahun 1980-an, di awal tahun 1990-an, yang mana pada waktu itu kita ketandusan rancangan lawak," kata Husin, 72 tahun, ketika ditemui wartawan Mediacorp, Roslinda Rahmat, di rumahnya di Yung Ho Road.
Beliau mengenang titik permulaan kerjayanya dalam dunia hiburan apabila diterima menyertai program Hiburan Minggu Ini secara kebetulan.
"Saya terlibat dengan teater komedi dan banyak drama. Saya diterima daripada Hiburan Minggu Ini (HMI) daripada cuma kebetulan apabila kumpulan Santan Berlada tidak dapat datang. Dulu memang popular dengan pelawak-pelawak luar, jadi kita diundang untuk mengisi ruang apabila Santan Berlada tidak datang, itu lah bersama pelawak-pelawak tanah air. Itu yang membuatkan rancangan hiburan kita semakin dapat diterima pada era itu," kongsi beliau.
PELAWAK PEMIKIR DAN PEMBENTUK INDUSTRI LAWAK SG
Husin dikenali sebagai pelawak pemikir dan pembentuk industri lawak, yang terus mencipta karya-karya bermutu dan memberi kesan kepada penonton.
“Saya jenis manusia yang suka berkarya. Jadi saya terus lebarkan sayap saya demi masyarakat kita, penonton, ke pentas. Saya buat 'Malam Pecah Perut', saya buat 'Keramat Bernisan Tiga' dan sebagainya. Saya buat projek DVD. Sampai sekarang orang masih tonton DVD-DVD tulisan saya," kongsinya.
Beliau juga aktif dalam bidang nyanyian dan pernah menjuarai pertandingan 'Juara Antara Juara' di Balai Rakyat pada tahun 1986.
Bersama rakan-rakannya Sahfuddin Mahfuz dan Arif Samsudin, beliau menubuhkan kumpulan SAH yang berjaya memenangi Anugerah COMPASS.
LEBARKAN SAYAP UNTUK TIMBA DAN KONGSI PENGALAMAN DI SEBERANG TAMBAK
Selain di Singapura, beliau turut menimba dan berkongsi pengalaman di Malaysia.
"Melebarkan sayap saya ke seberang tambak - di samping memberikan pengalaman saya, saya juga menimba pengalaman. Di Astro, tugas pertama saya di Malaysia adalah sebagai konsultan untuk rancangan komedi seperti Raja Lawak 6, Maharaja Lawak Mega dan semua skrip-skrip komedi yang syarikat-syarikat produksi hantar, saya periksa, saya kuatkan, saya cantikkan."
Beliau juga mencipta idea untuk rancangan 'Karoot Komedia', yang menggabungkan dikir barat dan komedi, dan pernah memenangi anugerah serta bertahan selama beberapa musim.
"Saya juga ada jadi tenaga pengajar Skool of Lawak. Bengkel komedi, bersama Sabri Yunus, Khir Rahman, Othman Hafsham dan juga Fauziah Nawi. Ramai anak murid didikan saya itu sudah menempa nama," ujar Husin.

Husin juga menghasilkan buku bertajuk 'Moga Ceria', yang menjadi rujukan kepada generasi baharu dalam penulisan sketsa, drama dan komedi.
"Pertama sekali, saya harus berterima kasih kepada pihak Jamiyah yang terbitkan buku saya. Impian saya akhirnya menjadi kenyataan. Di samping Jamiyah, saya berterima kasih kepada Encik Jamal Ismail - guru saya yang menjadi editor bagi buku saya. Dan bercakap pasal Moga Ceria - nama itu diberikan oleh Encik Raman Daud. Kalau tak salah saya dulu Penolong Editor Berita Harian. Beliau yang berikan nama itu dan ada bahan-bahan pengajaran dalam buku saya itu adalah idea ataupun usulan daripada beliau."
Menurut beliau, banyak kandungan dalam buku tersebut adalah hasil usulan dan kerjasama kreatif dengan tokoh media tempatan.
"Kalangan pembaca berterima kasih kepada saya kerana banyak ilmu yang saya berikan. Fasal penulisan komedi, bukan sahaja untuk sketsa, untuk TV, untuk radio, untuk pentas, semua berbeza-beza. Jadi, walaupun sedikit yang saya paparkan dekat buku saya itu, mereka sekurang-kurangnya dapat bezakan bagaimana cara penulisan untuk sketsa, pentas, TV dan radio".
BINA PELAPIS, BINA MASA DEPAN
Apabila ditanya tentang masa depan industri komedi di Singapura, Husin, 72 tahun, mengakui cabarannya semakin besar.
"Radio dan TV Singapura zaman sekarang sudah sangat berubah. Penonton kita bijak kerana dia dapat membezakan rancangan kita dengan rancangan-rancangan lain. Dengan telefon bimbit semua dapat. Kedua, persaingan dengan media sosial. Jadi bagi saya amat berat untuk kita nak bersaing, amat berat dengan keadaan kita yang terkawal, dengan bajet yang kecil, kurang penaja.. Tapi saya dapat lihat kita masih bersungguh-sungguh. Cuba nak menjayakan program-program yang menarik.
Antara yang paling merisaukannya ialah ketiadaan pelapis baharu yang mampu meneruskan legasi lawak tanah air.
"Tentang pelapis ini, saya berani cakap 'Tiada komedi. Kita dah lepaskan. Dah tandus balik. Dah tandus, bukan terkubur,'" ujar Husin.
Mengenang zaman kegemilangan industri komedi tempatan, Husin menekankan bahawa usaha kolektif daripada pelbagai pihak adalah kunci kejayaan ketika itu.
"Kalau kita bandingkan zaman kegemilangan saya dan geng-geng saya dulu tu datang, kita tak boleh salahkan keadaan sekarang. Waktu kami dulu-dulu kita bergabung daripada banyak badan-badan drama kita bergabung," katanya.
Husin percaya bahawa pendekatan proaktif dan perbincangan terbuka perlu diadakan bagi menyuburkan semula industri ini.
"Saya waktu itu dianggap sebagai Pelawak Pemikir yang selalu merancang, yang selalu mendapatkan idea lawak. Jadi untuk sekarang ini bagi saya kena kerja keras. Untuk mendapatkan pelapis baru, kita kena berunding, kena berbincang. Bagaimana kita nak suburkan-semula pelawak-pelawak Singapura?"
Husin turut mengimbas kembali saat-saat penting dalam sejarah industri lawak tempatan, ketika beberapa tokoh ternama berganding bahu demi menghidupkan semula genre tersebut di Singapura.
"Satu ketika dulu waktu zaman ketandusan lawak di Singapura, kita dipanggil berkumpul oleh Allahyarham Encik Bani Buang, Cik Mokram Kasim, Suhaimi Jais dan banyak lagi. Nama semua pelawak, penulis-penulis komedi dipanggil untuk berkumpul dan berbincang. Bagaimanakah kita nak suburkan rancangan-rancangan komedi kita daripada drama dan hiburan? Jadi banyak idea datanglah."

Husin kini menyasarkan dua impian besar yang belum sempat direalisasikan, iaitu menerbitkan filem dan menceburi dunia media sosial secara lebih aktif.
"Ada dua impian yang belum saya capai. Sebenarnya waktu di Astro, saya hendak menjayakan sebuah telefilem. Cerita serius tulisan saya. Judulnya Tujuh Nyawa. Daripada cerita benar yang saya dapat di Singapura," kongsi Husin.
Menurutnya, karya tersebut hampir menjadi realiti apabila mendapat slot tayangan di Astro dan pelakon utama juga telah dipilih.
"Kita sudah nak buat rakaman sebelum saya pulang ke Singapura. Peranan utama yang kami pilih, pelakon ini memang hebat. Bila dia lihat skrip saya, dia cakap, 'Abang ini tak boleh buat telefilem ini. Kita terus ke filem. Ini kuat cerita ini'."
Namun, impian itu tertangguh apabila pelan asal dibatalkan.
"Jadi dia cakap dia boleh dapatkan penaja, dana dan sebagainya lah. Dan yang nak buat ini pun satu syarikat produksi yang besar. Jadi kita 'cancel' yang slot kita ada kat Astro itu. Kalau tidak, sudah ditayangkan. Tapi mungkin rezeki tidak menyebelahi saya, sehingga saya pulang, benda itu gantung tidak bertali."
Selain itu, beliau kini menjadikan media sosial sebagai platform seterusnya untuk mengembangkan pengaruh dan karyanya kepada khalayak baharu.
"Kedua, semua saya buat – pentas, TV, radio, DVD berjaya. Mungkin media sosial juga saya boleh berjaya? Saya selalu buat konten yang boleh diterima oleh semua lapisan umur. Jadi saya sekarang tengah fikir, tengah cari jalan yang baik atau tawaran yang baik untuk berkarya di media sosial pula," jelas beliau.
Dalam pada itu, pengiktirafan tertinggi yang diterimanya menerusi Anugerah Perdana Emas 2025 di Pesta Perdana baru-baru ini menjadi pemangkin buat beliau untuk terus aktif dan memberi sumbangan kepada dunia seni tempatan.
"Bagi saya ini satu anugerah yang tertinggi sekali dalam bidang lakonan atau seni televisyen, radio dan sebagainya. Penghormatan yang tinggi. Tak kira umur, berkarya selagi kita dapat diterima, kita sihat. Tanggungjawab saya untuk terus berkarya dan untuk terus suburkan seni tanah air kita," ujarnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.