Anugerah Industri Muzik ke-25: Siti Nurhaliza menang Lagu Terbaik; Aisha Retno raih Album Terbaik
'Pesanan Buat Diri' nyanyian Siti Nurhaliza (kiri) memenangi anugerah Lagu Terbaik pada malam Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-25 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching. (Gambar: BERNAMA)
- Siti Nurhaliza Tarudin was in the spotlight at AIM25 at BCCK, Kuching on Sep 26 after winning Best Song for Pesanan Buat Diri as well as several other categories.
- Cenderamaya, composed by Amni Musfirah together with Irena Taib and Jamilah Abu Bakar, also beat works by major regional artists in the international collaboration category.
- Aisha Retno won Best Album for Re.Hab, while Mimi Fly collected five trophies, including for Serumpun, Temberang and Nara.
- Mawat became the first recipient of the Best Borneo Song Award, while Ella received the Sri Wirama Award in recognition of her contributions to the country's music industry.
- Siti Nurhaliza Tarudin menjadi tumpuan AIM25 di BCCK, Kuching pada 26 September apabila memenangi Lagu Terbaik menerusi Pesanan Buat Diri serta beberapa kategori lain.
- Cenderamaya, ciptaan Amni Musfirah bersama Irena Taib dan Jamilah Abu Bakar, turut menewaskan karya artis besar serantau dalam kategori kolaborasi antarabangsa.
- Aisha Retno meraih Album Terbaik melalui Re.Hab, manakala Mimi Fly mengumpul lima trofi termasuk untuk Serumpun, Temberang dan Nara.
- Mawat menjadi penerima pertama Anugerah Lagu Borneo Terbaik, sementara Ella menerima Anugerah Sri Wirama sebagai penghargaan terhadap sumbangannya dalam muzik tanah air.
KUCHING: Biduanita Malaysia Siti Nurhaliza Tarudin menepati ramalan pada Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Sabtu (26 Sep) malam selepas menggondol trofi Kategori Lagu Terbaik, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai ikon muzik tanah air.
Siti Nurhaliza, 47 tahun, memenangi kategori itu menerusi karya agungnya Pesanan Buat Diri yang turut menguasai Kategori Lagu Tradisional Terbaik.
Penyanyi popular itu turut memenangi Kategori Vokal Wanita Terbaik menerusi lagu Kesuma dan Kolaborasi Artis/Penulis Lagu Tempatan Bersama Artis/Penulis Lagu Luar Negara Terbaik (Cenderamaya).
Lagu berjudul Cenderamaya itu hasil ciptaan penyanyi, penggubah dan penerbit lagu Singapura, Amni Musfirah bersama dua rakan sekolahnya ketika menuntut di Kolej Muzik Berklee, Amerika Syarikat, iaitu Irena Taib dan Jamilah Abu Bakar.
Lagu Cenderamaya sekali gus berjaya mengatasi lagu dendangan nama-nama besar industri muzik rantau ini termasuk Melly Goeslaw (Jenjang Cinta), Ernie Zakri (Nostalgia), Lesti Kejora (Kumbang Bunga), Fabio Asher dan Aina Abdul (Sesaat).
AISHA RETNO MENANG ALBUM TERBAIK
Sementara itu, penyanyi muda yang meningkat naik dan berbakat besar, Aisha Retno, turut mencipta kejayaan manis apabila dinobatkan sebagai pemenang Kategori Album Terbaik menerusi album sulungnya Re.Hab.
Aisha turut memenangi Kategori Rakaman Album Terbaik dan Lagu Inggeris Tempatan Terbaik menerusi (O.R.B.I.T).
Turut mencuri tumpuan, penyanyi Mimi Fly menggengam lima trofi apabila dinobat sebagai pemenang Lagu Perayaan Terbaik menerusi Serumpun, selain meraih kejayaan Kategori Lagu Dengan Hasilan Tertinggi Di TikTok (Serumpun), Video Muzik Terbaik (Temberang), Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu (Nara) serta Lagu Pop Elektronik/Dance Terbaik (Temberang).
Dalam pada itu, Mawat pula dinobat sebagai penerima sulung Anugerah Lagu Borneo Terbaik yang disampaikan oleh Premier Sarawak Abang Johari Tun Openg.
Kemenangan menerusi karya Dayang Bintang menjadikan penyanyi itu sebagai artis pertama merangkul kategori baharu yang diperkenalkan buat julung-julung kalinya dalam sejarah AIM, sekali gus mengangkat bahasa, budaya dan identiti muzik Borneo ke pentas anugerah nasional.
Acara kemuncak pada malam itu adalah penganugerahan Anugerah Sri Wirama kepada penyanyi Ella sebagai penghargaan atas sumbangannya dalam industri muzik tanah air.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.