Skip to main content

Hiburan

Anugerah 2026: Juara Nada Fitri sifatkan kemenangannya hadiah ulang tahun terbaik

Anggaran Waktu Membaca:
Anugerah 2026: Juara Nada Fitri sifatkan kemenangannya hadiah ulang tahun terbaik

Nada Fitri dinobat Anugerah 2026. (Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 28 Oct 2026 03:59PM Dikemas Kini : 28 Oct 2026 04:01PM
Anugerah 2026: Nada Fitri says her win is the best birthday present
  • Nada Fitri won Anugerah 2026, beating four finalists and taking home S$25,000 and a trophy on her birthday.
  • Five contestants went through solo and duet rounds with alumni before Nada beat Farras Qushayyi in the final; Farras was runner-up.
  • Judge Hady Mirza praised Nada’s unique voice, versatility and resilience throughout the 10-episode competition, although she had to balance rehearsals and recording with her responsibilities caring for her children.
  • After her win, Nada wants to prioritise her family before planning her music career; Mediacorp is continuing the competition, which returned after five years to nurture talent and build a local artistic identity.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Sambutan hari jadi Nada Fitri bertambah manis apabila beliau dinobatkan sebagai juara Anugerah 2026.

Nada berjaya mengatasi empat finalis lain untuk merangkul gelaran juara pertandingan tersebut, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai S$25,000 serta trofi.

“Alhamdulillah, saya bersyukur. Saya sudah tiada kata-kata lagi. Saya sangat gembira. Ini hadiah hari jadi yang terbaik,” kata Nada.

Namun, di sebalik kejayaan itu, beliau mengakui perjalanan sepanjang pertandingan bukanlah sesuatu yang mudah, terutama apabila beliau perlu membahagikan masa antara tanggungjawab sebagai seorang ibu dan persiapan pertandingan.

Menurutnya, antara cabaran yang dihadapi adalah apabila beliau terpaksa meninggalkan anak-anaknya untuk menghadiri sesi latihan dan rakaman di studio.

“Cabaran paling besar adalah untuk menghafal lagu dan pada masa yang sama, meluangkan masa bersama anak-anak. Tapi semuanya berbaloi, Alhamdulillah,” katanya.
Related article image
(Gambar: Mediacorp)
FINALIS BERENTAP DALAM DUA PUSINGAN

Peringkat akhir Anugerah 2026 pada Selasa (27 Okt) yang bertemakan ‘The Showstopper’ menyaksikan lima finalis berentap dalam beberapa pusingan bagi merebut gelaran juara.

Mereka terlebih dahulu diuji menerusi persembahan solo, diikuti pusingan duet bersama alumni Anugerah.

Nada menyanyikan lagu 'Romancinta' dalam pusingan solo.

Beliau kemudian bergandingan dengan juara Anugerah 2009, Sarah Aqilah, untuk membawakan lagu 'Aku Bidadari Syurgamu' oleh Siti Nurhaliza.

Tiga finalis, Alfan Ryan, BANIE dan Izzan Adlan disingkirkan, sebelum Nada dan Farras Qushayyi berentap dalam pusingan penentuan ‘Face off’.

Dalam pusingan terakhir itu, kedua-dua peserta mempersembahkan lagu ciptaan penyanyi dan komposer Awi Rafael, iaitu Dan Tolong Bilang serta Bila Cinta Kau Sudah Tiada.

Persembahan Nada akhirnya berjaya menambat hati barisan juri, sekali gus dinobatkan sebagai juara Anugerah 2026.

Farras pula muncul sebagai naib juara dan membawa pulang hadiah wang tunai S$10,000 serta trofi.

Beliau turut menerima wang tunai S$5,000 selepas memenangi Anugerah Bintang Paling Popular PropNex.

Alfan Ryan menduduki tempat ketiga, diikuti Izzan Adlan di tempat keempat dan BANIE di tempat kelima.

Ketiga-tiga finalis tersebut membawa pulang hadiah wang tunai S$3,000 serta trofi.
Related article image
(Gambar: Mediacorp)
JURI PUJI KEUNIKAN SUARA, DAYA TAHAN NADA

Juri Anugerah 2026, Hady Mirza, memuji keupayaan Nada mengekalkan mutu persembahannya meskipun berdepan keletihan selepas mengharungi tempoh pertandingan yang panjang.

Menurut Hady, daya tahan merupakan antara aspek penting yang diuji sepanjang 10 episod pertandingan tersebut.

Beliau berkata, meskipun keletihan jelas kelihatan dalam kalangan para peserta, Nada masih mampu mengekalkan kualiti vokal dan sebutannya sehingga ke peringkat akhir.

“Di peringkat akhir, Nada masih mengekalkan kualiti dan juga sebutan dan juga nada suaranya yang sangat berkualiti itu dia masih mempertahankan walaupun sudah letih, dia masih kuat dan memberikan persembahan yang sangat sukar dilupakan bagi saya,” katanya.

Hady turut mendedahkan bahawa beliau sudah menyedari keunikan suara Nada sejak peringkat uji bakat lagi.

Namun, beliau menekankan bahawa selain memiliki suara yang unik, seseorang peserta juga perlu mempunyai sifat versatil.

“Saya sudah perasan Nada sejak awal uji bakat, dia mempunyai suara yang sangat unik. Saya rasa Nada seorang peserta yang sangat versatil dan dia berjaya memanfaatkan pertandingan ini,” tambahnya.
Related article image
(Gambar: Mediacorp)
MAHU LUANGKAN MASA BERSAMA ANAK-ANAK

Selepas mengharungi jadual pertandingan yang padat, Nada berkata beliau mahu memberikan tumpuan kepada keluarganya terlebih dahulu sebelum merancang langkah seterusnya dalam kerjaya muzik.

“Saya rasa saya belum ada jawapan lagi. Saya mahu meluangkan masa sepenuhnya bersama anak-anak dahulu sebelum jadual saya menjadi semakin padat,” katanya.

Nada turut merakamkan penghargaan kepada keluarganya serta semua pihak yang telah memberikan sokongan dan mengundinya sepanjang pertandingan.

ANUGERAH WADAH ASAH BAKAT TEMPATAN

Kembali selepas lima tahun, Anugerah 2026 terus menjadi wadah bagi Mediacorp untuk mencungkil dan mengasah bakat-bakat baharu dalam industri muzik Melayu tempatan.

Pertandingan itu bukan sahaja memberi peluang kepada para peserta untuk mempertingkatkan kemahiran vokal, malah membantu mereka membentuk identiti seni tersendiri.

Menerusi pendedahan dan pengalaman yang diraih sepanjang pertandingan, bakat-bakat baharu itu diharap dapat terus berkembang dan membina kerjaya dalam industri muzik.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita