Skip to main content

Hiburan

Anugerah 2026: 14 peserta bakal berdepan penyingkiran pertama

Anggaran Waktu Membaca:
Anugerah 2026: 14 peserta bakal berdepan penyingkiran pertama

Darwish Sofyan (kiri) dan Izzan Adlan (kanan). (Gambar: Aqil Ezat)

Diterbitkan : 01 Sep 2026 06:23PM
SINGAPURA: 14 peserta pertandingan nyanyian tempatan Anugerah 2026 bakal berdepan saingan lebih sengit dalam episod kedua pertandingan tersebut.

Bagi dua peserta, Izzan Adlan dan Darwish Sofyan, kedudukan minggu lalu bukan jaminan apabila penyingkiran bermula malam ini (1 Sep).

Bertemakan Y2K, kesemua peserta perlu membawakan lagu-lagu era 2000-an.

Bagi Izzan Adlan, yang menduduki tangga teratas minggu lalu, dia berdepan cabaran untuk mengekalkan prestasinya, sekali gus mempertahankan kedudukannya.

"Sebenarnya memang saya tidak jangkakan yang saya boleh dapat nombor satu. Sebab saya menyertai pertandingan ini dengan tidak menjangkakan apa-apa. Jadi apa-apa pun saya bersyukur," ujar Izzan.

Buat pusingan ini, Izzan, 24 tahun, akan menyanyikan lagu 'Noktah Cinta' daripada Hafiz Suip.

Untuk meneruskan prestasinya, Izzan memilih untuk mengkaji penyanyi asal, dari gerak-geri hingga cara lagu dihayati.

"Saya suka tengok penyanyi asal nyanyikan lagu mereka, macam mana mereka nyanyi, bagaimana mata mereka, gerak-geri mereka," kongsi Izzan.

Meskipun Izzan tidak dapat meniru 100 peratus, dia berusaha untuk melakukan yang terbaik.

"Kalau 100 peratus memang saya tidak boleh sebab saya ini ada 'kaki kayu' sikit, jadi saya kaku. Tapi saya cuba," tambahnya.

EPISOD KEDUA PELUANG PESERTA TEMPAT TERAKHIR PERBAIKI PRESTASI

Bagi Darwish pula, episod kedua menjadi peluang untuk memperbaiki kedudukannya, selepas berada di tempat terakhir minggu lalu.

Keputusan itu diakui mengecewakan bagi peserta berusia 17 tahun itu.

"Perasaan saya semasa itu ialah mengecewakan, memang sangat mengecewakan," kata Darwish.

Namun, keputusan tersebut tidak mematahkan semangatnya untuk memberikan yang terbaik dalam pusingan seterusnya.

Sebaliknya, Darwish meningkatkan latihan sepanjang minggu.

"Apa yang saya lakukan ialah berlatih, berlatih, berlatih sampai penat", kongsinya.

Selain itu, Darwish telah mempersiapkan dirinya secara mental untuk menghadapi apa jua kemungkinan.

"Dalam adat pertandingan seperti ini, memang perlu menjangkakan apa jua perkara yang akan berlaku, " katanya.

Pelajar tahun satu ITE Kolej Timur itu akan menyanyikan lagu 'Asmara Ini' oleh Fazley Yaakob, yang disifatkan sebagai lagu yang susah untuk dihafal.

"Bila kita ada seminggu, atau kurang daripada seminggu untuk berlatih, ia agak susah terutama dari segi lirik, memang susah untuk diingati", kongsinya.

Izzan dan Darwish merupakan antara 14 peserta yang akan berentap dalam episod kedua Anugerah malam ini.

Dengan penyingkiran yang bermula pada pusingan ini, persaingan kini semakin mencabar apabila para peserta bukan sahaja perlu memikat hati barisan juri, malah meraih undian penonton untuk terus mara dalam pertandingan.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita