Anuar, Ziana Zain bakal adakan konsert bersama 6 Ogos di KL
(Gambar: Excitix)
KUALA LUMPUR: Bertahun menanti, akhirnya hasrat peminat untuk menyaksikan kolaborasi mega dua beradik, Anuar Zain dan Ziana Zain, bakal direalisasikan.
Konsert Anuar Zain & Ziana Zain Live in Kuala Lumpur akan menjadi pentas untuk peminat Malaysia menyaksikan mereka bergandingan dalam sebuah konsert berskala besar, lapor Astro AWANI.
Biarpun pernah bergandingan untuk satu konsert di Singapura, Anuar menyifatkan peluang menjayakan konsert bersama kali ini hadir pada masa yang tepat.
"Perancangan sudah lama ada, peminat juga selalu bertanya tetapi sebagai manusia kami hanya merancang, Tuhan menentukan.
"Aturan Allah itu yang terbaik, hari ini akhirnya kami umumkan kepada semua, konsert ini akan berlangsung Ogos depan," kata pelantun 'Sedetik Lebih' itu ketika ditemui selepas sidang media di Kuala Lumpur pada Khamis (19 Mei).
Bagi Ziana pula, konsert tersebut adalah peluang keemasan yang sudah lama dinantikannya.
"Kata orang kalau selalu berdoa, lebih 44 kali ia akan jadi kenyataan. Saya sangat bersyukur, ini memang satu peluang yang sangat berharga, bukan selalu adik-beradik dapat beraksi sepentas dalam konsert yang besar," kata penyanyi bersuara lantang itu.
Dengan senarai panjang lagu hit malar segar dimiliki kedua-duanya, Anuar dan Ziana menjanjikan persembahan terbaik dan 'mimpi indah' buat penonton.
Bakal berlangsung selama 90 minit, kedua-dua penghibur bersuara emas itu bakal mempersembahkan lagu-lagu popular yang menjulang nama mereka dalam persada seni tempatan, lapor Astro AWANI.
Konsert anjuran Trumpet International Sdn Bhd itu akan berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada 6 Ogos depan.
Tiket-tiket berharga dari RM288 (S$91)sehingga RM1,188 (S$374) sudah boleh dibeli bermula Khamis (19 Mei) dengan melayari laman web www.excitix.com.my.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.