Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Anuar Zain akui banyak terima tawaran jadi juri tapi berpegang kepada keputusan menolaknya

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Biarpun sudah memiliki nama gah dalam arena muzik Malaysia, Anuar Zain enggan terlalu mendabik dada, malah menganggap dirinya tidak ubah seperti penyanyi lain yang masih memerlukan pelbagai pendedahan.

Sehubungan itu, Anuar atau nama sebenar, Shahrul Anuar Zain, 53 tahun, terpaksa menolak tawaran menjadi juri dalam program realiti nyanyian kerana menganggap diri masih belum layak.

"Saya memilih tidak menjadi juri dalam mana-mana program nyanyian. Bidang penjurian ini bukanlah apa yang saya mahukan. Ini secara peribadi sahaja dan tiada kena mengena dengan orang lain.

"Kalau ada yang berfikir untuk menjadi juri, itu adalah hak masing-masing kerana ada keyakinan untuk menggalas tugas itu," ujar Anuar kepada BH Online.

Anuar menjelaskan sepanjang menceburi bidang nyanyian, beliau hanya mengambil tugas sebagai juri sebanyak dua kali iaitu pada musim kedua Akademi Fantasia (AF2) sebagai juri jemputan dan Malaysian Idol.

Anuar berkata antara faktor lain yang mengukuhkan lagi keputusannya itu adalah beliau tidak sanggup berhadapan komen negatif penonton jika peserta diminati dikritik selepas menjayakan persembahan.

"Apabila ada peminat yang terlalu beremosi atau kasihkan kepada penyanyi yang sedang membuat persembahan, mereka tidak dapat terima komen juri.

"Sebenarnya niat juri ini sangat murni iaitu untuk membantu seorang penyanyi membuat persembahan atau menyanyi dengan lebih baik.

"Tetapi kadang-kadang penonton ini tidak dapat faham situasi itu dan menyerang juri.

"Jadi, perkara itulah yang saya tidak suka. Saya tidak mahu ada negativiti dalam kehidupan saya kerana ia akan merosakkan diri sendiri.

"Saya kasihan apabila lihat ada juri yang teruk dihentam penonton biarpun niatnya mahu membantu penyanyi itu menjadi lebih baik.

"Jadi, sebab itu saya lebih suka menjalani rutin sebagai seorang penyanyi sahaja," ulasnya ketika ditemui BH Online.

Anuar mengaku banyak menerima tawaran menjadi juri dalam pelbagai jenis program sama ada pertandingan biasa atau berprestij, namun, tetap dengan keputusan untuk menolaknya.

"Saya terima banyak tawaran jadi juri... hampir segala-galanya (program nyanyian). Namun, semuanya saya tolak. Saya fikir tidak sesuai dan tidak layak jadi juri.

"Kadang-kadang, kita ini dalam tidak sedar memberi komen yang boleh memberi kesan kepada seseorang. Jadi, saya mahu jauhkan diri daripada perkara seperti itu," katanya seperti dipetik oleh BH Online.
Sumber : Agensi berita/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan