Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Anda kini boleh 'tempah' selebriti bagi video ucapan dibuat khas untuk orang tersayang...

Ingin memberi ucapan ‘lain daripada yang lain’  kepada orang-orang tersayang atau kawan-kawan anda? Tak kiralah, ucapan-ucapan Hari Raya, hari lahir, memberi penghargaan ataupun tahniah. Ataupun sekadar suka-suka sahaja.

Anggaran Waktu Membaca:
Anda kini boleh 'tempah' selebriti bagi video ucapan dibuat khas untuk orang tersayang...

Kumar dan 'Elsa' antara yang boleh ditempah bagi video ucapan khas untuk orang tersayang. (Gambar: ACE)

SINGAPURA: Ingin memberi ucapan ‘lain daripada yang lain’ kepada orang-orang tersayang atau kawan-kawan anda? Tak kiralah, ucapan-ucapan Hari Raya, hari lahir, memberi penghargaan ataupun tahniah. Ataupun sekadar suka-suka sahaja.

Bayangkan juga senario di mana pelawak tersohor atau artis yang sangat anda gemari menyebut nama anda dan menyampaikan mesej peribadi untuk anda. Kesannya pasti berbeza.

Semua itu kini boleh anda terima atau kirimkan menerusi sentuhan khas dari lebih 60 selebriti tempatan mahupun dari luar negara seperti Gurmit Singh, Kumar dan Hossan Leong, malah juga dari 'Elsa' dan 'Snow White'!

(Gambar: Petikan skrin laman ACE)

Malah, selain pelakon teater Siti Khalijah yang sedia ada sekarang, tidak lama lagi anda juga mungkin boleh mendapatkan ucapan khas dari Taufik Batisah, Fandi Ahmad dan keluarga, Suhaimi Yusof, Nadiah M Din serta Fakkah Fuzz.

Inilah khidmat terbaru yang disediakan sebuah syarikat pemula bernama ACE (Authentic Celebrity Experiences) yang menawarkan ucapan video kepada para peminat.

Dengan bayaran sekitar S$50 hingga S$150 - bergantung kepada selebriti yang dipilih - ACE mahu mendekatkan ‘pengalaman bersama selebriti’ menerusi 'autograf digital' kepada orang ramai.

(Gambar: Petikan skrin laman ACE)

Pengasas ACE, Dene Schonknecht berkongsi: "Buat pertama kalinya, orang ramai mempunyai akses kepada 'wira-wira' mereka, jadi ini membuka banyak peluang bagi ucapan.

"Ini juga lebih relevan sekarang berbanding dahulu! Dengan begitu ramai orang tidak dapat bersama orang-orang tersayang disebabkan COVID-19, orang ramai mencari cara kekal berhubung untuk menunjukkan sifat prihatin mereka."

Encik Schonknecht juga menarik perhatian kepada satu contoh yang disaksikan ACE baru-baru ini, di mana seorang lelaki Singapura menempah Princess Elsa untuk mengucapkan Selamat Hari Lahir kepada anak saudara perempuannya.

"Beliau tidak dapat melawatnya semasa tempoh 'lockdown' dan kanak-kanak itu berasa sedih kerana partinya yang bertemakan 'princess' terpaksa dibatalkan. Video ucapan itu cara baik untuk menggembirakan harinya!" cerita Encik Schonknecht.

HISYAM HAMID: ‘IDEA YANG BAGUS’

Jadi, bagaimana agaknya penerimaan para selebriti Melayu tempatan berhubung model perniagaan ini? Yang jelas ini satu lagi cara menambah pendapatan bagi mereka dengan misalnya hanya merekodkan sebuah video tidak sampai 1 minit.

Potensi pasaran bagi selebriti-selebriti terkenal juga boleh dikatakan luas, terutama bagi selebriti yang mempunyai ‘fan base’ atau bilangan peminat yang besar.

Pelakon Hisyam Hamid yang berjaya menempa nama di Malaysia memberkongsi dengan BERITAmediacorp bahawa hasrat di sebalik platform ACE jelas suatu yang baik.

(Gambar: Instagram/Hisyam Hamid)

"Tentang merapatkan jurang antara selebriti dan peminat, saya rasa ia suatu idea yang bagus, kerana secara peribadi saya rasa ia agak penting.

"ACE seperti platform penyedia khidmat. Anda membayar bagi khidmatnya, dalam dalam situasi ini, adalah ucapan yang dibuat khas," kata Hisyam.

HISYAM, AARON AZIZ LEBIH SELESA BERI UCAPAN 'PERCUMA'

Namun demikian wadah seumpama ini jelas belum dapat diterima dengan tangan terbuka oleh selebriti-selebriti seperti Aaron Aziz dan Hisyam sendiri.

Menurut Hisyam, dengan adanya wadah media sosial yang dapat dimanfaatkan untuk berhubung, beliau lebih selesa untuk tidak mengambil sebarang bayaran bagi ucapan yang diminta peminat.

"Selalunya mereka akan hampiri saya semasa bergambar dengan pertanyaan, 'Nak buat satu video boleh tak?' Mereka juga akan emel atau mesej saya secara peribadi di Instagram.

"Sejauh ini saya tidak mengenakan bayaran sesiapa yang meminta video seperti ucapan hari lahir daripada saya, kerana saya rasa ia cara saya mengucapkan terima kasih kepada mereka dan memberi balik kepada mereka."

Aaron Aziz, yang terdahulu menempa nama di seberang, juga akur lebih selesa sekiranya peminat membuat permintaan video ucapan sedemikian melalui media sosial mahupun melalui nombor pengurusnya.

(Gambar: Instagram/Aaron Aziz)

"Bagi saya, saya tidak terfikir untuk mengenakan bayaran kepada seseorang hanya untuk video ucapan. Kami bukannya Brad Pitt ataupun Rihanna,” kata Aaron kepada BERITAmediacorp.

"(Jika mereka meninggalkan pesanan di ruang komen) ada baiknya membaca komen-komen peminat anda. Ia seperti seseorang itu membuka mesej WhatsApp."

Tambah beliau, ucapan yang diminta di media sosial dan dilakukan atas kemahuan selebriti itu sendiri juga lebih bersifat jujur, dan bukan 'terpaksa'.

600 SELEBRITI ASIA TENGGARA DALAM SETAHUN

Walaupun ada artis belum bersedia mendakapi platform seumpama ini, pengasas ACE Encik Schonknecht yakin wujud masa depan bagi 'pengalaman selebriti digital' seperti ini.

"Kami mempunyai rancangan besar untuk meluaskan kumpulan bakat kami sebanyak 10 kali ganda dalam masa setahun ini.

"Ini termasuk dalam bidang hiburan, sukan, komedi dan bintang muzik dari rantau Asia Tenggara," kongsi beliau.

(Gambar: Petikan skrin laman ACE)

Bermakna, kumpulan bakat ACE dijangka diperluas kepada lebih 600 selebriti dari rantau Asia Tenggara!

Bahkan Encik Schonknecht juga merasakan ia tidak sepatutnya terhenti setakat di video ucapan sahaja, tetapi dalam format langganan yang lebih bersifat jangka panjang juga pada masa hadapan.

"Kami juga berfikir, kami dapat menawarkan model langganan di mana orang ramai membayar, serupa dengan Netflix, bagi menerima akses dan kandungan selebriti secara tetap yang tidak mungkin dapat diterima di wadah lain," jelas beliau. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan