Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Anak Metropolitan 4.0: Khairudin Samsudin tidak kekok bawa watak serius

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebut sahaja nama Khairudin Samsudin, akan terlintas di fikiran watak-watak komedi yang pernah dimainkan olehnya serta lawak jenaka yang pernah dikongsi apabila mengacara untuk rancangan-rancangan televisyen tempatan di saluran Suria Mediacorp.

Namun, personaliti serba boleh itu juga tidak kekok menghidupkan watak lebih serius seperti dalam musim terbaru siri drama popular 'Anak Metropolitan' terbitan Eaglevision Productions.

pic
Gambar: Suria 

"Ada yang golongan muda yang tidak pernah tengok saya berlakon serius, semua tengok saya kelakar sahaja. Jadi mereka akan berasa janggal jugalah bila saya berlakon serius untuk 'Anak Metropolitan' ini.

"Cabarannya bagi saya untuk menghidupkan watak ini. Jadi penonton yang menonton itu yang sudah serasi dengan diri saya sebagai pelakon komedi, dapat menerimalah dimana saya pun berlakon watak serius juga," kata Khairudin, yang membawa watak seorang duda dan bapa yang tidak bertanggungjawab serta suka berfoya-foya dengan wanita.

Namun ini bukan kali pertama beliau menjayakan watak serius.

Antara watak bukan komedi yang pernah beliau jayakan adalah dalam siri drama tempatan 'Korban' yang diterbitkan pada 2021 dan siri 'Rahsia Perkahwinan' pada 2003.

pic
Gambar: Suria 

'BATU LONCATAN' UNTUK JADI PENGARAH

Berkongsi dengan BERITAmediacorp, Khairudin berkata drama 'Anak Metropolitan' cukup dekat pada hatinya kerana beliau pernah menjadi pengarah musim kedua siri drama tersebut.

"Ia merupakan batu loncatan untuk menjadi seorang pengarah. Dan daripada situ saya diberi peluang dan daripada situ pintu pengarahan dibuka dan saya dapat mengarah beberapa drama," jelas Khairudin yang turut menggalas tanggungjawab sebagai pengarah untuk sebanyak tiga episod dalam musim terbaru ini.

Antara drama tempatan yang pernah beliau arahkan adalah 'Erlin Montel', 'Jeritan Sepi' 'Aduh Bibikku', 'Saga 2.0' dan 'Siri MJ12'.

Berbekalkan pengalamannya selama lebih tiga dekad dalam industri hiburan tanahair, Khairudin juga tidak lokek berkongsi ilmu dan percaya akan pentingnya untuk mengasah bakat-bakat baru.

"Bila saya yang mengarah, saya akan memberitahu mereka (pelakon-pelakon muda) bagaimana hendak menghidupkan ataupun menjiwai watak yang harus mereka lakukan.

Dan yang paling penting sekali, penerimaan seseorang pelakon itu. Tidak kira yang baru ke atau yang lama," kata Khairudin.

PENYANYI RAP QIS MARAJ TEROKA DUNIA LAKONAN

Antara barisan bakat-bakat baru yang bekerjasama dengan Khairudin ialah Qis Maraj yang memainkan watak Abil, seorang gadis yang 'terperangkap' di dalam dunia samseng.

Pengalaman berlakon di dalam drama itu juga cukup bermakna buat penyanyi rap berusia 21 tahun itu kerana ia penglibatan pertamanya dalam dunia lakonan.

"Memang rasa sangat berbesar hati dan berterima kasih atas peluang ini. Sebab memang saya tidak sangka. Bila saya mendapat tahu ia 'Anak Metropolitan', saya katakan 'Oh Wow' sebab saya menonton musim ketiga apabila saya di sekolah rendah. Sekarang bila diberikan peluang untuk berlakon dalam 'Anak Metropolitan', memang saya teruja sangat sebab saya dapat menjadi sebahagian daripada drama ini," kata Qis atau nama sebenarnya Nurbalqis Mohamed Muzamil.

pic
Gambar: Suria 

Jika beraksi di atas pentas sudah menjadi 'makanan' buat dirinya, Qis akui, beliau masih 'hijau' dalam dunia lakonan dan banyak melakukan ulangkaji sendiri sebagai persiapan.

"Saya menonton semula drama 'Anak Metropolitan' di meWATCH untuk dapatkan idea macam mana nak bawakan watak saya. Saya minta nasihat dari mereka yang lebih berpengalaman daripada saya," ujar Qis.

Sebagai seorang yang periang dan tidak lokek mengukir senyuman, Qis akui watak Abil yang penuh emosi itu dianggap sebagai cukup mencabar.

"Cabaran untuk saya adalah untuk membawa emosi itu keluar dari diri saya yang sebenar untuk menghidupkan watak itu. Jadi dia seperti menangis, marah, trauma dan lain-lain. Jadi dia bukan sahaja emosi yang macam marah, samseng dan semua itu. Ia lebih kepada dia banyak nangis juga sebenarnya," tambah lulusan Diploma Teknologi Muzik dan Audio daripada Politeknik Singapura itu.

Qis berharap dapat diberi peluang untuk mencuba pelbagai watak lain di masa hadapan.

ISKANDAR SHAH ZULKIFLI 'HERO' ANAK METROPOLITAN 4.0

'Hero' drama kali ini, Iskandar Shah Zulkifli pula memegang watak Rico, seorang remaja yang memberontak kerana dahagakan perhatian dan kasih sayang seorang ayah lakonan Khairudin Samsudin.

"Dia macam ada ala-ala Aaron Aziz dalam 'KL Gangster' begitu. Dia mencuba. Dia ada dia punya luaran yang lasak. Tapi pada masa yang sama, dalamannya sebenarnya dia seorang yang lembut hati. Tapi itu mungkin sebab cara dia dibesarkan, dia tidak ada bimbingan yang diperlukan," kata calon Personaliti Lelaki Paling Popular Pesta Perdana 2021 itu.

Berpengalaman dalam seni mempertahankan diri, alumni Anugerah Skrin 2016 itu 'seronok' dapat melakukan aksi-aksi lasak dalam 'Anak Metropolitan 4.0'.

pic
Gambar: Suria 

Walaupun tidak begitu mencabar berbanding watak penari balet yang dilakonkannya dalam drama 'Mr Bellerino', Iskandar berkongsi, ia mencabar dirinya dari segi penghayatan.

"Dalam cerita ini, dia (Rico) banyak macam dengar kata orang. Jadi saya rasa kadang-kadang seperti 'Eh, kalau dalam kehidupan sebenar, saya sudah tentu akan bersuara'. Tapi Rico ini, dia termakan dengan kata-kata orang lain juga," ujar Iskandar.

MASIH ADAKAH WATAK 'MUMMY' DAN 'DADDY'?

Drama 'Anak Metropolitan yang pertama kali diterbitkan pada 2002, pernah menggemparkan industri hiburan tempatan kerana berani mengupas isu-isu sosial dalam kalangan remaja khususnya kegiatan samseng.

Kerana sambutan yang amat menggalakkan, siri itu dilanjutkan kepada dua lagi musim.

Selepas 10 tahun, ia kembali menemui penonton dengan jalan cerita dan barisan watak baru dalam 'Anak Metropolitan 4.0'.

Ia diarahkan oleh pengarah asal Singapura yang telah menempa nama di seberang, Faisal Ishak.

"Kali ini kita lebih mendalami isu gangsterisme secara menyeluruh sebab kita juga ada 'bapa-bapa metropolitan' yang terlibat dalam cerita kali ini. Dan itu adalah satu plot, atau satu latar belakang yang penting kerana mungkin kini anak-anak terjebak dalam dunia gelap, bukan atas pilihan sendiri, tetapi kerana telah dibawa bersama oleh orang-orang yang lebih dewasa," kata Faisal, yang pertama kali mengarahkan 'Anak Metropolitan'.

Walaubagaimanapun, beliau tidak asing dengan genre jenayah kerana pernah menerbitkan siri-siri hebat seperti 'Juvana' dan 'KL Gangster: Underworld'.

pic
Gambar: Suria 

Semasa sempadan ditutup akibat COVID-19 dan beliau tidak kembali ke Malaysia, Faisal telah terlibat dalam siri drama tempatan 'Dilema Dania' dan siri seram 'After Dark'.

Ditanya sama ada watak-watak kegemaran ramai dari musim-musim 'Anak Metropolitan' sebelum ini seperti 'Mummy' dan 'Daddy' yang dijayakan pelakon hebat Suzairhe Sumari, Norseha Sani (musim 1) dan Nina Halim (musim 2) akan membuat kemunculan dalam musim ini, Faisal berkata 'semua ahli-ahli dunia gelap dalam 'Anak Metropolitan 4.0' ini tak ada kena mengena dengan siri-siri yang lalu.'

Antara barisan pelakon yang turut menjayakan 'Anak Metropolitan 4.0' ialah Danial Ashriq, Najib Soiman, Rafaat Hamzah dan Ariati Tyeb Papar.

Namun beliau menjanjikan kepada penonton musim terbaru ini tidak akan menghampakan.

"Saya tahu yang 'Anak Metropolitan' ini ialah satu jenama untuk Suria. Dan ia satu tanggungjawab yang besar untuk saya. Tapi pada masa yang sama, Alhamdulillah, saya dapat pastikan ‘the Faisal Ishak touch’ akan ada untuk 'Anak Metropolitan' kali ini," jelas Faisal yang turut mengarahkannya bersama-sama seorang lagi pengarah mapan, Azroy Sultan.

'Anak Metropolitan 4.0' boleh disaksikan di Suria dan meWATCH setiap Isnin hingga Rabu, jam 10.30 malam, bermula Selasa 28 Jun.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan