Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Amy Search kini bergelar Datuk

Anggaran Waktu Membaca:
Amy Search kini bergelar Datuk

Amy Search atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman menerima gelaran Datuk. (Gambar: Agensi berita)

MELAKA: Vokalis kumpulan kugiran rock terkenal Search, Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman menerima gelaran Datuk.

Amy menjadi satu satunya anak seni yang menerima pingat Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) sekaligus gelaran Datuk tersebut sempena hari jadi Yang Dipertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam yang ke-73 pada Rabu (24 Ogos), lapor Astro Gempak.

Selain mengucapkan setinggi penghargaan kepada Yang Dipertua Negeri Melaka, Amy, 64 tahun, turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan Melaka, Ab Rauf Yusoh.

Beliau melahirkan rasa syukur di atas kurniaan yang diterimanya selepas 42 tahun menjadi anak seni.

“Pemberian pingat yang membawa gelaran Datuk kepada saya ini tidak akan merubah Amy Search yang semua kenali selama ini. Saya tetap Amy Search, penyanyi dan pemain industri muzik yang dikenali,” ujar Amy kepada agensi berita Gempak.

Namun, bagi Amy, penganugerahan pingat Datuk yang dikurniakan kepadanya adalah satu tanggungjawab dan pengiktirafan buat seluruh karyawan hiburan.

“Dengan dikurniai pingat ini, ia memberi saya lebih tanggungjawab demi menjadi teladan yang lebih baik dan pingat ini sebenarnya juga bukan untuk saya secara individu tetapi adalah mengiktiraf bahawa anak seni atau karyawan hiburan juga memainkan peranan penting dalam sosio ekonomi kita,” katanya lagi, dipetik daripada agensi berita Gempak.

Amy yang memulakan kerjayanya sekitar awal tahun 80-an sudah menerima banyak pengiktirafan dalam dunia muzik termasuk mencetus fenomena lewat lagu Isabella bersama kumpulan kugiran legenda, Search.

Karya-karya mereka juga menembusi pasaran di Indonesia, sehingga Amy bersama anggota Search yang lain termasuk Allahyarham Yazit Ahmad pernah membintangi filem Isabella yang turut dibintangi pelakon popular negara itu, Nia Zulkarnaen pada tahun 1990.

Melalui satu kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Encik Zaidi Johari, Perdana Menteri Malaysia, Ismail Sabri Yaakob mendahului senarai 883 penerima darjah, bintang dan pingat kebesaran Melaka sempena hari jadi Yang Dipertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam yang ke-73 pada Rabu (24 Ogos).

Perdana Menteri Ismail dikurniakan gelaran Darjah Utama Negeri Melaka (DUNM) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan