Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Amy puas hati Konsert Search Endemik berjaya

Anggaran Waktu Membaca:
Amy puas hati Konsert Search Endemik berjaya

Gambar: Agensi berita/ Malaysiakini

KUALA LUMPUR: Vokalis kugiran Search, Amy, berkongsi perasaan puas atas kejayaan Konsert Search Endemik walaupun persiapan hanya mengambil masa kira-kira sebulan setengah.

Menurut Amy, biasanya persediaan bagi sesebuah konsert mengambil masa sehingga berbulan lamanya, lapor Malaysiakini.

“Ia adalah dua malam yang penuh emosi. Persediaannya kami mulakan sejak Aidilfitri keempat dan pada ketika itu kami baru saja selesai merakamkan dua single baru.

“Biasanya, persediaan untuk konsert memakan masa lebih enam bulan. Tapi, memang saya bersyukur semua urusan dipermudahkan,” katanya.

Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman turut berkata, tonggak kejayaan konsert itu adalah isterinya Norhasniza Hassan atau Nourish yang bertindak selaku Penerbit Eksekutif untuk konsert berkenaan.

“Walaupun ini memang kerja ‘gila,’ saya berterima kasih kepada isteri saya, Nourish. Dialah yang bertungkus lumus memastikan segala persediaan sempurna,” katanya seperti dinukil oleh Malaysiakini.

Amy, 63 tahun, berkata, kejayaan mengadakan konsert itu juga membuatkan dia menangis pada keesokan harinya.

“Pada hari Isnin, sehari selepas konsert saya menangis kegembiraan sepanjang hari dan saya berkongsi perasaan itu dengan semua yang terbabit dalam acara konsert.

“Konsert Search Endemik ini adalah satu acara yang berlangsung pada waktu yang tepat, dengan judul yang tepat iaitu Endemik.

“Endemik itu juga adalah idea daripada isteri saya,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran buku Ashikin M yang kesebelas di Studio Metal, Petaling Jaya.

Awal dari itu, Konsert Endemik Search berlangsung selama dua malam di Zepp Kuala Lumpur.

Konsert yang berlangsung selama lebih dua jam itu "full house" selepas semua tiket habis dijual dengan jumlah keseluruhan 45 lagu didendangkan.

Amy turut berkongsi kegembiraannya saat bertemu dengan keluarga Allahyarham Yazit, menurut Malaysiakini.

“Turut hadir pada hari pertama adalah isteri arwah iaitu Ramlah Mat dan anaknya, Shafiqa Nurlis.

“Kehadiran mereka membawa kegembiraan bukan saja kepada saya, bahkan semua anggota Search,” katanya.

Sumber : Agensi berita/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan