Amni Musfirah terbit, gubah dan tulis lirik lagu irama tradisional untuk Siti Nurhaliza
Lagu 'Cenderamaya' gubahan Amni Musfirah bersama Irena Taib dan Jamilah Abu Bakar terpilih untuk disertakan dalam album terbaharu Siti Nurhaliza - Gema Bumantara. (Gambar: Amni Musfirah)
Lagu berjudul 'Cenderamaya' itu hasil ciptaan Amni Musfirah bersama dua kawan sekolahnya semasa menuntut di Kolej Muzik Berklee, Amerika Syarikat dahulu iaitu Irena Taib dan Jamilah Abu Bakar.
Album Gema Bumantara merupakan album studio ke-22 oleh Siti Nurhaliza.
Ia menampilkan 10 lagu irama tradisional hasil kreativiti nama-nama besar dari tiga negara seperti Aubrey Suwito, Hafiz Hamidun, Melly Goeslaw, Usop Kopratasa, Aisha Retno dan Habsah Hassan.
Album Gema Bumantara merupakan kesinambungan perjalanan seni Siti Nurhaliza dalam memperkasa dan memperindah warisan muzik tradisional Melayu.
LAGU TRADISIONAL PERTAMA GUBAHAN AMNI MUSFIRAH
Berkongsi bagaimana beliau mendapat peluang untuk bekerjasama dengan Siti Nurhaliza, beliauh berkongsi, "Kalau tidak silap saya, pada bulan Jun yang lalu, Dato’ Sri ada memuat naik satu post di Instagram, menjemput para komposer, penerbit, dan penulis lagu untuk menghantar demo bagi album tradisional terbaharu beliau. Ketika itu, saya bersama rakan-rakan, Jamilah Abu Bakar dan Irena Taib, nekad untuk mencuba nasib menulis lagu untuk beliau kerana sudah lama menjadi impian kami untuk menghasilkan karya buat idola kami sendiri."
Lebih menarik lagi, lagu 'Cendermaya' itu merupakan lagi irama tradisional pertama yang digubah Amni Musfirah.
"Genre tradisional sebenarnya bukanlah genre yang sering saya nyanyikan, namun ia juga bukan sesuatu yang asing bagi saya. Sejak kecil, walaupun saya tidak pernah menyanyikan lagu tradisional, saya sering mendengar genre ini kerana minat yang mendalam terhadap karya Dato’ Sri Siti Nurhaliza. Saya juga pernah membuat persembahan bersama Orkestra Melayu Singapura, dan dari situ saya mula terdedah kepada muzik tradisional," dedah Amni.
Bukan sahaja menggubah, beliau juga terlibat sama dalam menulis lirik dan proses rakaman muzik dan vokal bersama Biduanita Negara Malaysia itu.
"Apabila kami mula menulis untuk album ini, saya mengambil inisiatif untuk membuat kajian sendiri dan mengenal pasti jenis alat muzik yang sesuai, memahami 'groove' muziknya, serta membentuk melodi yang tepat dengan jiwa tradisional.
"Visi kami sejak awal adalah untuk menggabungkan elemen tradisional dengan pengaruh pop moden kami tanpa menghilangkan keaslian dan jiwa tradisional itu sendiri. Kami mahu memberi nafas baharu kepada muzik tradisional melalui pendekatan produksi muzik yang segar dan kontemporari, namun tetap menghormati akar dan keindahannya," jelas Amni Musfirah yang juga menerajui syarikat penerbitan Blue Empire Entertainment.
Bagi dirinya, proses menghasilkan lagu 'Cenderamaya' merupakan pengalaman pembelajaran yang amat berharga.
"Saya banyak belajar tentang keindahan dan kerumitan muzik tradisional, terutamanya apabila kami mula membuat rakaman bersama para pemuzik hebat yang memainkan biola, genderang seperti daf dan riq, serta instrumen seperti akordion dan gambus. Jamilah dan Irena adalah pemuzik dan penyanyi tradisional juga selain daripada genre pop - jadi saya banyak belajar tentang muzik tradisional dari mereka," dedah penyanyi berusia 30 tahun itu.
TERSILAP EJAAN NAMA, LAGU DAPAT SAMBUTAN
Bagaimanapun, dalam video publisiti menjelang pelancaran album Gema Bumantara, nama Amni Musfirah silap dieja sebagai 'Amni Musrifah' bagi ketiga-tiga peranan yang dimainkannya dalam penghasilan lagu itu
Ketika dihubungi wartawan Roslinda Rahmat, Amni setakat menjawab dengan seloroh, "Silap ejaan itu 'typo' sahaja ye, heheh."
Semakan awal kami di Instagram mendapati lagu 'Cenderamaya' diterima baik oleh khalayak media sosial.
"Kami berharap pendengar dan juga Sitizoners dapat menerima lagu kami, 'Cenderamaya' dengan baik. Dato' Sri sepertimana kita tahu adalah penyanyi yang hebat dan kami amat berbesar hati kerana beliau dapat menghidupkan lagu kami dengan bakat beliau," luah Amni Musfirah secara eksklusif kepada Berita Mediacorp.
Kali terakhir Siti Nurhaliza menerbitkan album tradisional ialah pada 2008 menerusi album 'Lentera Timur'.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.