Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

ALYPH lancar EP solo pertama; 'teramat' puas hati dengan perjalanan seninya sejauh ini

Setelah sekian lama menghasilkan lagu-lagu hit bersama artis-artis lain, veteran hip hop S'pura ALYPH kini ingin tumpukan perhatian kepada muziknya sendiri.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Enam tahun sejak beliau mengorak langkah sebagai artis solo, rapper dan ‘beat maker’ kelahiran Singapura, ALYPH, melancarkan EP solo pertamanya yang berjudul III/III pada 3 September lalu.

Pada usia 32 tahun, ALYPH, atau nama sebenarnya Alif Abdullah, boleh dianggap sebagai seorang artis mapan industri hip-hop dan R&B yang disegani di rantau ini dan amat prolifik dalam menghasilkan karya bersama artis-artis hebat seperti Joe Flizzow, SonaOne dan Jay Park sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Kini, artis di bawah naungan Def Jam Asia Tenggara itu percaya bahawa sudah tiba masanya untuk beliau menumpukan pula perhatian kepada muziknya sendiri.

Ikuti wawancara ALYPH bersama wartawan kami, Izzah Imran.

Tahniah ALYPH atas EP terbaru anda. Sejauh ini ALYPH banyak mengeluarkan ‘single’ atau berkolaborasi bersama artis lain, jadi apakah yang mendorong anda untuk mengeluarkan EP pula kali ini?

Saya rasa saya mahu letakkan perhatian kepada diri saya sebagai seorang artis. Saya sudah lama tidak terbitkan lagu untuk diri saya sendiri. Jadi, saya nak bermula semula dan saya berterima kasih kepada rakan-rakan artis saya yang sangat memahami dan menyokong saya.

Sebelum saya memulakan kerjaya sebagai artis solo, saya mengambil masa dalam dua tiga tahun untuk mencari identiti saya, bunyi saya yang tersendiri. Sebelum itu, saya banyak bekerjasama dengan rakan-rakan artis sehingga saya lupa cara bekerja dengan diri saya sendiri.

Antara mencipta lagu untuk artis lain dengan menghasilkannya untuk diri anda sendiri, mana satu yang lebih mencabar?

Sebenarnya, saya rasa sayalah artis paling susah untuk saya terbitkan lagu kerana saya boleh buat apa-apa yang saya mahu. Jadi saya perlu pilih arah mana yang hendak dituju. Saya percaya bahawa seseorang artis harus mempunyai identiti yang sangat kuat.

Kadang-kadang, apabila saya dengar lagu lain, saya dapat inspirasi untuk membuat lagu macam ini macam itu, saya rasa seperti semuanya boleh. Tetapi saya perlu berdisiplin.

Sila kongsi kisah di sebalik penerbitan III/III (tiga pertiga). Mengapa tiga lagu sahaja?

Sepatutnya dikeluarkan sebagai album penuh. Tetapi apabila lagu pertama daripada album itu (Adakah Kau Mendengar?) dipetik untuk dijadikan single, saya mengambil keputusan untuk mengubah konsep untuk menjadi lebih sinematik. Ia melibatkan konsep trilogi kerana saya meminati Star Wars dan tiga sebagai permulaan, pertengahan dan penghabisan. Dari itu, saya mula mencari tiga lagu yang sesuai dibuat jalan cerita dan juga sedap didengarkan bersama.

Dari mula hingga akhir, mengambil masa dalam setahun. Saya mencipta banyak lagu dan ia memakan masa kerana saya banyak bereksperimen dan saya perlu meyakinkan diri sendiri.

Adakah pandemik COVID-19 ini telah menjejas anda atau kerjaya anda?

Ia membuat saya lebih sedar tentang kondisi saya sebagai seorang manusia - keadaan mental saya dan betapa pantas hidup saya berlalu sebelum ini. Apabila masa seperti bergerak lebih perlahan (disebabkan pandemik), saya terpaksa ajar diri saya untuk perlahankan diri.

Dan dari situ juga ia merubah cara saya menghasilkan sebuah lagu.

ALYPH antara segelintir artis Melayu Singapura yang benar-benar berjaya menjadikan muzik sebagai kerjaya sepenuh masa. Pada pendapat anda, apakah cabaran-cabaran yang dihadapi oleh artis-artis Singapura?

Saya rasa satu cabaran besar ialah fokus. Saya pun kadang-kadang terkesan juga. Fokus kita lari. Saya rasa yang paling penting adalah untuk mengenali niat kita kerana industri hiburan ini adalah antara industri yang paling sukar untuk diceburi dan juga untuk terus bertahan. Banyak yang boleh mencuri perhatian kita, jadi saya ingin tekankan bahawa anda tidak boleh biarkan apa-apa mencuri fokus anda.

Melihat perjalanan anda sebagai seorang artis sejauh ini, adakah anda berpuas hati?

Sangat puas hati. Teramat.

Apakah nasihat ALYPH kepada sesiapa saja yang ingin mengikut jejak anda?

Jangan (tertawa). Bergurau saja…Kalau boleh, saya mahu mereka mengkaji langkah-langkah yang saya ambil sepanjang kerjaya saya dan cuba fahami mengapa saya melakukannya. Tetapi, jangan ikut hasil saya. Sesuaikannya dengan diri anda sendiri.

Itu yang menimbulkan keunikan dalam kalangan artis yang saya rasa sangat-sangat penting untuk industri kita.


Lagu-lagu 'Adakah Kau Mendengar?', 'Skali Lagi' dan 'Show Me Colours' dari EP III/III boleh didapatkan melalui semua platform penstriman utama.

ALYPH turut berkongsi rancangan untuk mengeluarkan lebih banyak karya baru seawal hujung tahun ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan