Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Along Cham mengaku tidak bersalah miliki ganja

Anggaran Waktu Membaca:
Along Cham mengaku tidak bersalah miliki ganja

(Gambar: Petikan skrin kosmo_online/Instagram)

Diterbitkan : 20 Dec 2024 02:36PM Dikemas Kini : 20 Dec 2024 02:37PM
SEPANG: Pelakon dan pelawak, Along Cham mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada Jumaat (20 Dis), atas satu tuduhan memiliki dadah jenis ganja dengan anggaran berat 58.23 gram pada Sabtu minggu lalu.

Dalam laporan Sinar Harian, Along Cham atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 41 tahun, membuat pengakuan itu selepas tuduhan terhadapnya dibaca di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Mengikut pertuduhan di Mahkamah Sesyen, dia didakwa ada dalam pemilikannya, bahan disyaki dadah berbahaya jenis ganja anggaran berat 58.23 gram, di sebuah rumah di Cyberjaya pada pukul 3.10 petang pada 14 Disember lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) akta sama, yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun, dan sebatan tidak kurang 10 kali, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding tersebut, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin sementara tertuduh diwakili peguam Mohd Fadly Hashim, menurut Sinar Harian.

Hakim tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan prosiding serahan laporan kimia pada 27 Januari tahun depan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan artis tersebut ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan kes memiliki dadah jenis ganja di rumahnya di Cyberjaya, Sabtu minggu lalu.

Dalam serbuan berkenaan, polis turut menemui dua paket plastik berisi daun kering disyaki ganja seberat 60.3 gram dan selebriti itu juga disahkan positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC).

Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, Penolong Pesuruhjaya Norhizam Bahaman, lelaki itu berdepan tuduhan mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Turut hadir di mahkamah ialah isteri selebriti itu, Afreena Suhaimi, 32 tahun, yang memberitahu akan terus berjuang demi menuntut keadilan buat suaminya.
Sumber : Agensi berita/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan