Along Cham dilepas tanpa dibebaskan atas kesalahan dadah
Pelakon dan pelawak Muhammad Nizamuddin Ahmad atau lebih dikenali Along Cham melakukan sujud syukur selepas Mahkamah Sesyen pada Isnin (27 Jan) melepas tanpa membebaskannya (DNAA) atas satu tuduhan memiliki dadah jenis ganja.

Gambar: Astro Gempak
Bagaimanapun, bekas peserta program realiti berusia 41 tahun itu didakwa di Mahkamah Majistret pada Isnin atas dua tuduhan lain iaitu masing-masing memiliki dadah dan mengambil dadah serta diberi ikat jamin RM5,000 (S$1,538).
Sebelum ini di Mahkamah Sesyen, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Faraheen Yahya memberitahu, hasil laporan kimia tertuduh, pendakwaan memohon tuduhan di bawah Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dipinda dan dibawa ke Mahkamah Majistret untuk dituduh mengikut Seksyen 39A (1) ADB 1952.
Mendengar perkara berkenaan, Hakim Ahmad Fuad Othman memerintahkan Muhammad Nizamuddin dilepas tanpa dibebaskan.
"Tuduhan kamu di bawah Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 ini DNAA. Kemudian kamu akan dituduh di Mahkamah Majistret dan tuduhan ke atas kamu diturunkan," katanya.
Di Mahkamah Majistret, Along mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan lain iaitu memiliki dadah jenis kanabis dan memasukkan dadah ke badannya pada hari sama.
Mengikut tuduhan pertama, pelawak itu didakwa memilki bahan berbahaya jenis ganja seberat 49.61 gram di sebuah rumah di Cyberjaya pada pukul 3.10 petang, 14 Dis 2024.
Dia dituduh mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39(a)(1) akta sama.
Bagi tuduhan kedua, dia didakwa memasukkan dadah berbahaya disyaki jenis tetra hydrocannibol (THC) pada 10 malam, tarikh sama, di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang.
Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 boleh dibaca bersama 38B akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun dan dikenakan pengawasan tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.
Pada 20 Disember tahun lalu, Muhammad Nizamuddin didakwa memiliki dadah disyaki ganja dianggarkan seberat 58.23 gram di kediamannya di Cyberjaya pada 3.10 petang, 14 Disember tahun lalu.
Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan menetapkan jaminan masing-masing RM3,500 (S$1,076) dan RM1,500 (S$461) bagi dua tuduhan berserta seorang penjamin dan 7 April untuk serahan laporan kimia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.