Skip to main content

Hiburan

All Stars Gegar Vaganza: Hady Mirza rampas semula tempat teratas, Ezad Lazim tersingkir

Anggaran Waktu Membaca:


SHAH ALAM: Selepas bertarung selama tujuh minggu, perjalanan peserta All Star Gegar Vaganza (GV10) iaitu Ezad Lazim akhirnya terkandas selepas diumumkan tersingkir pada Ahad malam (6 Nov).

Menerusi konsert yang berlangsung di Dewan Auditorium MBSA, Ezad yang menyertai GV10 menerusi kategori ‘hotseat’ tersingkir selepas mendendangkan lagu 'Seksa' nyanyian asal Ukays.

“Terima kasih kerana selalu menyokong saya dan jangan lupa saksikan Konsert Exists pada bulan Disember nanti,” katanya yang turut memaklumkan rumahnya sudah dinaiki air akibat banjir, lapor agensi berita Kosmo! Online.

Sementara itu, penyanyi Hady Mirza muncul sebagai peserta yang menduduki tempat teratas selepas meraih markah tertinggi daripada tiga juri tetap.

Tempat kedua pada konsert minggu itu menjadi milik Jaclyn Victor manakala Liza Hanim pula berada di tempat ketiga.


Hady Mirza sebelum ini, menduduki tempat pertama pada minggu kedua pertandingan tersebut, apabila dendangan lagu 'How Am I Supposed To Live Without You' nyanyian asal Michael Bolton berjaya menambat hati para pengadil.

Penyingkiran Ezad sekali gus menyaksikan Naqiu, Nikki Palikat, Liza Hanim, Hady Mirza, Azharina, Jaclyn Victor dan Noryn Aziz berjaya melangkah ke minggu kelapan.

Tidak ketinggalan, Siti Nordiana, Aliff Aziz dan Tomok turut berjaya ke peringkat seterusnya, menurut Kosmo! Online.

Sebelum ini, Suki Low, Cliff Umar, Aishah, Ayai Illusi dan Zamani merupakan peserta terawal yang sudah meninggalkan GV10.

Rancangan popular berkenaan menyaksikan kesemua bintang diadili oleh juri profesional iaitu Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Syafinaz Selamat.

Konsert GV10 diacarakan pengacara, Nabil Ahmad dan Jihan Muse.

GV10 memperlihatkan persaingan 10 bintang yang terdiri daripada juara-juara GV dari musim pertama hingga kesembilan.

Tambahan enam lagi bintang dipilih berdasarkan undian peminat menjadikan jumlah keseluruhan peserta GV10 seramai 16 peserta.

Juara GV10 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM200,000 (S$58,120) beserta trofi sumbangan Astro.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita