All Stars Gegar Vaganza: Aliff Aziz perhebat persiapan; utamakan kesihatan, kecergasan & latihan vokal

(Gambar: Instagram/Aliff Aziz)
Namun debarannya sudah semakin terasa, dengan 10 bekas juara gigih membuat persiapan masing-masing menjelang musim GV yang dijangkakan adalah yang paling sengit setakat ini.
Yang jelas, juara GV musim kelapan Aliff Aziz juga tidak ketinggalan dalam usaha memperhebatkan persiapan beliau bagi pertandingan kali ini.
"Yang saya utamakan buat masa sekarang menjelang permulaan musim GV tahun ini adalah kesihatan, kecergasan dan juga banyakkan latihan vokal sebagai persiapan kerana dengan izin Allah jika saya sihat, cergas dan juga bersedia, apa saja cabaran yang bakal saya hadapi sewaktu bertanding akan dapat saya tangani," kongsi Aliff dengan BERITA Mediacorp.
BERSAING DENGAN DIRI SENDIRI
Turut akur bahawa setiap peserta "sangat hebat" dan mempunyai "sesuatu yang hebat yang bakal ditonjolkan kelak", Aliff bagaimanapun enggan memberi tekanan pada dirinya sendiri.
Namun demikian, beliau tetap mahu bersaing - dengan diri sendiri.
"Saya tidak lihat ataupun meletakkan tekanan ke atas diri sendiri untuk bersaing dengan sesiapa, selain diri saya sendiri.
"Kalau terlalu memikirkan niat untuk bertanding dengan orang lain, ia akan menambahkan lagi tekanan yang tidak diinginkan. Jadi bagi saya, sekiranya saya mara dari minggu ke minggu, saya akan berusaha untuk menjadi lebih baik dari minggu sebelumnya," jelasnya.
Meskipun perlu berdepan pelbagai tekanan, penyanyi berusia 32 tahun itu tetap menyahut cabaran All Stars GV kali ini.
Malah Aliff turut berkongsi bahawa beliau berasa "bersyukur, teruja dan juga amat berbesar hati kerana berpeluang untuk sekali lagi beraksi di atas "pentas keramat GV" pada musim ini.
"Selepas bermacam-macam fasa berlalu dalam perjalanan hidup saya, pentas GV8 telah memberi satu 'revival' untuk kerjaya dan kehidupan saya. Jadi dengan itu, saya rasa untuk menjayakan musim GV kali ini menjadi satu cara saya jalankan tanggungjawab dan juga tanda penghargaan kepada keluarga GV," kongsi beliau kepada BERITA Mediacorp.
"PARA BEKAS JUARA PERTAHANKAN GELARAN MASING-MASING"
Yang pasti, sukar untuk meramalkan siapakah yang bakal membawa pulang gelaran juara musim ini dan juga hadiah wang tunai berjumlah RM200,000 (S$58,120) berserta trofi.
Aliff bahkan akur bahawa para peserta juga sedang berusaha untuk mempertahankan kejuaraan masing-masing.
"Semestinya adat pertandingan ada menang ada kalah, dan para juara yang bertanding sedang memperjuangkan gelaran masing-masing dalam musim ini.
"Saya akan terus berusaha memberikan yang terbaik setiap minggu, semoga semua terhibur dengan persembahan saya dalam musim ini. Selebihnya saya berserah dan bertawakal," ujar Aliff.
"Semoga yang terbaik akan dinobatkan sebagai juara musim ini."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.