Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Aliff Syukri dibebaskan dengan ikat jamin atas dakwaan dera anak angkat

Polis menahan seorang jutawan kosmetik terkenal semalam selepas didakwa memukul dan mendera anak angkatnya yang berusia dua tahun di sebuah rumah di Petaling Jaya pada bulan lalu. 

Anggaran Waktu Membaca:
Aliff Syukri dibebaskan dengan ikat jamin atas dakwaan dera anak angkat

Jutawan Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman. (Gambar: Instagram/ aliffsyukriterlajaklaris)

Diterbitkan : 06 Mar 2020 04:41PM Dikemas Kini : 06 Mar 2020 04:44PM

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang jutawan kosmetik terkenal semalam selepas didakwa memukul dan mendera anak angkatnya yang berusia dua tahun di sebuah rumah di Petaling Jaya pada bulan lalu. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Bernama.

“Siasatan telah dibuat dan individu berkenaan telah dibebaskan dengan jaminan polis semalam,” katanya pada Jumaat (6 Mac).

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Polis sudahpun mengambil keterangan usahawan kosmetik berkenaan berhubung kes itu pada Rabu lalu, menurut Bernama lagi.

Sementara itu Malaysiakini pula mendedahkan identiti usahawan kosmetik tersebut sebagai Aliff Syukri.

“Tangkapan telah dibuat ke atas Aliff Syukri semalam," lapor Malaysiakini, menukil kenyataan Encik Fadzil Ahmat.

“Siasatan dibuat dan dia dibebaskan dengan jaminan polis.”

Malaysiakini juga menukil Encik Fadzil sebagai mengesahkan semalam bahawa pihaknya menerima aduan daripada pembantu rumah Indonesia Aliff.

Dalam aduan tersebut, wanita itu mendakwa bahawa Aliff mendera anak angkatnya yang berumur dua tahun.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan, berdasarkan aduan pengadu, Aliff didakwa memukul anak angkatnya sewaktu ingin merakam gelagatnya menangis bagi tujuan publisiti.

Menurut Malaysiakini lagi, pengadu mendakwa bahawa Aliff juga mengarahkannya memukul budak itu namun beliau enggan menuruti arahan tersebut. Aliff akhirnya dikatakan memukul anak itu sendiri menggunakan kasut dan mencubitnya.

Malaysiakini juga melaporkan pengadu itu sebagai berkata bahawa beliau membuat aduan kepada polis kerana risau dituduh memukul anak angkat Aliff.

Satu salinan aduan polis dipercayai berkaitan kes berkenaan turut tular di media sosial sejak 4 Mac lalu.

Sumber : Bernama/Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan