Aliff Syukri beri penjelasan tentang kontroversi wanita 'hodoh', 'berkulit gelap'
Tindakan jutawan kosmetik, Aliff Syukri menyifatkan seorang wanita sebagai hodoh dan mempersendakan mereka yang berkulit gelap dikritik hebat warga siber.

Aliff Syukri menjelaskan tentang kontroversi baru-baru ini bersama wanita yang sebelum ini beliau sifatkan sebagai hodoh. (Gambar: Instagram)
KUALA LUMPUR: Tindakan jutawan kosmetik, Aliff Syukri menyifatkan seorang wanita sebagai hodoh dan mempersendakan mereka yang berkulit gelap dikritik hebat warga siber.
Ramai yang bersimpati dengan wanita 'malang' yang disifatkan sebagai 'hodoh' oleh Aliff.
Semalam (8 Nov), Aliff memuat naik satu video di Instagramnya untuk menjelaskan tentang kejadian yang dikecam bertubi-tubi di media sosial.
Video itu dengan cepat menjadi tular kerana wanita yang beliau sifatkan sebagai hodoh itu turut tampil dalam video tersebut, lapor New Straits Times Malaysia.
Aliff menjelaskan bahawa wanita itu sebenarnya salah seorang kakitangannya. Wanita terbabit malah sudah diberitahu terdahulu beliau akan mengambil bahagian dalam pembuktian keberkesanan produk yang akan disiarkan secara langsung.
"Ia sudah dirancang. Kami baik-baik sahaja dan tidak berdendam. Ia merupakan sebahagian tanggungjawab saya," kata wanita itu dalam video berkenaan seperti ditukil New Straits Times.
Aliff berkata: "Saya mohon maaf jika saya menyinggung sesiapa. Saya sebenarnya ingin menggunakan perkataan 'kusam' tetapi saya tercari-cari perkataannya dalam bahasa Inggeris. Jadi saya tercakap 'ugly'," katanya.
Dalam penerangan gambar yang disertakan bersama video itu, beliau menerangkan bahawa beliau tidak akan menyentuh wajah seseorang tanpa meminta izin.
Dalam episod terkini Gegar Vaganza Musim ke-5, Aliff yang merupakan penaja utama peraduan itu diberi beberapa minit untuk memasarkan produk pemutih kulitnya kepada para penonton.
Namun, strateginya memanggil seorang penonton wanita hodoh mengundang kecaman ramai. Beliau dituduh bersifat perkauman dan sengaja mempersendakan tentang warna kulit seorang penyanyi berbangsa India, Santesh.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.