Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Aliff Aziz 'tidak fikirkan' kemenangan; beri tumpuan buat persembahan terbaik sepanjang musim

Setelah sembilan minggu bersaing, penyanyi tempatan Aliff Aziz berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir Gegar Vaganza.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Setelah sembilan minggu bersaing, penyanyi tempatan Aliff Aziz berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir Gegar Vaganza.

Aliff bakal berentap dengan lima finalis lain bagi merebut gelaran Juara musim kelapan pertandingan itu pada Ahad ini (23 Jan).

Finalis-finalis lain terdiri daripada Nikki Palikat, Adibah Noor, Aweera, Suki Low dan Azan Scan.

Keenam-enam mereka masing-masing akan membawakan tiga buah lagu dalam bentuk solo, duet dan 'battle'.

Aliff akan membawakan lagu Sampai Syurga oleh Faizal Tahir, Dealova nyanyian asal Once bersama Hafiz Suip dan Bangun oleh Aman RA dalam pusingan 'battle' bersama Aweera.

aliff aziz
(Gambar: Astro/Azrul Rafie)

Kejayaan ini juga menjadikan Aliff penyanyi tanah air kedua yang berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir pertandingan itu.

Sebelum ini Juara Singapore Idol musim kedua, Hady Mirza juga pernah bersaing pada pentas akhir Gegar Vaganza musim keenam.

Malah beliau turut membolot hadiah wang tunai RM100,000 (SGD$32,249) dan berkongsi gelaran Juara dengan penyanyi Naqiu.

TIDAK FIKIR TENTANG KEMENANGAN; BERI TUMPUAN BUAT PERSEMBAHAN TERBAIK

Ditanya tentang peluang kemenangannya pada peringkat akhir nanti, Aliff Aziz berkongsi dengan BERITAmediacorp, beliau "tidak memikirkan" tentang kemenangan.

Sebaliknya, beliau lebih tertumpu untuk memberikan persembahan beliau yang terbaik sepanjang musim pada hujung minggu ini.

Meskipun sering menduduki tangga tiga teratas setiap minggu, penyanyi 30 tahun ini ingin terus memperbaiki diri dan mempertingkatkan prestasinya bagi malam kemuncak itu nanti.

aliff aziz
(Gambar: Astro/Azrul Rafie)

"Saya hanya mahu lakukan lebih baik daripada minggu sebelumnya, jadi maksudnya macam setiap minggu itu, Aliff akan meneliti semula persembahan saya untuk minggu itu dan apa yang boleh diperbaiki.

"Saya mendapat komen yang macam Aliff masih simpan-simpan lagi suara dan sebagainya tetapi insya-Allah saya akan lakukan sebaik mungkin bagi peringkat akhir ini dan saya tahu ada ramai peminat-peminat di Singapura yang mengharapkan Aliff membuat sebaik mungkin, jadi saya lakukan ini untuk anda juga," kata bapa dua orang anak ini.

CABARAN MENJELANG PERINGKAT AKHIR

Diasak dengan jadual padat pada minggu terakhir pertandingan ini, penyanyi yang popular dengan lagu Sayang Sayang itu akur cabaran utamanya adalah untuk menjaga kesihatan dan mendapat rehat yang secukupnya sebelum beraksi di pentas akhir.

"Dalam apa-apa pun yang kita buat, rehat dan juga kesihatan itu sangat-sangat penting jadi Aliff rasa untuk minggu ini, minggu terakhir ini, memang ada beberapa komitmen yang diperlukan oleh para finalis GV.

"Rancangan Aliff adalah untuk menjaga kesihatan insya-Allah semoga sepanjang minggu ini Aliff sihat dan menjelang konsert akhir kita berada pada prestasi terbaik," kata beliau.

aliff aziz
(Gambar: Astro/Azrul Rafie)

Bagaimanapun, beliau berkongsi rasa teruja dan rendah diri dapat melayakkan diri hingga ke peringkat akhir selepas "beberapa tahun melalui fasa-fasa yang mencabar".

"Dalam beberapa tahun yang kita melalui fasa-fasa mencabar ini, saya seperti hilang diri.

"Dalam industri yang sukar ini, kadang kala orang boleh sanjung kita untuk satu ketika dan pada saat lain, sesuatu berlaku, orang ramai boleh berpaling tadah.

"Untuk Aliff, Alhamdulillah, terima kasih kepada semua yang menyokong dan memberikan doa-doa yang baik-baik dan kata-kata semangat," ujar Aliff, yang pernah berkhidmat dengan Jamiyah Singapura sebagai seorang Pegawai Bersekutu Pendampingan Masyarakat dua tahun lalu.

PENGALAMAN BERHARGA & PEMINAT DUA NEGARA

Malah, antara pengalaman berharga yang diraih Aliff adalah peluang bekerjasama dengan pengarah muzik Ramli M.S. yang memberitahu apa yang boleh diperbaiki dan kelemahan mereka tanpa berselindung.

"Itu adalah satu benda yang kita tak dapat di tempat lain kerana sebagai penyanyi dan artis rakaman profesional, anda tidak dapat komen langsung seperti itu.

"Ini akan menjadi pengalaman indah yang akan kami bawa bersama walaupun selepas GV dan pada kerjaya kita dalam dunia nyanyian dan lakonan. Ia melatih kita menjadi lebih berdisiplin," kongsi Aliff yang pernah menjuarai pertandingan nyanyian Anugerah 2007.

Walaupun pada mulanya agak ragu untuk menyertai Gegar Vaganza, tekad dan kerja kerasnya kini membuahkan hasil selepas menerima sokongan memberangsangkan daripada peminat kedua-dua negara.

aliff aziz
(Gambar: Astro/Azrul Rafie)

"Pertama kali saya memasuki GV untuk tengok apa yang akan terjadi, apa yang Aliff boleh belajar, anggapnya sebagai akademi tapi selepas minggu kedua, minggu ketiga, minggu keempat dan beberapa minggu selepas itu, Aliff melihat banyak sokongan daripada para peminat saya dan juga orang yang gemarkan Gegar Vaganza ini dari Singapura dan dari sini di Malaysia.

"Saya tahu ada ramai peminat di Singapura yang mengharapkan Aliff membuat sebanyak mungkin, jadi saya lakukan ini untuk anda juga.

"Saya akan lakukan yang terbaik, ada tiga lagu, ia akan menjadi malam yang mencabar bagi semua tetapi saya pasti ia akan menjadi malam yang menyeronokkan," ujar Aliff.

Bakal juara Gegar Vaganza musim kelapan akan membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 (S$32,249) dan trofi.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan