Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Aliff Aziz: 'Saya harap saya berjaya membanggakan S'pura dengan kemenangan saya'

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Penyanyi Aliff Aziz meluahkan harapan bahawa beliau sudah dapat "membanggakan Singapura" dengan kejayaannya menjuarai Gegar Vaganza 8 kelmarin (23 Jan).

Bercakap secara eksklusif kepada BERITAmediacorp hari ini (25 Jan), Aliff berkata kemenangan dan kemahsyuran yang diterimanya itu kini menjadi suatu "tanggungjawab besar" untuk beliau "sebarkan seberapa banyak kebaikan yang boleh melalui media".

Aliff juga berharap kejayaan menjulang GV8 itu akan "memberi cahaya baru kepada kerjaya, kehidupan" dan juga kepada keluarganya.

INI "KELAHIRAN SEMULA" ALIFF AZIZ SEBAGAI ARTIS?

Dalam wawancara bersama kami ini, Aliff yang kini lebih condong kepada jalan keagamaan lebih banyak berfalsafah mengenai kejuaraan yang ditempanya dalam GV8.

--

Ditanya, adakah ini petanda "kelahiran semula" Aliff sebagai seorang artis, ini jawapan Aliff:

"Saya akan gagal dan Aliff akan gagal kalau Aliff cakap Aliff menang sebab Aliff yang rajin, macam ini macam itu. Jadi ini bukan pasal itu. Saya beri yang terbaik. Tentu sekali ada ikhtiar di sebalik apa yang Aliff persembahkan pada hari Ahad. Tetapi Aliff yakin dengan sepenuh hati, ini semua adalah susunan Allah.

"Jadi untuk Aliff, saya pegang ini sangat kuat dan sungguh-sungguh," jawab Aliff.

Menurut Aliff, menyusuli kejayaan ini, beliau akan menyiapkan bahan-bahan untuk mengeluarkan lagu baru yang akan diedarkan tahun ini. Aliff juga akan kembali ke dunia lakonan.

AKAN KERJAKAN UMRAH BULAN DEPAN

Namun antara agenda utama atau rancangan segera dalam diari penyanyi berusia 30 tahun itu ialah - Aliff mahu berangkat mengerjakan umrah bersama keluarganya sekitar dua minggu dari sekarang.

Aliff mengesahkan kepada kami bahawa ini kali pertama beliau akan melakukan ibadah umrahnya di Tanah Suci.

Menurut Aliff, jika tiada aral melintang, beliau mungkin berangkat seawal 9 Februari ini.

HARAP SUDAH "BERJAYA MEMBANGGAKAN S'PURA"

Sebagai hadiah kemenangan menjadi juara GV8, Aliff membawa pulang wang RM100,000 (S$32,100).

--

Dalam wawancara menerusi Zoom ini, Aliff sempat menunjukkan piala kemenangan GV8 itu dan berkata beliau mahu berkongsi kejayaan itu "dengan peminat saya di Singapura".

"Saya harap saya berjaya membanggakan Singapura dengan kemenangan saya Ahad lalu.

"Dan apa yang para penyokong boleh menjangkakan adalah Aliff akan terus berusaha untuk meningkatkan prestasi dalam bidang seni dan mengeluarkan karya-karya yang lebih baik untuk anda semua," kata Aliff penuh harapan.

"BILA ANDA JATUH KE TEMPAT PALING BAWAH..."

Umum tahu bahawa kemenangan ini cukup istimewa bagi Aliff kerana sebelum beberapa tahun lalu penyanyi berbakat itu melalui detik-detik hitam pada 2019 yang mencalar reputasinya. Pada tahun 2020 Alif dikenakan hukuman penjara dua minggu dan didenda bagi kesalahan berkelakuan tidak senonoh di tempat awam dan mencuri.

Namun selepas itu, Aliff membuktikan azam untuk berubah dan 'cahaya' di wajahnya kini juga kelihatan berbeza. Aliff kini cukup dewasa dan kelihatan tenang. Pengucapannya dalam hampir kesemua wawancara sekarang ini sarat dengan inti kesyukuran dan kerohanian.

Itu jugalah yang banyak dipaparkan dalam wawancara dengan BERITAmediacorp ini.

--

"Dalam kehidupan ini selagi kita masih ada nyawa dikandung badan masih belum terlambat untuk kita cuba buat sehabis baik untuk ubah kehidupan kita ke arah kebaikan.

"Bila anda jatuh ke tempat paling bawah, anda tiada tempat lain kecuali naik atas, Insya Allah. Dan Aliff sebenarnya tidak sangka macam-macam pintu yang Allah sudah buka untuk Aliff," ujarnya penuh yakin.

Menurut Aliff lagi, beliau berharap kejayaannya itu akan dapat memberi inspirasi kepada belia di luar sana terutama yang pernah jatuh dalam kehidupan.

"Sebenarnya dalam setiap kesenangan ada ujian, dalam kesusahan ada ujian, dalam kesihatan ada ujian, dalam diri tidak sihat ada ujian juga. Pendek kata, kehidupan ini penuh dengan ujian," tambah Aliff.

Justeru, beliau turut menekankan mengenai pentingnya dikelilingi dengan insan-insan yang positif serta menjaga silaturahim bersama keluarga. Ini menurut Aliff amat berharga kerana ahli keluarga merupakan insan-insan yang akan setia bersama.

TERHUTANG BUDI KEPADA JAMIYAH SINGAPURA

Dalam pada itu, Aliff yang pernah bekerja di Persatuan Jamiyah Singapura selama sekitar setahun pada 2020 turut mengambil kesempatan untuk meluahkan rasa terima kasihnya kepada bekas majikannya itu, termasuk Presiden Jamiyah, Dr Mohd Hasbi Abu Bakar, yang membantu dan memberinya peluang saat beliau dalam kesusahan dahulu.

--

"Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Dr Hasbi dan Encik Jaafar, Encik Shariff, Encik Halim. Mereka semua bos saya semasa saya bekerja dengan Jamiyah selama sekitar setahun. Mereka membantu saya banyak dalam mempersiap saya untuk kembali ke jalan yang saya mahu tujui.

"Semasa keadaan sangat buruk bagi saya ketika itu, mereka membuka pintu dan memberi Aliff peluang untuk bekerjasama dalam kerja-kerja amal dan juga membantu masyarakat.

"Jadi saya sangat-sangat gembira dan sentiasa berterima kasih kepada setiap daripada mereka dan semua yang terlibat dalam Jamiyah Singapura," ucap Aliff.

Aliff kini sudah tidak lagi bekerja dengan Jamiyah dan sudah kembali aktif di Malaysia.

Namun menurut Aliff beliau akan sentiasa bersedia untuk membantu Jamiyah dalam apa cara yang beliau boleh.

Kata Aliff: "Sekarang saya mahu mereka tahu bahawa apa-apa pun yang mereka mungkin perlukan daripada saya pada masa depan, saya sentiasa sedia. Insya Allah."

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan