Aliff Aziz makin tekun kejar ilmu agama
Perkongsian penyanyi dan pelakon kelahiran Singapura, Aliff Aziz, mengenai pelibatannya dalam jemaah tabligh menerusi media sosial baru-baru ini mengukuhkan hakikat hidayah itu milik Allah.

Penyanyi dan pelakon, Aliff Aziz, bersama isterinya, Bella Astillah. (Gambar: Aliff Aziz/Instagram)
KUALA LUMPUR: Perkongsian penyanyi dan pelakon kelahiran Singapura, Aliff Aziz, mengenai pelibatannya dalam jemaah tabligh menerusi media sosial baru-baru ini mengukuhkan hakikat hidayah itu milik Allah.
Siapa sangka, Aliff yang sebelum ini sering terpalit dengan kontroversi 'panas' akhirnya dibuka pintu hati untuk melakukan penghijrahan.
Berkongsi kisah di sebalik perubahan kerohaniannya, lapor BH Online, Aliff mengaku ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan selain cabaran besar yang menanti setiap detik.
Justeru, kata penyanyi yang terkenal menerusi lagu Sayang-Sayang itu, hanya doa yang diharapkan untuk dirinya terus tabah menempuh ujian dan istiqamah.
"Rasa segan dan tidak layak untuk bercerita mengenai perkara ini. Saya masih belajar dan sedang berusaha untuk memahami perkara berkaitan agama.
"Semua yang berlaku ini sudah disusun cantik Allah. Perubahan ini berlaku secara tiba-tiba selepas saya melihat catatan yang dimuat naik Faizal Ismail (FBI) ketika dia menyertai aktiviti melibatkan jemaah tabligh dari Dakwah Tabligh Malaysia.
"Daripada situ, timbul minat untuk menyertai aktiviti tabligh. Saya terus hubungi pertubuhan itu untuk bertanyakan lebih lanjut mengenai aktiviti dianjurkan," kongsi Aliff seperti ditukil BH Online.
HAMPIR PATAH SEMANGAT
"Walaupun berlaku insiden yang hampir mematahkan semangat, namun, akhirnya Tuhan makbulkan impian saya itu. Ternyata bukan mudah terutama dalam hal yang membabitkan soal iman.
"Namun, saya bersyukur kerana akhirnya impian saya itu terlaksana apabila dapat bersama-sama jemaah menjalankan kerja-kerja dakwah.
"Doakan semoga perjalanan saya dalam mencari kefahaman ilmu agama lancar dan kekal istiqamah dengan jalan yang saya pilih ini," katanya kepada BH Online.
UMPAMA ANAK KECIL DIBERI MAINAN
Biarpun masih baru, namun, pengalaman dikutip sepanjang tiga hari bersama Dakwah Tabligh Malaysia menghadiahkan kenangan paling manis buatnya.
"Suatu perkara yang membuatkan saya kagum dengan jemaah ini adalah setiap orang dilayan sama rata, tanpa mengira status atau pengalaman silam.
"Walaupun ada jurang status yang sangat besar, namun, setiap daripada mereka dianggap sama. Masing-masing adalah hamba Allah.
"Saya sangat bersyukur kerana berada dalam lingkungan mereka yang saling mendorong dan memberi nasihat. Iman bagi mereka yang baru belajar mendalami agama umpama anak kecil yang diberi mainan," ungkap Aliff.
"Ketika anak-anak mula mendapat mainan, mereka sangat seronok. Namun, lama-kelamaan keterujaan itu akan hilang. Begitulah juga ibaratnya iman kepada seseorang.
"Walaupun sebelum ini saya tidak pernah korbankan apa-apa untuk agama Allah tetapi Allah masih bukakan jalan ini untuk saya," ujar lelaki berusia 30 tahun itu kepada BH Online.
BERKAT DOA, RESTU KELUARGA
Pelakon drama rantaian Meh Sandar Pada Aku dan Halalkan Hati Yang Kucuri itu beruntung kerana keputusannya untuk mendalami agama mendapat sokongan insan tersayang.
Aliff menambah berkat sokongan serta restu itulah yang membuatkan urusan dakwah dipermudahkan dan ikatan kasih sayang antara mereka semakin utuh.
"Saya yakin semua yang berlaku ini adalah berkat doa ummi, ayah dan semua pihak. Sebelum ini, fasa kehidupan saya agak susah. Namun, sekarang, saya bersyukur kerana hubungan keluarga bertambah baik.
"Tidak dinafikan, Perintah kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 merapatkan kami. Kalau sebelum ini jarang telefon tapi hari ini, kami sering berhubung untuk bertanya khabar dan bertukar pendapat.
"Saya semakin rapat dengan isteri dan anak-anak. Seronok melihat anak saya, Ayden Adrean dan Ara Adreanna membesar di depan mata.
"Tiada apa yang diharapkan selain doa dari anda semua. Bukan sahaja untuk saya, sebaliknya untuk mereka yang berada dalam industri seni yang sedang menuju ke arah kebaikan," ujar abang kepada penyanyi tanah air, Aisyah Aziz.
TIDAK HALANG DIRI TERUS GIAT DALAM BIDANG SENI
Memilih untuk mendekati agama bukanlah halangan untuk suami kepada pelakon dan penyanyi, Bella Astillah, itu aktif dalam bidang seni yang menjadi sumber rezeki selama ini.
Malah, Aliff bersikap realistik apabila tidak meletakkan syarat yang boleh menimbulkan rasa kurang selesa rakan sekerja seperti yang cenderung dilakukan sesetengah selebriti berhijrah.
"Saya masih aktif dalam bidang nyanyian dan lakonan. Cuma, sama seperti artis lain, PKP menyebabkan aktiviti seni terhenti seketika.
"Walaupun sudah berubah ke arah yang lebih baik, namun, itu tidak bermakna saya perlu letakkan syarat dalam lakonan terutama dalam soal babak bersentuhan.
"Saya tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak. Apa yang boleh saya lakukan adalah berdoa iaitu jika perkara itu baik untuk saya, semoga Allah dekatkan. Jika sebaliknya, harap dijauhkan.
"Apa sahaja watak yang ditawarkan, saya akan terima kerana bagi saya itu adalah rezeki. Lagipun saya sudah lama berehat," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.