Skip to main content

Hiburan

Aliff Aziz dan Ruhainies didenda RM3,000; hukuman maksimum kes khalwat

Artis Alif Aziz dan Ruhainies didenda RM3,000 (S$906.80) atas kesalahan khalwat.

Anggaran Waktu Membaca:
Aliff Aziz dan Ruhainies didenda RM3,000; hukuman maksimum kes khalwat

Aliff dan Ruhainies pada awalnya mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan terhadap mereka pada 3 Jul 2024. (Gambar: Petikan skrin video TikTok/Astro Gempak)

Diterbitkan : 28 Feb 2025 03:23PM Dikemas Kini : 28 Feb 2025 03:25PM
KUALA LUMPUR: Artis Alif Aziz dan Ruhainies didenda RM3,000 (S$906.80) atas kesalahan khalwat. Jumlah tersebut merupakan hukuman maksimum yang boleh dijatuhkan Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan.

Hakim tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan hukuman lebih berat kerana ia bertentangan dengan undang-undang sedia ada, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Mohd Na’im Mokhtar, lapor Sinar Harian.

"Justeru, kami mencadangkan agar hukuman yang boleh dikenakan atau dijatuhkan oleh hakim mahkamah Syariah dipertingkatkan melalui pindaan Rang Undang-Undang (RUU) 355.

"Pindaan ini perlu dilakukan di peringkat persekutuan dan akan melibatkan semua negeri. Jika mahu meningkatkan kadar denda atau hukuman penjara, RUU 355 perlu dipinda,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Anugerah The Malaysia Book of Records, Ayam Gepuk Pak Gembus pada Khamis (27 Feb), lapor Sinar Harian.

Sebelum ini, Aliff atau nama sebenarnya Mohammad Aliff Aziz, 33 tahun, dan Ruhainies atau nama penuhnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 31 tahun, didenda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan pada 21 Feb lalu selepas mengaku bersalah atas tuduhan berkhalwat.

Pasangan yang ditahan tahun lalu itu menukar pengakuan mereka kepada bersalah, kongsi Dr Mohd Na'im.

Mereka pada awalnya mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan terhadap mereka pada 3 Jul 2024.

Dr Mohd Na'im juga menjelaskan, keputusan mahkamah mempertimbangkan faktor yang boleh mengurangkan hukuman termasuk pengakuan bersalah oleh tertuduh.

Kata beliau: “Dalam mana-mana kes, sama ada di Mahkamah Syariah atau sivil, prinsip ‘mitigating factor’ akan diambil kira. Salah satu faktornya adalah pengakuan bersalah oleh tertuduh yang boleh mengurangkan hukuman."

Berdasarkan laporan Sinar Harian, beliau turut menegaskan bahawa setiap pengakuan bersalah perlu dibuat secara sukarela, tanpa sebarang paksaan atau pengaruh luar.

Katanya lagi: “Hakim yang membicarakan kes akan bertanya sama ada tertuduh membuat pengakuan tanpa sebarang ugutan atau pengaruh.

“Ini adalah prosedur biasa, termasuk dalam kes ini kerana pada awalnya kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah sebelum menukar pengakuan mereka."
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita