Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Aliff Aziz akui kontroversi beri tekanan pada baki penggambaran drama baru lakonannya

Anggaran Waktu Membaca:
Aliff Aziz akui kontroversi beri tekanan pada baki penggambaran drama baru lakonannya

Gambar: iamaliffaziz/Instagram

KUALA LUMPUR: Belum ditayangkan di saluran TV3, drama rantaian 'Ku Akad Kau Dengan Bismillah' lakonan Aliff Aziz dan Sophia Albarakbah menarik perhatian ramai hingga menjadi bahan perdebatan 'hangat' di media sosial.

Semuanya gara-gara kontroversi di luar set penggambaran yang antara lain mendakwa Sophia cuba mengganggu keharmonian rumah tangga Aliff dan isterinya, Bella Astillah, melalui hantaran mesej serta panggilan kepada pelakon kelahiran Singapura itu.

Menurut laporan BH Online, isu bertambah hangat apabila Bella memuat naik tangkap layar perbualannya bersama individu dipercayai Sophia yang disyaki menjadi 'orang ketiga' yang cuba mengganggu rumah tangganya, seperti dikongsi di Instagram (IG).

Kontroversi berpanjangan apabila Sophia, pada saat akhir, membatalkan janji temu untuk hadir di sidang media drama 'Ku Akad Kau Dengan Bismillah' arahan Osman Ali di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, pada Rabu ketika ramai wartawan menanti kemunculan pelakon sensasi itu.

Tindakan Sophia itu kemudian dipersoal Bella yang teguh dengan pendirian membuat pendedahan atas perkara yang didakwanya sahih.

Rentetan kontroversi itu, warga net pantas mengandaikan apa yang berlaku sebagai perancangan syarikat produksi yang sengaja mencetuskan gimik untuk mengumpan penonton.

Ketika diajukan pertanyaan itu kepada Aliff, dia menepis dakwaan itu sambil menyatakan isu rumah tangga bukanlah satu perkara yang boleh dibuat main.

"Perkara ini bukan gimik. Aliff sendiri sebagai pelakon, jika pada masa akan datang perlu buat gimik untuk menaikkan sesuatu drama atau karya, Aliff tidak akan setuju."

"Adalah lebih baik drama itu naik kerana naskhah yang bagus berbanding sengaja mereka-reka cerita."

"Perkara seperti ini bukanlah sesuatu yang menggembirakan untuk kita jadikan bahan gimik."

"Ia juga bukan sengaja digembar-gembur untuk buat kecoh, sebaliknya, perkara ini benar-benar berlaku."

"Saya harap kita boleh tinggalkan apa yang sudah berlalu dan terus pandang ke depan," katanya semasa sidang media itu, dipetik daripada BH Online.

Berkongsi pengalaman membawa watak Luth Mikail dalam drama 'Ku Akad Kau Dengan Bismillah', juara musim kelapan Gegar Vaganza (GV8) itu mengakui berdepan cabaran menghidupkan watak tersebut.

"Saya tidaklah kata watak ini terlalu sukar atau mudah buat saya."

"Saya pernah berlakon dalam drama berunsur romantik komedi sebelum ini, mungkin tidak banyak beza buat saya."

"Cabarannya adalah bagaimana saya hidupkan watak supaya berbeza dengan apa yang pernah saya buat."

"Mujur abang Osman ada bagi 'input' ,termasuk mengubah gaya percakapan agar watak tampak berbeza," BH Online memetik kata-katanya.

Aliff mengaku cabaran lain yang terpaksa dihadapi adalah kontroversi yang tercetus ketika drama masih dalam pembikinan.

"Tidak dinafikan kontroversi itu memberi tekanan kepada saya dan seluruh produksi kerana penggambaran masih berbaki sebulan," katanya.

Ditanya bagaimanakah dia dan Sophia mencipta keserasian, Aliff atau nama sebenar, Mohammad Aliff Aziz, 32 tahun, mengaku pada awalnya, proses itu agak sukar.

"Tiga hari awal di lokasi penggambaran, agak sukar untuk kami cipta keserasian."

"Tetapi kami amalkan komunikasi secara terbuka untuk mencari rentak yang sesuai."

"Sebelum melakonkan sesuatu babak itu, kita bincang terlebih dahulu supaya babak itu nampak lebih hidup," katanya.

Selain Aliff dan Sophia, drama terbitan Nuansa Sdn Bhd itu menampilkan Shah Iskandar, Jasmine Suraya, Jasper Supayah dan ramai lagi.

Drama itu akan mula ditayangkan di slot Akasia TV3 dan platform Tonton pada Isnin ini, jam 7.00 malam.
 
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan