Ali XPDC terharu terima sumbangan PM Anwar
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi (kiri) menyampaikan sumbangan Encik Anwar kepada Ali di kediaman penyanyi itu di Bandar Salak Tinggi, Selangor. (Gambar: Anwar Ibrahim/Facebook)
Ali atau nama penuh, Mohd Ali Ismail, 56 tahun, berterima kasih kepada Perdana Menteri itu atas keprihatinan terhadap nasib anak seni yang kurang bernasib baik.
Sepanjang Ramadan, dia hanya bergantung kepada jualan maruku yang diusahakan isteri, Sharifah Syarzana, secara kecil-kecilan.
"Alhamdulillah, saya amat bersyukur dan berterima kasih atas keprihatinan ditunjukkan Perdana Menteri kepada anak seni. Sumbangan ini cukup besar maknanya buat kami sekeluarga kerana dapatlah digunakan untuk menyambut Syawal.
"Saya tahu ada cakap-cakap konon saya ambil kesempatan, namun secara jujurnya, saya kurang sihat dan semput. Jadi, sukar untuk saya keluar bekerja," katanya kepada BH Online.
Pada Rabu lalu, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi menyampaikan sumbangan Encik Anwar kepada Ali di kediaman penyanyi itu di Bandar Salak Tinggi, Selangor.
Ali bersyukur mendapat tawaran membuat persembahan selepas Aidilfitri dan meminta peminat berdoa agar dikurniakan kesihatan yang baik.
"Sebelum ini, saya kerap ditawar memberi tazkirah di masjid, namun tahun ini belum ada lagi yang meminta.
"Isteri usahakan perniagaan maruku secara kecil-kecilan. Apabila kisah saya tular, terlalu banyak tempahan diterima, namun isteri tidak mampu penuhi," katanya yang turut dibantu anak-anak dalam menampung kehidupan harian, menurut BH Online.
Sementara itu, Encik Anwar melalui hantaran Facebook mendoakan Ali yang terkenal dengan lagu 'Bunga Angkasa' diberi kesembuhan.
"Saya doakan Ali dikurniakan afiyah dan sentiasa diberi kekuatan untuk meneruskan kehidupan bersama keluarga tercinta. Insya-Allah," katanya, lapor BH Online.
Pada Mac 2022, Ali dilapor dikejarkan ke Hospital Ampang apabila didapati tidak bermaya selepas selesai berlatih di studio pemain bes XPDC, Eddie di Pandan Indah, Ampang.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.