Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Aishah sangka ‘prank’ diumum sebagai finalis Top 5 Anugerah Bintang Popular

Pelantun popular Aishah secara jujur mengatakan beliau menyangka kejayaan beliau ke senarai Top 5 untuk acara gah Anugerah Bintang Popular Berita Harian Malaysia (ABPBH 32) merupakan “satu prank”. Acara itu bakal disiarkan secara langsung di stesen TV3 pada 22 September ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Aishah sangka ‘prank’ diumum sebagai finalis Top 5 Anugerah Bintang Popular

Aishah. (Gambar-gambar: Aishahjmm/Instagram)

BERITAmediacorp: Pelantun popular Aishah secara jujur mengatakan beliau menyangka kejayaan beliau ke senarai Top 5 untuk acara gah Anugerah Bintang Popular Berita Harian Malaysia (ABPBH 32) merupakan “satu prank”. Acara itu bakal disiarkan secara langsung di stesen TV3 pada 22 September ini.

Untuk layak ke senarai Top 5, setiap artis yang dicalonkan terpilih menerusi sistem online 100 peratus di laman web ABHBH . Pada tahun 2018 sahaja, sejumlah 24 juta undi dibuat untuk kesemua kategori yang dipertandingkan.

Secara tidak langsung, acara itu menjadi platform kepada penggiat seni untuk mengetahui sejauh mana pembabitan mereka dalam industri dikenali, diiktiraf dan memberi impak kepada orang ramai.

Selain itu, ia turut memberi peluang pada peminat memilih artis kegemaran mereka secara online. Untuk tahun ini, 13 kategori dipertandingkan termasuk kategori Penyanyi Wanita Popular yang menyenaraikan Aishah, Ara Johari, Siti Nordiana, Stacy dan Wany Hasrita.

Penyanyi Aishah yang berasal dari Negeri Sembilan yang dihubungi penulis baru-baru ini memberitahu kami: “Rasa terkejut dan terharu. Tidak sangka selepas 32 tahun dalam industri muzik masih ada yang mencalonkan saya.”

Bahkan sebelum ini, penyanyi tersebut pernah mengatakan pada media negaranya bahawa beliau takut terkena ‘prank’ apabila pengumuman rasmi dibuat tentang kejayaannya ke senarai Top 5. Terang Aishah: “Sememangnya mula-mula saya ingatkan ada yang 'prank' kan saya kerana saya tak sangka langsung akan berada dalam Top 5.”

Kali terakhir penyanyi yang sinonim dengan lagu Janji Manismu itu dicalonkan untuk acara ABPBH adalah hampir 30 tahun lalu. ABPBH pertama kalinya dianjurkan pada tahun 1987.

Jika dilihat dari persaingan Aishah untuk kategori Penyanyi Wanita Popular tersebut, Aishah adalah artis paling senior dan berpengalaman. Jadi, apa pula pandangan Aishah mengenai persaingan ini?

Ini dia jawapan ringkas penyanyi dengan vokal mantap itu kepada penulis: “Persaingan itu sihat, satu cabaran bagi saya untuk kekal relevan dalam industri ini.”

Untuk setiap artis yang dicalonkan bagi acara tahunan tersebut, masing-masing mempunyai strategi mereka sendiri memancing undi serta mendapat sokongan daripada peminat mereka.

Ada yang dilakarkan sendiri oleh syarikat rakaman, pengurusan artis mahupun kelab peminat artis serta artis tersebut.

Kebanyakan artis akan menggunakan media sosial khususnya menerusi Instagram dan Facebook untuk tujuan tersebut agar dapat mendekati peminat-peminat mereka. Aishah pula bagaimana untuk ABPBH 32 kali ini?

“Tak ada apa-apa strategi yang tertentu. Cuma saya selalu saja melayan permintaan peminat bila-bila masa dan di mana saya berada,” jawabnya.

Bekas anggota kumpulan Aishah and The Fan Club dari New Zealand itu turut ditanya sama ada kehadiran kelab peminat artis dapat membantu artis kesayangan mereka untuk menang undi setiap kali acara seperti ini diadakan? Beliau hanya menyerahkan kepada ahli kelab peminat beliau untuk berbuat demikian.

“Terserah kepada mereka untuk memberi sokongan,” kata Aishah.

Beliau dalam pada itu dijangka muncul dengan single terbarunya yang mengandungi bait lirik ‘Oh Dunia Ini Penuh Kepalsuan’.

Sekiranya anda masih ingat, lagu popular Aishah berjudul Janji Manismu turut mengandungi bait lirik yang sama, ciptaan komposer Adam Ahmad sementara liriknya nukilan Aishah sendiri. Kehebatan lagu Janji Manismu terbukti apabila ia diangkat menjadi johan Anugerah Juara Lagu( AJL) TV3 pada tahun 1990.

Mengapa beliau memilih bait lirik yang sama untuk single terbaru kali ini?

“Mengapa tidak? Dari dulu saya mula menyanyi dalam tahun 1987 hingga sekarang ada persoalan sikap kepalsuan manusia secara berterusan,” katanya penuh bermakna kepada penulis.

Untuk pencalonan ABPBH yang akan diketahui keputusannya pada 22 September nanti, Aishah melahirkan “harapan supaya lebih ramai lagi artis-artis senior diberi platform untuk berkarya dalam industry muzik masa kini”.

Beliau akan turut membuat persembahan pada malam kemuncak ABPBH yang dinanti-nantikan oleh penggiat seni hiburan.

Apakah Aishah akan mempersembahkan single terbaru beliau pada malam tersebut buat pertama kalinya? Kita nantikan malam kemuncak ABPBH 32 nanti! 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan