Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

'Air Mata Ayah' gandingkan pelakon bapa-anak ini buat kali ketiga sempena Hari Bapa

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Persamaan antara bapa dengan anak yang sama-sama menceburi dunia seni lakonan ini memang tidak dapat disangkal - dari segi rupa, gaya dan juga cara lakonan.

Malah aura Iskandar Mazlan, yang mirip bapanya Mazlan Amat semasa mendalami wataknya, mengundang keterujaan kerabat kerja di set penggambaran.

"Gaya macam abang Mazlan!" bunyi komen yang sering diterima Iskandar, 26 tahun.

"Saya menganggapnya sebagai persamaan yang positif dan saya tidak ambil hati," kongsi Iskandar.

Mazlan yang sudah berkecimpung dalam dunia seni sejak tahun 1979 "berasa puas" mendengar komen sedemikian.

"Saya dapat tengok diri saya 30 tahun lalu dalam diri dia. Pada masa itu, saya tak 'nampak' diri saya sendiri. Sekarang saya berfikir, begini agaknya saya dulu. Saya rasakan satu kepuasan (melihat Iskandar sekarang)," ujar Mazlan, yang baru menyambut ulang tahun ke-60 beliau pada Selasa (14 Jun).

Bahkan, bagi para penonton yang belum berpeluang menyaksikan lakonan anak-beranak ini, mereka berdua digandingkan buat kali ketiga sebagai anak dan bapa dalam telemovie Air Mata Ayah pada Jumaat (17 Jun) sempena Hari Bapa hujung minggu ini.

Telemovie itu mengisahkan tentang Mahmud, seorang ayah yang garang dan yakin bahawa cara mendidik anak dengan tegas adalah cara paling berkesan untuk mencegah anak-anaknya daripada menuju jalan yang salah.

Meskipun niatnya baik, cara Mahmud menyebabkan anak kembarnya, Ali dan Aisyah, memendam rasa kurang senang terhadapnya.
 
KAGUM LIHAT BAPA 'MASUK' WATAK, TIDAK JANGGAL BERLAKON BERSAMA

Mazlan dan Iskandar pernah melakonkan watak anak dan bapa dalam Perca Kehidupan 18 tahun lalu dan siri drama Retak dua tahun lalu.

Iskandar berkata beliau kagum setiap kali berpeluang melihat bapanya "masuk" atau menghidupkan sesuatu watak.

"Apabila saya dapat melihat bapa saya melakonkan babak sukar seperti bila beliau perlu berasa sedih atau marah, saya selalu berasa kagum. Saya memang suka melihat seseorang pelakon itu memasuki elemen mereka semasa kerja dan saya beruntung dapat melihat bapa saya sendiri melakukan demikian.

"Kita juga bukan menjadi semakin muda. Jadi berlakon bersama ini, ia kenangan yang akan selalu diingati saya dan bapa," kata anak sulung daripada empat adik-beradik lelaki itu.

Malah mereka turut bersetuju tiada kejanggalan yang turut dirasai antara mereka semasa melakonkan babak yang sama demi menghidupkan watak masing-masing dengan baik.

"Saya fikir ia akan berasa janggal tetapi oleh sebab kami mahu melakukan kerja itu dengan baik dan mahu 'look good', kami cuba menghidupkan babak itu dengan sebaik-baiknya," jelas Iskandar.

Mazlan pula berkata: "Apabila kami dapat skrip, kami banyak berbual dan berbincang tentang watak-watak kami, mana yang sesuai. Saya bangga (dengan Iskandar) tetapi saya tidak boleh mengatasi kata pengarah."

KEAKRABAN, MUDAH LUAHKAN EMOSI BANTU HUBUNGAN

Keakraban mereka juga dirasakan wartawan BERITAmediacorp semasa sesi wawancara. 

"Semasa di sekolah menengah, saya marah dan hukum. Tetapi mereka dah besar. Saya sudah tidak macam itu.

"Kalau saya garang dengan mereka dan tidak banyak berbual, mereka akan buat sama dengan saya juga, malas berbual juga. Jika saya beri yang baik-baik, saya juga akan dapat yang baik-baik," kongsi Mazlan.

Yang jelas, "Air Mata Ayah" juga membantu hubungan mereka.

"Bapa saya ini, kalau dia hendak ketawa, dia ketawa. Kalau dia hendak marah, dia marah. Dia tidak susah untuk luahkan emosi dan ia suatu perkara yang positif. 

"Semasa saya membesar, ia membolehkan saya berasa selesa untuk meluahkan emosi dan berkongsi apa yang saya rasa," ujar Iskandar.

Malah beliau akur amat menghargai sokongan bapanya terhadap apa sahaja bidang yang ingin diceburinya, termasuk bidang muzik dan lakonan - dan itu adalah sesuatu yang beliau syukuri.

"Saya harap dapat menjaga dia sampai bila-bila dan sentiasa berada di sampingnya secara emosi dan fizikal selamanya insya-Allah," luah Iskandar. 

Telemovie Air Mata Ayah akan ditayangkan di meWATCH dan saluran Suria pada Jumaat, 9.00 malam.

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan