Skip to main content

Hiburan

Aina Abdul jelaskan gambar album berjudul ‘IMAJI’ yang terbaharu

Anggaran Waktu Membaca:

KUALA LUMPUR:Penyanyi popular Malaysia, Aina Abdul tampil menjelaskan makna simbolik di sebalik dirinya berbalut dalam plastik untuk sampul hadapan albumnya.

Jelas Aina, gambar terbabit menyampaikan makna mendalam dalam kehidupan dan kerjaya seninya selama ini, lapor Astro Gempak.

"Untuk cover kali ini, melalui perdebatan sangat lama. Ketika sesi fotografi untuk album ini, ada lebih lima pakaian.

"Tapi kenapa memilih gambar ini kerana saya sangat suka dengan elemen plastik yang membaluti Aina Abdul ini.


"Kerana apa yang saya zahirkan melalui pakaian ekstravaganza selama ini hanyalah luaran sahaja. Itu simbolik saya.

"Untuk memahami Aina Abdul ini anda kena buka lapisan demi lapisan. Sebenarnya yang membaluti saya ini (plastik) sangat tebal dan banyak," katanya.

Untuk gambar terbabit, Aina menggunakan plastik pembalut makanan yang dihasilkan oleh pereka fesyen eksentrik, Behati, seperti dinukil laporan Astro Gempak.

Aina Abdul terus melebarkan sayap dalam kembara seni dengan melancarkan album sulung berjudul ‘IMAJI’ terbitan Aina Abdul Entertainment Sdn Bhd pada Selasa (24 Okt).

Dalam bidang penulisan puisi, ‘IMAJI’ bermaksud susunan kata yang dapat memberi gambaran jelas seolah-olah kesan khayalan sehingga pembaca mampu untuk turut sama merasa, melihat dan mendengar emosi sebenar yang ingin diungkapkan oleh penulis.

Oleh itu, pemilihan judul ‘IMAJI’ sebagai simbolik kepada keseluruhan tema penceritaan untuk menterjemahkan seribu satu rasa bagi kesemua lagu yang dimuatkan dalam album ini dilihat cukup tepat dan sempurna kerana setiap lagu mempunyai kisah dan emosi yang ingin disampaikan.

Album ‘IMAJI’ menghimpunkan 14 buah trek istimewa hasil nukilan dan ciptaan Aina Abdul sepenuhnya termasuk single ‘Jangan Mati Rasa Itu’ yang baru sahaja dilancarkan pada 25 Ogos lalu.

Selain mengetengahkan irama balada yang sememangnya sinonim dengan Aina Abdul, album ini turut bereksperimen dengan genre yang lebih rancak seperti pop dan juga alternatif indie bagi menyuntik kelainan demi menerjah jiwa peminat.

Sumber : Agensi berita/AA/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita