Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Aiman Tino tidak duga sambutan laris niaga bazar di Woodlands, sambut Ramadan hampir tiga minggu di Singapura

Anggaran Waktu Membaca:
Aiman Tino tidak duga sambutan laris niaga bazar di Woodlands, sambut Ramadan hampir tiga minggu di Singapura

Aiman turut masuk dapur setiap hari untuk sediakan kerepek kentang dan kek-kek yang dijual di bazar Woodlands

BERITAmediacorp: Jualannya laris manis - daripada kek hingga kerepek kentang pelbagai perisa yang dijualnya di bazar Ramadan di Woodlands.

Bahkan belum sempat gerai bazarnya dibuka pada lewat petang, peminat Aiman Tino, sudah beratur dan menantikan kedatangan penyanyi dan pelakon seberang tambak itu.

Dalam masa setengah jam sahaja, makanan yang dijual sudah habis dibeli peminat dan pengunjung Bazar Untuk Rakyat (BUR) yang diadakan di Pavilion Sukan Woodlands sejak 16 April lalu.

Peluang berniaga di bazar itu bak rezeki yang datang bergolek buat Aiman.
Pemuda berusia 23 tahun itu sudah hampir lima tahun bekerjasama dengan Cef Haikel, teman baiknya di Singapura, untuk mengusahakan perniagaan kerepek kentang.

“Sejujurnya saya pun tak jangkakan sambutan tahun ini lebih meriah. Mungkin sudah lama tak jumpa lepas pandemik kan. Jadi inilah peluang untuk bertemu dengan peminat-peminat Aiman juga.

"Sambutan memang Alhamdulillah. Ia begitu laris. Sebenarnya memang tidak diduga. Hari-hari produk kami habis dijual. Rasa terharu dan berterima kasih pada semua yang menyokong Aiman dan Cef Haikel,” jelasnya.

<p>Peminat ambil peluang untuk bergambar dengan Aiman di Bazar Untuk Rakyat.</p>

SINGSING LENGAN SIAP JUADAH JUALAN DI DAPUR CEF HAIKEL

Setiap hari Aiman turut menyingsing lengan di dapur untuk membantu Cef Haikel menyediakan kek dan kerepek yang mereka jual di gerai bazar yang mereka kendalikan bersama sejak 16 April lalu.

Sejak empat tahun lalu, mereka bekerjasama mengeluarkan kerepek kentang pelbagai perisa di bawah jenama Chef Haikel x Aiman Tino.

Namun, tujuan asal Aiman ke Singapura adalah untuk berjumpa Cef Haikel dan keluarganya serta peminat dan teman-temannya di sini selepas dua tahun sempadan kedua-dua negara ditutup akibat pandemik COVID-19.

Di rumah Cef Haikel, Aiman juga dapat berkumpul bersama keluarga angkatnya dan menikmati juadah masakan ibu angkat dan teman baiknya setiap hari.

BERBUKA DENGAN AIR TANGAN IBU ANGKAT

“Di Kuala Lumpur, Aiman berpuasa seorang diri kerana tinggal sendiri. Keluarga Aiman di Kuala Kubu Baru di Selangor. Jadi seronok dapat berbuka puasa dan bersahur bersama-sama ibu dan keluarga Haikel,” cerita Aiman dengan gembiranya.

Jika di Kuala Lumpur beliau jarang dapat menikmati suasana bazar Ramadan kerana sibuk tugas dan perniagaan, Aiman dapat menikmati kemeriahan bazar dan Ramadan sepanjang hampir tiga minggu beliau berpuasa di Singapura.

Makanan bazaar kegemarannya adalah dendeng.

Namun kerana tugasan, penyanyi lagu Sambutlah Hari Raya ini pulang ke Kuala Lumpur selepas 20 hari berada di Singapura.

<p>Turun padang untuk berniaga setiap petang</p>

SEMPADAN DI BUKA 1 APR, PELUANG LEPAS RINDU, KEMBANGKAN NIAGA

Lantas apabila kedua-dua negara membuka sempadan pada 1 April lalu, Aiman terus terbang ke Singapura untuk melepaskan rindu pada peminat dan teman-teman tersayang.

“Dua tahun tidak dapat datang ke Singapura tu Aiman rasa rindulah. Rindu dengan Haikel, dengan keluarga Haikel, peminat Aiman dan kawan-kawan yang ada di sini juga. Jadi bila sempadan Singapura-Malaysia di buka hari pertama terus Aiman ke Singapura.

"Kita rapat macam adik beradik. Haikel sebagai seorang abang yang banyak mendidik saya,” jelas Aiman tentang hubungan rapat beliau dengan Haikel.

Aiman turut ke Singapura untuk meluaskan perniagaan dengan memperkenalkan kerepek kentang perisa baru dan memperkembangan perniagaan secara dalam talian

“Saya pulang ke Malaysia kerana belum lagi berpuasa bersama keluarga dan ada juga tugasan yang perlu diselesaikan di sana. Selepas balik ke Malaysia saya kena rakam sebuah lagu baru dan lagu saduran. Sekarang trend lagu zaman 90-an dinyanyikan semula. Lagu kumpulan Screen - Tak Suka Tak Apa,” terang Aiman.

Tambah pemilik nama sebenar Mohammed Aiman Yusri ini juga baru tamat penggambaran telefilem Adnan Sempit Generasi Gig:

“Sebelum puasa saya ada siapkan satu telefilem - Adnan Sempit Generasi Gig. Di mana dia barukan cerita Adnan Sempit yang memang sudah terkenal. Kali dia keluarkan generasi gig di mana budak-budak baru. Dia bukan Mat Rempit. Kita bukan nak tunjukkan rempit dalam ceritanya. Dia ada pesanan sendiri,” menurutnya lagi.

Bak umpama rumah kedua, Aiman merancang untuk pulang semula ke Singapura pada Syawal ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/MY/fa

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan