Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Ahmad Idham disebut-sebut sebagai calon GTA di Port Dickson

Anggaran Waktu Membaca:
Ahmad Idham disebut-sebut sebagai calon GTA di Port Dickson

Pengarah dan penerbit filem terkenal Ahmad Idham (kiri). (Gambar: @ahmad_idham/Instagram)

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) Ahmad Idham Ahmad Nadzri disebut-sebut akan menjadi calon Gerakan Tanah Air (GTA) di kerusi Parlimen Port Dickson pada PRU15.

Timbalan Pengerusi GTA Negeri Sembilan, Mohamad Jani Ismail yang juga Pengerusi Pejuang Negeri Sembilan dipetik Utusan Online sebagai mengesahkan perkara itu.

Beliau berkata Ahmad Idham yang juga ketua penerangan GTA Negeri Sembilan sedia memberi persaingan kepada mana-mana calon parti lawan di kerusi tersebut, seperti dilapor oleh agensi berita Malaysiakini.

Tambah Mohamad Jani lagi, ini termasuk jika PH mempertaruhkan Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun di kerusi Parlimen itu.

“Kami sudah lakukan kajian dan turun padang tiga bulan sebelum ini ke akar umbi (Port Dickson). Kami bawa Ahmad Idham dan respons begitu baik kami terima."

"Masyarakat Port Dickson menyambut baik Ahmad Idham sebagai calon GTA,” kata Mohamad Jani, lapor Malaysiakini.

GTA merupakan gabungan politik Melayu pimpinan Dr Mahathir Mohamad dan berhasrat untuk bertanding di 120 daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan pada PRU15.

Dr Mahathir yang juga pengerusi GTA sebelum ini memaklumkan gerakan itu akan bertanding di kerusi majoriti Melayu khususnya kawasan tradisi UMNO.
 
Penerbit dan pengarah filem terkenal itu sebelum ini berkata dia bersama dengan GTA selepas mendengar penjelasan daripada pengerusi penaja gerakan itu, Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana pada 17 Ogos lalu.

Encik Ahmad Idham menyertai Bersatu pada April tahun ini namun meninggalkan parti itu pada 1 Julai lalu, menurut Malaysiakini.

Pada Nov 2021, pengarah filem Impak Maksima dan Hantu Bonceng itu dilantik sebagai setiausaha kebudayaan, Kementerian Luar Negeri di Wisma Putra.

Bagaimanapun, hanya lima bulan selepas pelantikannya itu, khidmatnya ditamatkan menerusi surat bertarikh 23 Feb 2022.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan