Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Afdlin Shauki tidak tolak spekulasi jadi calon PKR bagi PRN Johor

Anggaran Waktu Membaca:
Afdlin Shauki tidak tolak spekulasi jadi calon PKR bagi PRN Johor

(Gambar: Facebook/Afdlin Shauki)

Diterbitkan : 26 Jan 2022 10:02AM Dikemas Kini : 26 Jan 2022 10:03AM

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penerbit, Afdlin Shauki, tidak menolak wujud spekulasi namanya dicalonkan untuk bertanding dalam pilihan raya bagi parti politik PKR.

Walaupun tidak menyandang kedudukan dalam parti, Afdlin tetap menyatakan kesediaannya untuk menyandang sebarang jawatan sekiranya diberi kepercayaan itu, lapor Malaysiakini.

“Sama ada saya dicalonkan atau tidak, terpulang kepada Anwar Ibrahim. Saya ahli PKR biasa saja.

“Cuma ada dengar-dengar nama dicalonkan untuk jadi wakil rakyat tapi saya tidak boleh sahkan atau nafikan.

“Jika memang dicalonkan, saya dah bersedia,” Malaysiakini memetik kata-kata beliau.

Menurut Afdlin lagi, penting bagi mana-mana individu yang berada dalam sesebuah parti politik untuk bersatu padu melaksanakan tugas mereka.

“Kita kena bekerja sebagai satu pasukan untuk pastikan tugasan membantu masyarakat dilaksanakan dengan baik.

“Kalau tidak dapat jawatan pun, saya tetap akan sokong sesiapa saja yang dinamakan sebagai calon,” jelasnya.

Afdlin mengulas demikian semasa ditemui di majlis tayangan perdana filem The Assistant arahan Adrian Teh di The Starling, di Damansara Utama, Petaling Jaya pada Selasa (25 Jan).

Selain itu, beliau turut menyokong mana-mana rakan artis dan selebriti yang sanggup terjun ke bidang politik dengan niat yang satu iaitu ingin membantu rakyat.

“Tak kisahlah parti politik apa pun yang diwakilinya sama ada Barisan Nasional (BN), PKR atau sebagainya. Janji, niat untuk bantu rakyat.

“Misi kita adalah pastikan masalah orang dapat diselesaikan, bukan masuk untuk kuasa.

“Kita kena tanam niat dari awal-awal lagi untuk bantu rakyat. Mesti kena ada benda itu,” katanya seperti ditukil Malaysiakini.

Afdlin pada masa sama memuji kejayaan rakan artis seperti Dira Abu Zahar, yang mewakili BN ketika ini, sekali gus membuktikan bahawa golongan selebriti juga mampu berjaya dalam bidang politik.

“Ini menunjukkan kami orang seni bukan bodoh seperti ramai yang orang sangkakan. Walau kerjaya kami adalah bidang seni, kami semua bersekolah dan tahu isu-isu semasa.

“Dira contohnya, berjaya membuktikan bahawa wanita juga mampu terpilih untuk jawatan tertinggi bagi pengelolaan negara.

“Saya anggap bagus jika ada ramai anak seni dalam politik kerana mereka boleh jadi suara anak seni sebab hanya mereka faham apa yang berlaku dalam industri,” ujarnya lanjut.

Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan