Adu bakat Suara Juara 2019 dan konsert 7 otai rock kapak berlangsung hujung minggu ini
Jika berusia antara 19 hingga 45 tahun dan bercita-cita menjadi seorang ‘bintang’ dan penghibur, mungkin inilah peluangnya.
Poster-poster acara 'Getaran Rock Jiwang' dan 'Suara Juara Audition' (Gambar-gambar: Raionss)
BERITAmediacorp: Jika berusia antara 19 hingga 45 tahun dan bercita-cita menjadi seorang ‘bintang’ dan penghibur, mungkin inilah peluangnya.
Pemenang adu bakat ini akan dapat merakamkan sebuah lagu ‘single’! Suatu peluang yang lazimnya terbuka kepada para pemenang pertandingan di televisyen sahaja.
Dengan misi untuk mencari bakat baru, dan merancakkan lagi industri seni Melayu di Singapura ini, sebuah syarikat tempatan, Rayionss, disokong oleh Persatuan Karyawan Muzik Melayu Singapura (Perkamus), bakal menganjurkan sebuah peraduan adu bakat dinamakan ‘Suara Juara’ pada hujung minggu ini.
Uji bakat tersebut akan berlangsung hanya sehari, pada Sabtu, 30 Mac, bermula dari 2.00 petang hingga jam 8.00 malam. Bertempat di 33, Ubi Avenue 3, #01-12, di Bangunan Vertex.
“INGIN MENCARI SESEORANG YANG BERMISI DAN BERVISI…”
Menurut Pengarah Rayionss, Encik Muhd Khair Mohd Sange, 39 tahun, adu bakat Suara Juara ini diadakan, demi mencungkil dan memberi peluang kepada bakat-bakat yang ada di Singapura ini. Malah bakat mereka akan terus digilap supaya menjadi penyanyi yang berjaya.
“Adu bakat Suara Juara ini bukan hanya untuk menilai kekuatan vokal peserta, tetapi kami juga ingin mencari seseorang yang bermisi dan bervisi dan berani untuk ke hadapan dan menjadi seorang penyanyi yang berkaliber dan berjaya di masa hadapan.
“Selain itu, hadiah yang kami tawarkan juga sangat lumayan, dan di antaranya adalah pembikinan single, untuk pemenang selain dapat menikmati hadiah-hadiah yang lainnya,” ujar Encik Muhd Khair.
Para pengadil bagi Suara Juara adalah penyanyi-penyanyi mapan iaitu Shima, Blank (Gamma), Dwan (Olan) Shafiee Rio dan Lan Solo.
Jurucakap Sekretariat Perkamus, Cik Rusedah Tawahid menyifatkan, Suara Juara ini sebagai salah satu wadah terbaik, untuk mencari dan menggali bakat baru di sini demi mewarnai lagi industri Melayu di sini.
“Dari 1950 hingga 1980-an dulu, Singapura telah menjadi hab seni Melayu, dan melahirkan banyak seniman dan seniwati yang terkenal dan terbilang sejak dulu lagi, kenapa tidak sekarang?
“Saya percaya, Singapura tidak ketandusan bakat baru, dan kita mempunyai banyak bakat-bakat yang baik, yang boleh kita cungkil dan memberikan mereka ruang atau platform untuk berkarya dengan lebih jauh lagi. Perkamus juga berharap, lebih banyak lagi yang dapat kami lakukan untuk terus melestarikan industri seni Melayu di sini,” jelasnya lagi.
Yuran penyertaan berharga $20 bagi setiap orang. Para peserta yang berminat boleh terus hadir di lokasi untuk menjalani sesi ujian. Untuk pertanyaan, anda boleh menghubungi talian 8112-7042 atau emel kepada jcalistamanagement [at] gmail.com.
(Gambar-gambar: Raionss)
Sementara itu, satu lagi acara hiburan turut dianjurkan Rayionss pada 31 Mac ini.
Dipanggil ‘Getaran Rock Jiwang’ ia akan menampilkan tujuh orang artis veteran yang akan membuat persembahan. Kebanyakan mereka adalah para artis yang akan menjadi juri bagi Suara Juara, iaitu Shima, Lan Solo, Dwan Olan, Shafie Rio dan Blank Gamma.
Penyanyi lain yang akan menghidupkan era kegemilangan muzik rock Melayu zaman 1980-an hingga 1990-an termasuklah Ameng Spring. Seorang lagi artis undangan ialah Syafiq Farhain.
Konsert otai-otai rock itu akan bertempat di Iris City Plaza. Tiket-tiket berharga $98 dan ia termasuk hidangan bufet.
Untuk tempahan sila hubungi talian 8112-7042, 9455-9844 atau 9850-4944.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.