Skip to main content

Hiburan

Adib Kosnan teroka isu kekeluargaan berdasarkan pengalaman sendiri

Menyelami erti tokoh seorang ayah dalam masyarakat berbeza Singapura dengan memecahkan dinding bahasa dan kebudayaan di antara mereka.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menyelami erti tokoh seorang ayah dalam masyarakat berbeza Singapura dengan memecahkan dinding bahasa dan kebudayaan di antara mereka.

Orang ramai dapat meneroka isu-isu kekeluargaan yang 'serupa tetapi tidak sama' menerusi satu pementasan dwidrama berbilang bahasa - 'Always Every Time'.

Teater terbitan GroundZ-0 itu memaparkan dua drama yang terinspirasi daripada pengalaman peribadi para pengarahnya, Adib Kosnan dan Zelda Tatiana Ng.

Tidak kira asal usul mahupun apa bahasa yang dituturkan, sesetengah perkara di muka bumi ini semestinya bersifat universal.

Misalnya - perihal mahu menyayangi dan disayangi, untuk melindungi dan dilindungi.

Pementasan 'Always Every Time' itu menyorot hubungan rumit antara ibu bapa dengan anak, daripada dua keluarga berbeza agama dan budaya, yang mendambakan secebis perasaan tersebut.

Related article image
Sedutan teater 'Always On My Mind' tulisan Zelda Tatiana Ng. (Gambar: GroundZ-0)

'Always On My Mind', arahan Zelda Tatiana Ng dalam bahasa Mandarin serta Kantonis, mengisahkan watak perempuan yang diabaikan bapanya sedari kecil dan ibunya pula sedang menanti ajal.

Manakala 'Tiap Kali Aku...', tulisan Adib Kosnan dalam bahasa Melayu dan Inggeris, memaparkan seorang bakal ayah yang tidak pernah kenal kasih seorang bapa.

"Dalam banyak kelainan kita, ada banyak yang kita juga berkongsi dari segi keluarga, apa yang kita mahukan untuk anak-anak atau keluarga," ungkap Adib.

"Itu yang dengan kematangan (mereka) datang sebagai penonton, kita dapat memperbualkan isu-isunya tidak kira apa bahasa kita pentaskan cerita itu," sambung beliau.

PROMOSIKAN PERSEFAHAMAN SILANG BANGSA MELALUI KARYA DAN KERJASAMA

Tambah Adib, konsep sedemikian salah satu cara anak-anak seni setempat dapat menyumbang dalam mempromosikan persefahaman mendalam sesama penduduk masyarakat majmuk Singapura.

Bahkan, bagi barisan pelakon yang terlibat pula, ia juga satu peluang untuk memperkayakan lagi karya-karya teater tempatan.

"Memang selalu ada garisan - okay ini seni Melayu, ini seni Cina, ini budaya Melayu, ini budaya Cina, budaya India dan sebagainya," ujar Saiful Amri, salah seorang pelakon 'Tiap Kali Aku...' tentang realiti dunia seni tanah air.

Namun beliau juga berkata: "Dengan persembahan sebegini, kerjasama iaitu ketersinambungan antara bangsa berlainan yang bersatu dalam produksi ini boleh dikatakan sesuatu yang membuka mata kerana kita dapat belajar daripada cara bekerja, budaya kerja dan juga kesantunan antara berbagai-bagai bangsa yang terlibat."

'Always Every Time', yang menampilkan empat artis Singapura, dipentaskan hampir dua jam di The Arts House mulai Khamis (28 Mac) hingga Ahad ini (31 Mac).

Tiket-tiket boleh ditempah menerusi laman web www.eventbrite.sg atau didapatkan langsung di pintu masuk acara. 

Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita