Acara sambutan tahun baru 'Let's Celebrate 2023' kembali dengan kehadiran penonton; sediakan permainan karnival
Barisan bakat tempatan yang bakal memeriahkan acara 'Let's Celebrate 2023' termasuk Rahimah Rahim, Yung Raja dan Richie Koh. (Gambar: Mediacorp)
Malam sambutan tahun baru itu akan diadakan di The Promontory di Marina Bay pada 31 Disember nanti.
Antara barisan artis yang bakal menyemarakkan acara tersebut termasuk penyanyi-penyanyi rap tanah air, Yung Raja, Fariz Jabba dan ALYPH serta selebriti terkenal tempatan Richie Koh dan Desmond Ng. Penyanyi dan penulis lagu dari Malaysia, Shila Amzah, juga akan menyerikan acara dengan mendendangkan lagu-lagu dalam bahasa Inggeris dan Mandarin.
Para pengunjung juga berpeluang untuk beramah mesra dengan barisan artis yang bakal membuat persembahan selain menyertai cabutan bertuah serta berseronok dalam permainan karnival.
Mereka yang ingin membuat video ucapan Tahun Baru boleh mengunjungi pondok 'Bullet Time Photo Booth', yang terletak di beberapa lokasi serata negara dalam beberapa minggu ini sehingga 31 Disember, serta di tempat acara tersebut pada malam Tahun Baru.
'Let's Celebrate 2023' juga bakal menyaksikan gandingan unik seni kulinari dan muzik, dengan vokalis Glenn Yong akan berkongsi pentas dengan cef-cef mentor daripada rancangan 'King Of Culinary' - iaitu Bob, Eric Teo dan SR Bala - bagi menjayakan sebuah persembahan genderang dengan menggunakan peralatan dapur.
Acara 'Let's Celebrate 2023' akan dihoskan oleh deejay stesen radio 987, Germaine Tan dan Maya Davidov, serta pencipta kandungan digital, Kishan J dan Zhin Sadali.
Kemasukan ke acara 'Let’s Celebrate 2023' adalah percuma. Pintu masuk hanya akan mula dibuka pada pukul 7.00 malam, 31 Disember ini.
'Let’s Celebrate 2023' akan disiarkan secara langsung di meWATCH dan saluran YouTube Mediacorp Entertainment mulai pukul 10.00 malam dan dari 11.00 malam sehingga 12.15 pagi di Saluran 5.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.