Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Acara sambutan tahun baru 'Let's Celebrate 2022' pamerkan bakat-bakat tempatan terunggul

Bertemakan "loud on local", acara Let's Celebrate 2022 bakal disemarakkan dengan persembahan oleh artis-artis tempatan kegemaran ramai serta bakat-bakat baru.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Acara sambutan tahun baru, "Let's Celebrate 2022" anjuran Mediacorp bakal menampilkan bakat-bakat tempatan terunggul dalam arena seni muzik di Singapura.

Bertemakan "loud on local", acara Let's Celebrate 2022 yang akan diadakan di Pentas Terapung Marina Bay bakal disemarakkan dengan persembahan oleh artis-artis tempatan kegemaran ramai serta bakat-bakat baru yang kian mencipta nama.

Mereka yang bakal membuat persembahan termasuk penyanyi Kit Chan, pemenang Singapore Idol musim pertama Taufik Batisah, penyanyi Nathan Hartono dan penyanyi muzik tarian elektronik (EDM) Jasmine Sokko.

Ini amat dialu-alukan bakat tempatan seperti Taufik Batisah.

Sejak menjuarai pertandingan Singapore Idol 17 tahun lalu, beliau melihat banyak perubahan pada dunia muzik tempatan.

(Gambar: Taufik Batisah/Instagram)
(Gambar: Taufik Batisah/Instagram)


Malah, beliau cukup kagum dengan kualiti muzik bakat-bakat muda sekarang ini.

"Saya sangat bangga melihat mutu lagu-lagu dan muzik bakat-bakat muda kita pada usia yang muda dan saya yakin ianya akan terus diperbaiki atau akan menjadi lebih baik lagi insya-Allah.

"Saya harap orang Singapura, walaupun kami mempunyai bilangan penduduk yang kecil, akan dapat melihat bakat-bakat muda kita di Singapura dan juga menyokong mereka."

Taufik Batisah bakal membawakan medley lagu Bahasa Inggeris dalam persembahannya dari pentas utama di Pentas Terapung Marina Bay.

(Gambar: Taufik Batisah/Instagram)
(Gambar: Taufik Batisah/Instagram)


"Dengan undangan saya untuk membuat persembahan, orang ramai dan penyokong saya dapat mengubati rindu mereka untuk melihat saya membuat persembahan... Umur dah 40 masih nak berjoget atas pentas, pastinya saya akan membuat persembahan yang terbaik untuk anda semua," ujar Taufik.

AISYAH AZIZ BUAT KEMUNCULAN

Aisyah Aziz, penyanyi rap Yung Raja, pencipta lagu Hari Kebangsaan 2021 Lin Ying, pendatang baru Khally dan bakat muda Iman Fandi juga akan menghiburkan para penonton.

Aisyah yang bakal muncul dengan band iringan, juga akan membawakan lagu yang diilhamkan oleh musim pandemik yang digubah bersama rakan-rakannya, RHAUN dan Adir Kaisan, berjudul "Euphoria".

Malah baginya, pandemik ini juga banyak membuka peluang bagi artis-artis tempatan mempamerkan bakat mereka.

(Gambar: Aisyah Aziz/Instagram)
(Gambar: Aisyah Aziz/Instagram)


"Saya sangat gembira kami semakin mempamerkan bakat tempatan dan lebih ramai artis tempatan dihargai. Kami diberi lebih banyak slot untuk membuat persembahan, berbanding memanggil penyanyi dari luar negara.

"Saya rasa itu keindahan pandemik ini. Ia membuat kami lebih melihat ke dalam bakat-bakat tempatan kami sendiri dan ia sangat hebat."

(Gambar: Aisyah Aziz/Instagram)
(Gambar: Aisyah Aziz/Instagram)


"Saya harap acara ini diterima baik oleh para penonton kerana kami tidak mempunyai penyanyi-penyanyi terkenal dari luar. Inilah masanya kami menghargai bakat-bakat kami sendiri dan bila lagi masa yang lebih baik selain Tahun Baru, bukan?" kata Aisyah.

PERSEMBAHAN DARI SEBILANGAN LOKASI POPULAR

Menariknya, sambutan Let's Celebrate 2022 juga akan diadakan di sebilangan lokasi popular di Singapura.

Ini termasuk di Jewel Lapangan Terbang Changi, 'Dragon Playground' di Toa Payoh Lorong 6, Stadium Jalan Besar dan Depot Bas Bulim.

Dihoskan pasangan DJ Sonia Chew dan Joakim Gomez, sambutan itu juga akan disemarakkan dengan pertunjukan bunga api secara langsung dari kawasan-kawasan kejiranan, pertunjukan "Shine a Light" dari The Promontory @ Marina Bay serta pertunjukan kiraan detik selama 60 saat pada Artscience Museum pada tengah malam.

Ketua Pegawai Pelanggan dan Pembangunan Korporat Mediacorp Angeline Poh berkata: "Let's Celebrate adalah acara kemuncak tahunan yang akan mempamerkan bakat-bakat tempatan terbaik dan kolaborasi kreatif, sedang kita mengalu-alukan kemungkinan yang menarik pada tahun 2022.

"Dengan acara persembahan dan kegiatan yang disediakan, kami berharap para penonton akan turut serta dalam melangkah masuk ke tahun baru dengan semangat 'Singapura bersatu' yang berdaya tahan dan optimis."

Let's Celebrate 2022 boleh ditonton secara langsung di meWATCH, Saluran 5 dan Mediacorp Entertainment di YouTube mulai jam 11 malam pada Jumaat, 31 Disember ini.

Siaran ulangannya akan ditayangkan di Saluran 5 pada Sabtu, 1 Januari 2022, pada jam 5.50 petang.

 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan