Skip to main content

Hiburan

Acara kiraan detik, filem, kemeriahan Little India antara sambutan Deepavali 2026 Mediacorp

Anggaran Waktu Membaca:
Acara kiraan detik, filem, kemeriahan Little India antara sambutan Deepavali 2026 Mediacorp

Acara Amarkala Deepavali 2025 berlangsung pada 19 Okt 2025 di The Theatre at Mediacorp. (Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 30 Oct 2026 01:34PM Dikemas Kini : 30 Oct 2026 01:39PM
Countdown events, films and Little India festivities among Mediacorp’s Deepavali 2026 celebrations
  • Mediacorp is offering a range of Deepavali 2026 programmes in Singapore on Vasantham, mewatch, OLI 968 and social media, as well as in-person events celebrating tradition and culture.
  • Amarkala Deepavali will be broadcast live on Nov 7, ahead of the festival on Nov 8, with hosts Saravanan Ayyavoo, Eswari Gunasagar and Revathy Mariappan, alongside performances by local artistes.
  • From Nov 6 to 10, viewers can enjoy Indian films, the telemovie Hello 1996, entertainment programmes and digital dramas; OLI 968 will also collaborate with Raaga and Minnal FM.
  • Little India is hosting Sangamam, a concert and Deepavali Thiruvizha with LISHA, while Mediacorp is holding a celebration for foreign workers on Nov 1; selected events will also be broadcast or available on mewatch.
Dijana oleh AI

SINGAPURA: Perayaan Deepavali semakin hampir, dan pelbagai acara serta rancangan menarik menanti orang ramai.

Mediacorp menyediakan pelbagai program khas Deepavali menerusi Vasantham, mewatch, OLI 968 dan media sosial, termasuk acara kira detik secara langsung, filem, drama terbitan asal serta sambutan meriah di Little India.

ACARA KIRA DETIK BERSAMA AMARKALA DEEPAVALI

Antara acara utama ialah Amarkala Deepavali 2026, sebuah rancangan kira detik secara langsung yang akan berlangsung pada 7 November, dari 10.00 malam hingga 12.15 tengah malam, menjelang sambutan Deepavali pada 8 November.

Bertemakan Vannamaya Deepavali, yang bermaksud Deepavali Penuh Warna, rancangan itu akan disiarkan secara langsung menerusi Vasantham dan mewatch.

Ia akan dihoskan oleh Saravanan Ayyavoo, Eswari Gunasagar dan pengacara dari Malaysia, Revathy Mariappan.

Antara artis yang akan membuat persembahan ialah Vicknesvari Vadivalagan, penyanyi rap Baha Mista B dan penyanyi Sharon Shobana.

Sambutan tahun ini turut menampilkan lagu tema khas berjudul Vannamaya Deepavali, yang ditulis dan digubah oleh penyanyi serta pencipta lagu Singapura, Shabir Sulthan.

Video muzik lagu tersebut, yang dilancarkan pada 23 Oktober, menampilkan penyanyi Vishnu Balaji, Durgashini dan Baha Mista B.

Beberapa personaliti terkenal turut muncul dalam video itu, termasuk Jaynesh, Udaya Soundari dan Karthikeyan Somasundram.

PELBAGAI FILEM DAN DRAMA KHAS DEEPAVALI

Peminat filem boleh menikmati tayangan pelbagai filem India di Vasantham dari 6 hingga 10 November.

Filem-filem yang disediakan merangkumi genre aksi, komedi, fantasi, percintaan dan drama keluarga.

Antara filem menarik ialah Kantara: A Legend Chapter-1, Karuppu, Gatta Kusthi 2, Meesaya Murukku 2, Welcome To The Jungle dan Sarvam Maya.

Satu lagi rancangan yang dinanti-nantikan ialah Moonwalk, yang menyatukan semula penggubah muzik pemenang Oscar, A R Rahman, dengan pelakon dan koreografer Prabhu Deva selepas 29 tahun.

Bagi penonton yang mahukan kisah tempatan, Mediacorp turut menghasilkan telefilem khas Deepavali berjudul Hello 1996.

Drama itu mengisahkan seorang pemuda yang menemui sebuah telefon talian tetap yang rosak, tetapi secara misteri membolehkannya berhubung dengan datuknya pada tahun 1996.

Hello 1996 akan disiarkan di Vasantham pada 8 November, pada 7.00 malam.

Rancangan khas lain termasuk Kondaatta Kaalai, yang menampilkan perbualan santai semasa sarapan pagi dan hiburan.

Namma Veetu Virundhu pula meneroka resipi dan tradisi makanan perayaan, manakala Engal Kondattam menyajikan persembahan muzik dan tarian.

Bagi mereka yang gemar menonton cerita pendek, drama media sosial empat episod berjudul Deepavali @ 302 turut disediakan.

Drama itu mengisahkan dua keluarga yang saling bersaing untuk memenangi hadiah S$10,000 dalam pertandingan video perayaan.

Namun, persaingan mereka menjadi semakin rumit apabila kisah percintaan dan satu rahsia lama mula terbongkar.

Stesen radio OLI 968 juga akan menyiarkan rancangan khas Deepavali, termasuk kerjasama dengan stesen radio Malaysia, Raaga dan Minnal FM.

Antaranya ialah Junior Presenters Deepavali Special, yang menampilkan penyampai radio muda berkongsi tradisi keluarga masing-masing.

Drama radio Viral Deepavali! pula meneroka hubungan kekeluargaan dalam era media sosial.

SAMBUTAN DEEPAVALI DI LITTLE INDIA

Kemeriahan Deepavali tahun ini bukan sahaja dapat dinikmati menerusi televisyen, malah turut diraikan melalui pelbagai acara di Little India.

Acara Sangamam 2026 – The Deepavali Edition akan kembali di Clive Street dan Dickson Road pada 6 dan 7 November.

Pengunjung boleh menikmati pasar sementara, bengkel keluarga dan persembahan kebudayaan.

Acara itu akan berlangsung dari 12.00 tengah hari hingga 10.00 malam pada 6 November, dan dari 12.00 tengah hari hingga 1.00 pagi keesokan harinya.

Sebuah konsert khas juga akan diadakan pada 6 November, dari 8.00 malam hingga 10.00 malam.

Konsert itu akan menampilkan artis tempatan serta seorang selebriti antarabangsa sebagai artis utama.

Persembahan tersebut akan meraikan warisan berbilang budaya Singapura menerusi tema Roots, Rhythm and Radiance, yang membawa maksud Akar Budaya, Irama dan Seri.

Bagi mereka yang tidak dapat hadir, konsert itu akan disiarkan dalam dua bahagian menerusi Vasantham dan mewatch pada 9 dan 10 November, pada 7.00 malam.

Sementara itu, rancangan Deepavali Thiruvizha akan membawa kemeriahan lampu hiasan dan persembahan kebudayaan Little India ke kaca televisyen.

Ini termasuk hiasan lampu yang diinspirasikan daripada kisah epik Ramayana.

Acara tersebut dianjurkan oleh Persatuan Peniaga dan Warisan Little India (LISHA), dengan Mediacorp sebagai rakan masyarakat.

Rancangan khas itu akan dihoskan oleh Jaynesh Isuran dan Haleema Asman, serta disiarkan menerusi Vasantham dan mewatch pada 7 November, pada 7.00 malam.

Mediacorp juga akan menganjurkan sambutan Deepavali khas untuk pekerja hijrahan di MWC Recreation Club, Soon Lee, pada 1 November.

Acara tersebut akan menampilkan persembahan muzik, permainan dan pemberian hadiah bersama penyampai OLI 968 serta penyanyi tempatan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dan jadual penuh rancangan di mediacorp.sg/deepavali.

Rancangan terpilih juga boleh ditonton pada bila-bila masa menerusi mewatch.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita