Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

AC Mizal tubuh stesen SukeTV; terbitkan program aneka ragam & bantu rakan artis niaga

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Apabila pandemik COVID-19 melanda, ramai selebriti yang terjejas dan susah cari makan dek sekatan-sekatan yang dilaksanakan.

Lantaran itu, personaliti berbilang bakat yang dikenali sebagai AC Mizal atau nama sebenarnya Mizal Zaini menubuhkan sebuah stesen televisyen yang dipanggil SukeTV.

Ini untuk membantu rakan artis dan selebriti yang produk mereka sukar untuk dijual sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia sebelum ini.

Meskipun pandemik semakin berlalu pergi dan keadaan semakin pulih, AC Mizal berkongsi kepada BERITAmediacorp platform SukeTV itu diharap terus menjadi wadah untuk "saling membantu antara rakan artis".

“Saya hasilkan platform ini agar mereka boleh menjual produk mereka melalui kaca tv. Itulah antara sebab utama mengapa kita buat saluran beli-belah untuk membantu SME yang mempunyai masalah yang sama jugak di mana produk tak boleh jalan sebab PKP. 

"Untuk artis kita saling membantu. Kita dapatkan saksikan secara globalnya kebanyakan syarikat besar termasuk bank pun bergabung. Sudah tiba masanya untuk kita saling membantu daripada berlawan dengan satu sama lain. Itulah motivasi sebenar di sebalik kerjasama SukeTV dengan ramai artis dan pempengaruh media sosial," kata AC Mizal.

SukeTV merupakan saluran percuma atau 'free to air' yang bukan sahaja bersiaran di platform MYTV - iaitu sebuah syarikat penyiaran televisyen swasta - tetapi boleh juga ditonton di YouTube SukeTv.Com dan platform digital.

(Gambar: AC Mizal)

AC Mizal dan isterinya Emylia Rosnaida merupakan pengasas dan pengarah SukeTV, yang beroperasi sejak 1 April 2022.

Apabila ditanya mengapa mereka memilik nama SukeTV, tanya penulis pada personaliti versatil yang peramah itu berkata:

“Dalam kehidupan kita, kita sentiasa mencari benda yang positif. Dia lebih memihak kepada apa yang kita selalu fikir atau apa yang kita ucapkan adalah doa bagi kita sendiri ataupun orang yang bercakap menjadi," kata AC Mizal, ketika ditemui BERITAmediacorp di pejabatnya di Wisma IAV, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pengacara terkenal itu mahu “orang ada rasa positif terhadap apa juga perniagaan yang mereka lakukan sama ada dari segi kandungan (content) dan wawasan mereka kerana ini adalah stesen televisyen pertama yang dijalankan dan dimiliki oleh artis jadi mereka menetapkan rasa positif itu.”

(Gambar: AC Mizal)

Buat masa ini, SukeTV merangkumi 50 peratus saluran beli-belah, di mana mereka bukan hanya membantu perusahaan kecil dan sederhana (SME) tetapi terdapat lebih daripada 80 rakan artis yang terdiri daripada pelakon, penyanyi, pempengaruh media sosial yang boleh menjual produk mereka di saluran tersebut.

Mengulas lebih lanjut mengenai SukeTV, AC Mizal berkata sekitar 50 peratus kandungan stesen tersebut merupakan program aneka ragam.

"Kandungan kami lebih menyeluruh agar penonton boleh memilih apa saja kandungan mereka nak tonton dalam SukeTV.  Ada 'talkshow', komedi, drama, rancangan realiti dan yang paling viral sekali ialah Berita Latah di mana pembaca-pembaca berita saya melatah," kata AC Mizal.

Beliau juga berhasrat menonjolkan sisi positif dunia hiburan yang lazimnya dibelenggu perkara-perkata negatif dan seolah-olah pekerjaan yang tiada masa depan.

“Dulu banyak pasal artis akan ada banyak yang negatif daripada yang positif jadi kita nak tunjuk pada orang ramai bahawa dunia hiburan ini ada positifnya. Saya daripada seorang 'rapper' kini sudah bergelar pemilik atau pengerusi stesen televisyen. Memang ada masa depan dalam dunia hiburan kalau kita ambil secara produktif dan juga secara positif," tambah beliau.

Hasilnya SukeTV kini semakin diterima kerana ia satu-satunya stesen yang memperjuangkan perniagaan artis dalam SukeShop mereka.

Untuk musim raya nanti, mereka bakal mengadakan SukeSelebRaya, di mana rakan artis berpeluang menjual kuih-muih serta baju raya.

Meskipun menyedari terdapat persaingan daripada stesen televisyen swasta yang sudah lebih lama ditubuhkan di Malaysia, beliau menganggap SukeTV sebagai bayi baru dalam industri.

“Kita 'just a piece of the cake' sahaja dengan kepelbagaian dari segi kandungan. 'Content is always king'. Kita sebagai stesen TV yang terbaru membawa kandungan dan konsep berbeza sedikit tetapi masih jugak ada benda-benda yang kita kena ikut seperti drama yang kita tak boleh lari. 

"Atas pengalaman saya 33 tahun dalam industri dan pengalaman isteri saya sebab itu kita perlu adakan kandungan yang berbeza sedikit dari apa yang ditayangkan dalam pasaran sekarang ini," ujar AC Mizal, yang sinonim dengan kumpulan hip hop 4U2C.

Menyentuh tentang 4U2C, BERITAmediacorp bertanya sama ada beliau terfikir untuk membuat kemunculan semula dengan kumpulan yang popular pada zaman 90an itu, memandangkan sekarang merupakan trend untuk kumpulan-kumpulan lama berbuat demikian kini.

Sambil tertawa AC Mizal yang juga penyiar radio jemputan di saluran HotFM Malaysia ini berkata:

“Mungkin tidak sebab kebanyakan rakan-rakan seperjuangan 4U2C sudah ada kerjaya masing-masing dan mereka tidak timbulkan idea ini. Lagi pula saya dengan stesen tV dan sebagainya tapi tak tahu kan di masa hadapan akan ada konsert 4U2C di SukeTv? 

"Buat masa sekarang ini, ramai artis baru yang muncul, jadi beri mereka peluang dulu,” ujar beliau.

Sungguhpun demikian, beliau berharap untuk sentiasa ada dalam dunia hiburan di Malaysia dengan mengembangkan pengisian SukeTV yang diharap dapat dibawa ke luar negara suatu hari nanti. 

“Kita harapkan sekurang-kurangnya dapat memberi kesan kepada dunia hiburan sendiri, dapat memberi peluang pekerjaan dari daya kreatif dan produksi. Lagi luas kami berkembang, lagi banyak peluang untuk rakan-rakan artis dan semua yang terlibat.”

Sumber : BERITA Mediacorp/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan