ABBA cuba pancing peminat dengan lagu baru dalam tempoh 40 tahun
ABBA dijangka mengeluarkan lagu-lagu baru minggu depan, dengan satu konsert jelajah menggunakan hologram turut dalam perancangan.
(Gambar: ABBA)
AMERIKA SYARIKAT: ABBA dijangka mengeluarkan lagu-lagu baru minggu depan, dengan satu konsert jelajah menggunakan hologram turut dalam perancangan.
Kugiran Sweden itu - terdiri daripada Bjorn Ulvaeus, Benny Andersson, Agnetha Faltskog dan Anni-Frid Lyngstad - akan menerbitkan karya terbaru mereka sejak 39 tahun ketika mereka muncul semula dalam satu 'comeback' yang dinanti-nantikan, termasuk persembahan khas dipanggil ABBA Voyage.
Kugiran yang mempopularkan lagu hit 'Dancing Queen' itu melancarkan laman baru pada pagi Khamis (26 Ogos) berjudul Abba Voyage dan mengajak para peminat mendaftarkan minat mereka bagi projek baru.
Kugiran itu turut memuat naik catatan yang samar-samar di media sosial, yang berbunyi: 'Sertai kami di Abbavoyage.com', dengan tertera tarikh 2 September 2021.
Ia dijangka satu persembahan hologram yang sekian lama dirancang, yang pertama kali diumumkan ABBA pada 2016.
Kumpulan empat anggota itu turut dijangka menerbitkan lima lagu baru - termasuk 'I Still Have Faith in You' and 'Don't Shut Me Down', dua lagu yang sepatutnya dilancarkan pada 2018 namun tertunda - untuk mengiringi persembahan tersebut.
Seorang sumber yang dekat dengan kugiran itu memberitahu akhbar The Sun: "ABBA akhirnya kembali dan merancang untuk melancarkan muzik baru selepas 39 tahun pada Jumaat depan (3 Sep) - ia sesuatu yang gah."
Sementara itu, ABBA Voyage merangkumi filem dokumentari yang menjejaki kemunculan semula kugiran itu, dari menulis lagu-lagu baru hingga mereka tempat khas di London Timur bagi persembahan hologram mereka, yang dijadual dibuka pada Mei 2022.
Persembahan itu akan menampilkan 'ABBA-tar', memandangkan imej hologram anggota kugiran tersebut akan dipancarkan di atas pentas bagi mempersembahkan lagu-lagu malar segar mereka.
“Persembahan itu akan menampilkan ABBA-tar membuat persembahan dan bercakap dengan penonton. Bagi mereka yang menonton, ia ibarat mengimbau kenangan," kata sumber itu.
Kumpulan tersebut bekerjasama bagi perancangan itu sejak 2019 dengan pereka Pop Idol, Simon Fuller.
Bjorn sendiri sebelum ini pernah mengesahkan legenda 'Mamma Mia!' itu sedang merancang muzik baru.
Pada Mei, dia pernah berkata: "Akan ada muzik baru tahun ini, itu sudah pasti. Ia bukan hal yang mungkin terjadi lagi, bahkan ia akan berlaku."
Kugiran itu dibentuk pada 1972 namun para anggotanya mengikut haluan masing-masing pada 1982. Mereka membuat persembahan bersama buat pertama kalinya dalam tempoh beberapa dekad pada 2016 dalam satu acara privet sempena ulang tahun ke-50 pertemuan pertama antara penulis lagu Bjorn dan Benny.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.