Aaron Aziz tangguh pembedahan, terikat komitmen kerja

(Gambar: @aarondwiaziz/Instagram)
PETALING JAYA: Pelakon Singapura Aaron Aziz mendedahkan kesakitan yang ditanggung selama ini berpunca daripada ketumbuhan.
Namun mujur doktor beliau mengesahkan bahawa saiz ketumbuhan tersebut "masih sama" dan "tidak membesar", kongsi Aaron dalam catatan yang dimuat naik ke media sosialnya semalam (18 Feb).
Awal dari itu, Aaron berkongsi bahawa beliau sepatutnya menjalani pembedahan segera dan berehat selama dua bulan. Namun terpaksa menangguhkannya disebabkan sudah terikat dengan komitmen kerja.
“Selepas 90 minit berada dalam benda ini, MRI (pengimejan resonans magnet), doktor kata saya perlukan pembedahan dan cuti sakit selama dua bulan.
“Tapi tak boleh (bedah) sebab banyak projek yang sedang berjalan sekarang ini. Jadi buat masa ini saya hanya guna ubat untuk hilangkan sakit,” katanya menerusi hantaran di Instagram pada Rabu (16 Feb), yang berkongsi video keadaan dirinya dimasukkan ke dalam mesin MRI.
Pelakon berusia 46 tahun itu berkongsi mengenai keadaan kesihatannya yang sebelum ini kerap keluar masuk hospital bagi menjalani rawatan dan pemeriksaan.
Beliau menggunakan tanda pagar #cervicalspondylosis, iaitu penyakit pada bahagian tulang belakang di leher dan #schawannoma yang juga ketumbuhan yang terbentuk dalam sistem saraf.
Menurut Aaron lagi, beliau terpaksa bekerja dalam keadaan kesakitan yang sukar untuk diluahkan penderitaan yang ditanggung ketika ini.
Terdahulu, Aaron pernah membuat pendedahan mengalami masalah saraf tersepit pada bahagian lehernya sejak hampir 10 tahun lalu.
Kali pertama beliau merasakan kesakitan tersebut pada 2012 iaitu sebelum menjalani penggambaran program realiti sukan lasak, Fear Factor Malaysia.
Begitupun, pemilik nama penuh Aaron Mustapha Aziz itu tidak pernah memaklumkan keadaaan penyakitnya mempunyai kaitan dengan ketumbuhan.
Malah beliau juga seakan kental melawan kesakitan apabila tetap sedia melakukan aksi lasak dalam beberapa filem lakonannya.
Hingga kini Aaron bergantung kepada ubat-ubatan untuk menahan sakit bagi membolehkannya ‘turun’ ke set penggambaran seperti biasa.
Menerusi catatan terkini di akaun Instagramnya, Aaron mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan kebaikannya.
Aaron kini sedang menjalani kuarantin kerana merupakan kontak rapat kes COVID-19.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.