Skip to main content

Hiburan

8 lagu Raya dendangan penyanyi SG bakal meriahkan Aidilfitri 2026

Anggaran Waktu Membaca:
8 lagu Raya dendangan penyanyi SG bakal meriahkan Aidilfitri 2026
Antara lagu-lagu dendangan penyanyi dan penghibur Singapura bagi Hari Raya Aidilfitri 2026. (Gambar: Instagram/ Iskandar Ismail/Hady Mirza/Nana Karia/Roslan Shah/Mediacorp Untukmu/Sunny Jackson)
SINGAPURA: Sambutan Aidilfitri ibarat tidak lengkap tanpa alunan lagu-lagu Hari Raya.

Tidak kira lagu-lagu klasik atau malar segar mahupun yang terkini, lagu-lagu Hari Raya memeriahkan suasana Lebaran setiap kali ia diputarkan di corong radio atau menerusi platform-platform digital.

Lebih menarik lagi, semakin ramai penyanyi teruja untuk mengeluarkan lagu Raya, termasuk penghibur tempatan.

Bagi warga Singapura, kita mungkin sering didendangkan dengan lagu-lagu Raya tempatan popular seperti 'Cahaya Di Aidilfitri' oleh Black Dog Bone, 'Selamat Berhari Raya' oleh Rahimah Rahim dan 'Dipinggir Aidilfitri' oleh Dikir Temasek.

Namun, pada tahun ini, penyanyi-penyanyi Singapura jelas tidak mahu ketinggalan dalam menampilkan lagu-lagu Raya yang segar atau diberikan nafas baharu.

1. Pulanglah 2026

Juara Gegar Vaganza Musim ke-12 Iskandar Ismail tampil dengan memberi nafas baharu serta 'sentuhan lelaki' kepada lagu 'Pulanglah' yang dipopularkan oleh Aishah.

Malah, tinjauan BERITA Mediacorp di ruangan komen muzik video 'Pulanglah 2026' rata-rata menyaksikan komen positif terhadap rendisi baharu oleh Iskandar, yang akan turut tampil dalam 'Ini Baru High Tea Raya!' Mediacorp.

Sebilangan pengguna YouTube juga menyifatkan versi Iskandar sebagai 'menusuk kalbu', 'merdu' dan 'membawa kelainan'.
2. Sekejap Dah Raya

Juara Singapore Idol Musim ke-2 dan juara Gegar Vaganza Musim ke-6 Hady Mirza menceriakan Lebaran tahun ini dengan lagu bertenaga yang berentak samba, 'Sekejap Dah Raya'.

Dilancarkan lebih dua minggu lalu, Sekejap Dah Raya kini disenaraikan sebagai muzik video ke-19 yang paling ditonton di Singapura dan juga sudah menerima sebanyak 75,000 tontonan di YouTube.

Hady Mirza juga dijangka membawakan lagu ini semasa 'Ini Baru High Tea Raya!' Mediacorp pada 5 April ini.
3. Sassuey Raya

Berasal dari bahasa Hokkien 'xia suay' yang membawa maksud 'bikin malu', istilah itu kini semakin digunakan oleh anak-anak muda dan frasa 'jangan sassuey' dalam lagu ini membawa maksud jangan berkelakuan memalukan, keterlaluan atau tidak beradab, terutama semasa kunjung-mengunjung rumah sanak-saudara semasa Aidilfitri.

Penghibur tempatan Roslan Shah atau lebih dikenali sebagai Cik Lan yang kerap menggunakan istilah itu dalam siri 'Night Walk' di YouTube, kini bergabung dengan Ifa Raziah bagi mengeluarkan lagu Sassuey Raya, yang membawa mesej jelas untuk mengingatkan orang ramai supaya menjaga tingkah laku, adab dan sensitiviti ketika beraya.

“Dalam kita seronok itu, kadang-kadang ada juga perkara yang dibuat tanpa sedar boleh kecilkan hati orang atau buat suasana jadi kurang manis. Sebab itu Sassuey Raya lahir sebagai lagu yang santai dan menghiburkan, tetapi tetap ada mesej yang saya nak sampaikan,” kata Cik Lan dalam kenyataan medianya. Beliau juga bakal muncul dalam rancangan Sinar Lebaran 2026.
4. Beraya!

Penyanyi tempatan Nana Karia berkolaborasi dengan penyanyi Malaysia Azharina Azhar bagi menghasilkan lagu 'Beraya!'.

Ini juga merupakan kerjasama kedua antara mereka berdua selepas single 'Biar Gambar Bicara' oleh Azharina dan Nana Karia, yang juga meraih tempat kedua dalam rancangan 'Berani Lakon!'.

Tampil dengan vokal unik masing-masing, lagu 'Beraya!' membawa kelainan kepada lagu-lagu Raya lazim dengan rentaknya yang agak 'groovy'.
5. Ini Baru Raya! 2.0

Versi baharu bagi 'Ini Baru Raya!' kini membawa kesegaran dengan bait-bait rap oleh penyanyi rap tempatan omarKENOBI, serta penampilan juara 'Berani Lakon!', Shazza, pempengaruh dan finalis 'Berani Lakon!' Yusoff Rasid dalam muzik video 'Ini Baru Raya! 2.0'.

'Ini Baru Raya! 2.0' dinyanyikan oleh kumpulan juara 'Kaki Nyanyi', S.U.I, yang terdiri daripada Izat Ibrahim, Myra, Sunny Jackson dan Syaz Smooth, dengan sokongan koir oleh Ardwinda, yang juga juara pertandingan dikir barat Piala Suara Serumpun 2024.

Muzik video 'Ini Baru Raya! 2.0' oleh Mediacorp juga menampilkan barisan pelakon dan penyanyi tempatan, DJ Radio WARNA 942 dan RIA 897 serta anggota Bilik BERITA Mediacorp.
6. Alamak! Terlepas Bus Raya

Tahun ini, Roslan Shah atau lebih mesra disapa sebagai Cik Lan bukan sahaja mengeluarkan satu lagu Raya tetapi dua sekali gus!

Bergabung dengan Yassin Senario, lagu 'Alamak! Terlepas Bus Raya' cukup rancak dan berentak moden.

Dihasilkan MBK Film Studio, lagu ini turut digubah oleh Akie TheFlow dan ditulis oleh Akie dan Cik Lan.
7. Lebaran Bersinar

Penyanyi tempatan dan juara Anugerah 12 pada 1999, Rudy Djoe muncul dengan single Raya, 'Lebaran Bersinar', dengan rentak bossa nova, sekali gus membawa suasana tenang dan penuh harmoni.

'Lebaran Bersinar' menggambarkan semangat muhibah bersama keluarga, kemaafan dan rasa syukur di bulan Syawal.

Ditulis dan dinyanyikan oleh Rudy Djoe, lagu ini meraikan nilai kasih sayang, perpaduan dan keindahan kembali ke pangkuan keluarga.
8. Raya A Go Go!

Penyanyi tempatan Sunny Jackson, yang juga sebahagian daripada kumpulan juara 'Kaki Nyanyi', S.U.I, bakal tampil dengan 'Raya A Go Go!' sempena Lebaran ini.

Diinspirasikan oleh rentak Pop Yeh Yeh, 'Raya A Go Go!' akan dilancarkan di semua platform digital pada 20 Mac ini.

Bak kata Sunny Jackson di laman Instagram beliau: "Kalau lagu ini dimainkan di rumah terbuka… WAJIB MENARI!"
Dengan pelbagai pilihan lagu Raya dengan sentuhan anak watan Singapura, rasa-rasanya mana satu yang menjadi pilihan anda?
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita