Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

4 legenda rok tampil memukau dengan imej lebih segar, hiburkan penonton SG dalam konsert

Empat penyanyi rok legenda menggegarkan panggung The Star Theatre dalam 'Konsert Hister Volume 1 - Otai Sangat Menyengat' yang berlangsung pada Sabtu (1 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Empat penyanyi rok legenda menggegarkan panggung The Star Theatre dalam 'Konsert Hister Volume 1 - Otai Sangat Menyengat' yang berlangsung pada Sabtu (1 Feb).

Inilah pertama kali penyanyi legenda Nash, Zamani, Jatt Ali dan Ameng Spring berkongsi pentas dalam sebuah konsert.

Sepanjang dua jam, para hadirin 'dibuai' dengan dendangan lebih 20 lagu hits oleh empat 'otai' kesayangan mereka itu.
(Penyanyi Nash menghiburkan peminat dalam Konsert Hitster Volume One - Otai Sangat Menyengat, Gambar: Muse+)
Bagi Ameng Spring sendiri, beliau gembira dapat bergandingan dengan idola-idolanya sendiri dan menghiburkan peminat Singapura setelah sekian lama.

"Saya adalah peminat Nash dan Jatt. Sebab dahulu saya menonton konsert mereka. Saya sangat teruja apabila saya menonton penyanyi yang saya pernah jadikan idola, tiba-tiba dapat menyanyi di atas satu pentas dengan saya. Saya rasa seperti satu mimpi yang indah," kata pelantun lagu 'Butakah Cinta' itu kepada wartawan Syawal Yusoff.
(Penyanyi Ameng Spring teruja berkongsi pentas dengan idola-idolanya, Gambar: Muse+)
FESYEN YANG DIREKA KHAS ANAK TEMPATAN

Selain menyanyikan lagu-lagu hits masing-masing seperti 'Khayalan', 'Gerimis Mengundang' dan 'Pada Syurga di Wajahmu', barisan artis itu turut bergaya dengan ketrampilan 'hipster' hasil rekaan anak Singapura, Dicky Ishak.

Berinspirasikan 'rok glamor', setiap busana yang dihasilkan mempunyai sentuhan setiap artis bagi memenuhi citarasa serta keselesaan artis itu tersendiri.

"Saya mempamerkan koleksi yang seakan akan sama tapi berbeza corak dan warna kerana mereka digabungkan dalam satu pentas. Saya ingin menonjolkan sesuatu yang segar yang belum mereka pamerkan dalam persembahan-persembahan yang mereka buat dahulu," kata Dicky yang pernah mereka pakaian untuk Siti Nurhaliza dan kumpulan KRU dari Malaysia.
(Penyanyi Jatt Ali mengenakan fesyen rekaan anak kelahiran Singapura, Dicky Ishak, Gambar: Muse+)
Menurut Dicky, beliau mengambil kira-kira sebulan untuk menyiapkan lebih empat pasang pakaian untuk konsert ini.

Dengan hampir 20 tahun pengalaman dalam industri fesyen, baginya fesyen yang sesuai dapat membangkitkan semangat untuk artis tersebut.

"Perubahan itu dapat juga menaikkan semangat mereka untuk kembali untuk bernyanyi setelah sekian lama berehat. Pakaian itu adalah penting untuk setiap penghibur memakai dan rasakan terbaik apabila mempersembahkan lagu-lagu di atas pentas atau panggung yang besar," tambahnya.
(Penyanyi Zamani menghiburkan peminat dalam Konsert Hitster Volume One - Otai Sangat Menyengat, Gambar: Muse+)
MAHU LUASKAN JENAMA 'HITSTER', TARIK PEMINAT MUDA

Selain menyuntik kesegaran kepada imej artis-artis otai, ia juga antara langkah strategik penganjurnya Muse+ untuk menarik peminat, khususnya generasi muda.

Dengan ini, ia diharap dapat membuka lebih banyak peluang untuk meluaskan lagi jenama 'Konsert Hitster'.

"Trend sekarang sebenarnya anak-anak muda mula mendengar semula lagu-lagu lama. Mereka 'viralkan' semula sebab itu ada banyak lagu-lagu lama yang telah diperbaharukan. Jadi dari situ kami membawa konsep 'hitster' dan ini 'volume one'. Jadi ini permulaan dan yang pertama. Insya-Allah ada edisi yang seterusnya di mana kita dapat membina konsep-konsep yang berbeza dan berlainan," kata Encik Atrez dari Muse+.

Selepas konsert ini, syarikat Muse+ merancang untuk menganjurkan sebuah persembahan yang menggabungkan elemen teater muzikal dengan kisah-kisah seram yang dihoskan mantan DJ radio dan pencipta kandungan, KC pada bulan Mei nanti.
Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan