Skip to main content

Hiburan

3 kereta mewah, 727 barangan peribadi Datuk Seri Vida dilelong RM1 juta

Anggaran Waktu Membaca:
3 kereta mewah, 727 barangan peribadi Datuk Seri Vida dilelong RM1 juta
Proses lelongan kereta mewah dan 727 barangan peribadi milik usahawan sensasi Datuk Seri Vida yang tertangguh sejak Disember tahun lalu, selesai pada Khamis (30 Okt) dengan lelongan bernilai RM1 juta. (Gambar: Bernama)
IPOH: Proses lelongan kereta mewah dan 727 barangan peribadi milik usahawan sensasi Datuk Seri Vida yang tertangguh sejak Disember tahun lalu, selesai pada Khamis (30 Okt) dengan lelongan bernilai RM1 juta.

Perkara tersebut diumumkan Pelelong Berlesen, S. Punithawathi di pekarangan kediaman Datuk Sri Vida di Meru Heights.

Menurutnya, dua pembida mengambil bahagian dalam proses lelongan itu, tetapi seorang sudah menarik diri, lapor Astro Awani.

“Memandangkan seorang pembina telah menarik diri dan tawaran dia tidak sesuai, maka kita ada seorang pembina sahaja yang telah mendaftarkan diri. Maka semua barangan dalam senarai perisytiharan jualan ini akan dijual dengan harga RM1 juta.

“Saya akan memanggil sebanyak tiga kali, panggilan pertama, panggilan kedua, panggilan ketiga berjaya dijual kepada Encik Norzamri bin Abdullah,” katanya lagi.

Sementara itu, Peguam Samir Zainal yang mewakili plaintif, Mohamad Taufik Kamarul Bari berkata, pembida yang berjaya perlu membuat bayaran penuh di Mahkamah Tinggi Ipoh sebelum pukul 4.30 petang Khamis (30 Okt).

Menurutnya, pihak plaintif berpuas hati dengan proses lelongan yang turut dibantu pihak mahkamah dan polis.

Bagaimanapun, katanya lagi, beliau akan berbincang dengan anak guamnya berhubung baki yang dianggarkan RM100,000, termasuk faedah daripada bayaran sebenar.

“Baki termasuk faedah dalam 100,000 lebih itu saya akan dapatkan arahan anak guam. Tapi saya difahamkan bahawa tuntutan tersebut akan dibuat. Jadi, maksudnya akan ada lagi proses,” katanya lagi, seperti dipetik Astro Awani.

Pada 25 November lalu, dianggarkan 727 barangan milik Datuk Seri Vida disita dalam proses yang berlangsung selama lima jam di banglo mewahnya.

Barangan itu disita selepas Datuk Seri Vida gagal menjelaskan bayaran baki tunggakan kepada syarikat kontraktor pembinaan AH Design Communication sebanyak lebih RM1 juta pada 2018.

Selain kereta jenis Toyota Vellfire, BMW X7 dan Toyota Grand Hiace, antara barang yang disita adalah seperti pembakar roti jenama Sharp, penapis air Coway, meja solek, dan peti sejuk, lapor Astro Awani.

Acara lelongan sepatutnya diadakan pada 9 Disember lalu, namun ditangguhkan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Datuk Seri Vida menangguhkan proses itu.
Sumber : Agensi berita/AW/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita