Skip to main content

Hiburan

2 kali konsert ditunda, Awie mohon artis diberi kelonggaran cari rezeki

Para peminat muzik 'rock' pasti hampa mendengar berita baru-baru ini bahawa konsert yang menggabungkan kumpulan Search dengan Awie ditunda buat kali kedua.

Anggaran Waktu Membaca:
2 kali konsert ditunda, Awie mohon artis diberi kelonggaran cari rezeki

Sidang media Awie bersama Search pada Sept 2020 (Gambar: Facebook/Awie al Pamalo)

Diterbitkan : 23 Nov 2020 06:47PM Dikemas Kini : 23 Nov 2020 06:58PM

MALAYSIA: Para peminat muzik 'rock' pasti hampa mendengar berita baru-baru ini bahawa konsert yang menggabungkan kumpulan Search dengan Awie ditunda buat kali kedua.

Rasa kecewa itu bahkan turut diluahkan oleh vokalis kumpulan Wings itu, setelah konsert yang pada awalnya dijadual pada 28 Mac lalu, ditunda ke 12 Disember ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia. Tarikhnya terkini ditunda ke 13 Februari tahun depan.

Tempat persembahan juga turut dipindahkan dari The Bee, Publika ke Stadium Malawati, Shah Alam.

Menyentuh tentang perubahan kali kedua pada konsert itu, Awie berkata beliau dan Search akur dengan keputusan tersebut, namun mengaku tetap rasa kecewa.

"Saya harap cukuplah dua kali tarikh konsert ini ditunda. Takkan ada lagi tarikh baru yang lain pula selepas 13 Februari itu disebabkan pandemik ini. Tolong beri kelonggaran kepada kami, penggiat seni ini untuk terus berkarya. Ini punca rezeki kami, jadi sementara masih boleh sampaikan hasil kerja itu, izinkanlah," kongsi beliau bersama Harian Metro.

"Jangan hanya apabila pilihan raya dan politik boleh pula berkumpul, tetapi untuk orang lain seperti kami penggiat seni, tidak boleh pula. Kami pun tahu situasi COVID-19 ini," katanya.

Beliau menambah bahawa para penggiat seni juga perlu terus mencari rezeki, dan penundaan konsert berkenaan sememangnya menjejas periuk nasi mereka.

"Anggota Search pun sudah berapa lama tak buat konsert. Jadi, beri kelonggaran untuk kami nak berkarya bagi meneruskan kelangsungan hidup dan menyara keluarga.

"Dengan satu konsert yang kami buat ini pun, bukan boleh jadi kaya dan hidup mewah. Tapi cukup bagi mendapatkan pendapatan dan kami hanya nak bekerja. Peminat juga memberi sokongan dengan pembelian tiket.," katanya lagi.

Awie turut menarik perhatian kepada rasa hampa yang dirasakan para peminat yang sudahpun membeli tiket dan mengetepikan masa untuk konsert itu.

"Kasihan juga kepada peminat kami yang sudah membeli tiket. Penat mereka asyik menunggu dan menunggu kerana saya yakin mereka pun ada komitmen lain. Umpama nanti yang dikejar tak dapat, dikendong berciciran," katanya lagi.

Dalam pada itu, Harian Metro melaporkan tiket yang sudah dibeli masih sah digunakan sehingga hari konsert berlangsung pada 13 Februari tahun depan, menurut pihak penganjur.

Selain perubahan pada tarikh dan tempatnya, konsert yang pada mulanya dinamakan Konsert Apologia Search & Awie ditukar kepada Konsert Cinta Buatan Malaysia.

Baru-baru ini, namanya ditukar lagi kepada Projek Bikin Wilayah 2021, merujuk kepada album yang diterbitkan kumpulan Search bersama Awie pada 1998.

Sumber : Agensi berita/BERITAmediacorp/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita