2 filem guna AI sempena Hari Kebangsaan cetus kontroversi di SG
Dua filem yang dijana Ai diinspirasikan oleh Singapura dan akan ditayang pada 9 Ogos cetus perdebatan online. (Gambar: Edenstone, FizzDragon)
Sesetengah pengkritik menganggap filem-filem tersebut sebagai "AI slop" atau kandungan AI bermutu rendah dan mempersoalkan peranan AI yang semakin berkembang dalam pembuatan filem.
Dua projek tersebut - Bersama Majulah dan Trace Project - kedua-duanya mengisahkan rekaan rekaan yang berlatarbelakangkan versi fiksyen Singapura.
Bersama Majulah ialah sebuah filem pendek terbitan studio AI di Singapura, Edenstone. Ia mengisahkan Perbarisan Hari Kebangsaan yang terganggu akibat wabak spora berbahaya yang mengubah orang ramai menjadi zombi. Berlatarkan sebuah negara fiksyen bernama Lionara, filem ini menampilkan tempat-tempat terkenal seperti Marina Bay dan Merlion.
Filem ini dihasilkan oleh pengarah tempatan, Joel Boh, bersama pemenang anugerah Golden Horse, Chan Gin Kai sebagai penerbit eksekutif, serta lagu tema oleh pemuzik tempatan, Dharma Sadasivan. Merupakan terbitan sampingan daripada siri animasi AI Edenstone bertajuk Spore Fall, filem pendek ini akan dilancarkan di laman web siri tersebut pada 9 Ogos.
Sementara itu, Trace Project pula diterbitkan oleh sebuah lagi studio AI berpangkalan di Singapura, FizzDragon, dan akan ditayangkan secara eksklusif sebanyak satu kali pada hari Ahad (9 Ogos) di Golden Village VivoCity.
Filem sepanjang satu jam ini mengisahkan Lin Jia Jun, angkasawan pertama Singapura yang menjejakkan kaki di planet Marikh selepas manusia melancarkan program fiksyen bernama Mars Footprints Programme untuk membina peradaban baharu berikutan kejatuhan bumi.
KRITIKAN TERHADAP "AI SLOP"
Kedua-dua filem ini menerima kritikan online disebabkan oleh visual hasil janaan AI.
Di pelbagai platform seperti TikTok, YouTube, dan Instagram, sesetengah penonton menggelarkan Trace Project sebagai "AI slop" atau "ketinggalan zaman", manakala yang lain menyifatkan watak-wataknya "kaku", "kosong", serta mempunyai "dialog dan sebutan bahasa Inggeris yang teruk". Seorang pengguna menulis bahawa mereka "tidak pasti sama ada filem ini satu sindiran", manakala seorang lagi menyatakan bahawa filem AI ini menandakan "tiada lagi harapan untuk industri filem di Singapura".
Beberapa pengkritik turut menyuarakan rasa tidak puas hati di YouTube, dengan seorang daripadanya menyatakan: "Saya tak percaya 'AI slop' seperti ini boleh masuk berita tempatan. Arahan yang teruk, dialog yang janggal, pelakon bercakap dengan gaya percakapan Amerika, dan jalan cerita yang bersepah. Ini contoh terbaik bila AI tidak sepatutnya digunakan."
Membalas kritikan tersebut, Pax Chen, pengasas dan ketua pegawai eksekutif FizzDragon, mempertahankan Trace Project dalam satu catatan di LinkedIn pada Selasa (4 Ogos).
"Trace Project adalah satu percubaan. Ini bukannya dakwaan bahawa pembuatan filem AI itu sempurna, atau ini satu-satunya cara membuat filem," tulis beliau. "Ia hanyalah sebuah cerita yang dicipta daripada pengalaman dan imaginasi seseorang, serta satu jemputan untuk orang ramai menilai sendiri."
Sementara itu, dalam maklum balas kepada pertanyaan CNA Lifestyle, pencipta Bersama Majulah, Joel Boh, mengakui wujudnya "rasa muak terhadap 'AI slop'". Namun, beliau menafikan filemnya sebagai kandungan murahan dan menegaskan bahawa "jiwa karya ini sepenuhnya adalah hasil sentuhan manusia".
"Jalan cerita, motivasi watak, dan emosi karya ini sudah kami tulis lama sebelum AI digunakan," kata Boh kepada CNA Lifestyle. "AI hanya menguruskan lapisan pelaksanaan – seperti persekitaran, kesan visual, dan skala produksi."
Beliau menambah: "Proses ini memerlukan pengawasan ketat daripada manusia di setiap peringkat: Penulisan prompt, pemilihan babak, suntingan, dan hasil akhir semuanya dikawal oleh pasukan kami. Kami menggelarkannya sebagai karya yang ditulis oleh manusia, dan direalisasikan oleh AI."
PERDEBATAN DI SEKITAR FILEM JANAAN AI
Perdebatan ini berlaku ketika pembuatan filem menggunakan AI semakin mendapat tempat di peringkat antarabangsa.
Syarikat video janaan AI di Amerika Syarikat, Runway, menganjurkan Festival AI tahunannya yang keempat pada bulan Julai, manakala beberapa lagi festival filem AI dijadualkan berlangsung lewat tahun ini.
Pada masa yang sama, institusi filem utama terus menekankan pentingnya kreativiti manusia.
Menurut laporan Reuters, penganjur Festival Filem Cannes tidak melarang AI secara mutlak, namun filem yang dihasilkan terutamanya menggunakan AI tidak layak bertanding untuk anugerah tertinggi, Palme d'Or. Laporan Reuters juga menyebut bahawa syarat Anugerah Akademi (Oscars) yang dikeluarkan pada Mei menyatakan bahawa pelakon dan penulis AI tidak layak untuk pencalonan Oscars.
Bantahan terhadap karya kreatif janaan AI turut datang daripada pengamal industri filem sendiri. Sebagai contoh, The New York Times melaporkan bagaimana kesatuan penulis Writers Guild of America East menamatkan kerjasama 12 tahun mereka dengan Festival Filem Urbanworld pada Julai selepas festival itu memperkenalkan program baharu yang menampilkan filem-filem AI.
Berhampiran tanah air, di media sosial, sebilangan rakyat Singapura melihat kecerdasan buatan sebagai satu cara untuk menjimatkan kos kos produksi dan mengatasi had kreativiti. Namun, ada juga yang berpendapat bahawa kebergantungan kepada AI menghapuskan nilai kreativiti dan emosi sebenar manusia yang amat dihargai oleh penonton.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.