Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

12 lagu mara ke pentas AJL37, diungguli komposer, penyanyi muda

Anggaran Waktu Membaca:
12 lagu mara ke pentas AJL37, diungguli komposer, penyanyi muda

Dihoskan Muaz Mohamed dan Izzue Islam, Separuh Akhir Muzik Muzik 37 menyaksikan 30 lagu bertanding menerusi dua episod yang berlangsung pada Jumaat (25 Nov) dan Sabtu (26 Nov). (Gambar: muzikmuzik_official/Instagram)

Diterbitkan : 27 Nov 2022 06:19PM Dikemas Kini : 27 Nov 2022 06:24PM
SHAH ALAM: Penyanyi dan komposer muda mengungguli keputusan Separuh Akhir Muzik Muzik 37 (SFMM 37) yang diumumkan menerusi siaran langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, pada Sabtu (26 Nov) petang.

Bakat muda dilihat menguasai kebanyakan 12 lagu bakal berentap ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-37 yang bakal berlangsung dari Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil pada 12 Februari tahun depan, menurut BH Online.

Antaranya, penyanyi dan komposer, Aina Abdul yang memenangi Vokal Terbaik, AJL tahun lalu dan tempat kedua AJL 35 menerusi lagu 'Semalam' berjaya menempah tiket ke peringkat akhir menerusi lagu 'Terus Hidup' ciptaan sepenuhnya.

Seterusnya, lagu duet Shila Amzah dan Liza Hanim berjudul 'Bahagiakan Dia' ciptaan Aliff Iskandar, manakala lirik oleh Aliff dan Que Afiq turut memenangi AJL 37.

Sona One dan Joe Flizzow yang berkolaborasi menerusi lagu 'Suatu Malam Di Temasek' ciptaan Sona One, manakala lirik Sona One bersama Joe turut berjaya melangkah ke AJL 37.

Menepati ramalan, lagu 'Korban' nyanyian Ernie Zakri turut memburu gelaran juara AJL. 'Korban' ciptaan sepenuhnya Ernie untuk suaminya, Syamel.

Turut bersaing, lagu 'Anugerah Terindah' nyanyian Alif Satar & The Locos ciptaan Alif Satar, Romeo, Tam Cobain, Efry Arwis dan lirik oleh Alif, Shah Shamshiri dan Romeo, tambah laporan di BH Online lagi.

Lagu 'Debu' ciptaan Mas Dewangga, Jova Devito, Firdaus Rahmat, Mike Chan, Karim Karam, Acap Salim dendangan Dayang Nurfaizah dan Amir Masdi turut mara ke pentas akhir AJL 37.

Tidak ketinggalan, lagu 'Kembali Terang' ciptaan Senna dan Ajin, manakala lirik oleh Senna dinyanyikan oleh Marsha Milan Londoh.

Seterusnya, lagu 'Nang' nyanyian penyanyi Iman Troye ciptaan sepenuhnya oleh Ezra Kong dan A Ramle.

Lagu 'Payung Pelangi' menampilkan anggota kumpulan K-Clique, Noki dan MK ciptaan sepenuhnya dua rapper itu turut memberi saingan pada malam kemuncak AJL 37, tahun depan.

Lagu lain yang turut mara adalah 'Sengsara' nyanyian Khai Bahar ciptaan John Reeves, Firdaus Rahmat dan Omar K.

Selain itu, lagu 'Irama' nyanyian Shiha Zikir dan ciptaan Iqie Hugh, Firdaus Rahmat dan John Jeeves turut terpilih.

Tidak ketinggalan, lagu 'Mainan' nyanyian Naim Daniel ciptaan Firdaus Rahmat, Omar K dan Mas Dewangga, manakala lirik Arizs Ab Rahman.

Semua lagu dinilai barisan juri profesional diketuai oleh Mokhzani Ismail bersama Damien, LY, Azlan Abdul Hassan, Jenny Chin dan Cikgu Shafi.

Dihoskan Muaz Mohamed dan Izzue Islam, SFMM 37 menyaksikan 30 lagu bertanding menerusi dua episod yang berlangsung pada Jumaat (25 Nov) dan Sabtu petang, menurut BH Online.

SFMM 37 turut diserikan dengan persembahan istimewa Ramlah Ram dan Syura menerusi lagu 'Hati Kama', manakala Farahdhiya dan Elyana mendendangkan lagu 'Bertakhta Di Hati' dan 'Tak Tercapai Akalmu'.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan