Skip to main content

Iklan

Iklan

Had keselamatan COVID-19 dilonggarkan bagi sesetengah acara MICE, persembahan & sukan

Had kapasiti dan syarat menetapkan zon bagi MICE (Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran), acara-acara persembahan serta sukan yang melibatkan penonton akan dilonggarkan mulai hari ini (15 Nov) di bawah satu skim perintis. 

Anggaran Waktu Membaca:
Had keselamatan COVID-19 dilonggarkan bagi sesetengah acara MICE, persembahan & sukan

(Gambar fail: Calvin Oh)

Diterbitkan : 15 Nov 2021 08:41PM Dikemas Kini : 15 Nov 2021 08:46PM

SINGAPURA: Had kapasiti dan syarat menetapkan zon bagi MICE (Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran), acara-acara persembahan serta sukan yang melibatkan penonton akan dilonggarkan mulai hari ini (15 Nov) di bawah satu skim perintis.

Pasukan bertindak berbilang kementerian (MTF) COVID-19 mengumumkan demikian di satu sidang media hari ini.

Kementerian Kesihatan (MOH) sebelum ini mengumumkan hasrat untuk merintis lebih banyak keloggaran bagi kegiatan melibatkan individu yang kurang terdedah dan lengkap divaksin, menurut kementerian itu dalam satu kenyataan media berasingan.

Antara acara yang terlibat dalam usaha perintis ini adalah Sidang Asia Institusi Milken pada 15 dan 16 November, Forum Ekonomi Baru Bloomberg dari 16 hingga 19 November serta Transformasi Perindustrian Asia Pasifik 2021 dari 22 hingga 24 November.

Konsert amal dua hari 'After the Rain' oleh penyanyi tanah air, JJ Lin, pada 27 dan 28 November, serta acara seni mempertahankan diri ONE Championship pada bulan-bulan mendatang juga akan disertakan.

Pihak penganjur acara itu masing-masing akan mengeluarkan lebih banyak butiran berhubung peraturan dan langkah pengurusan selamat.

Buat masa ini, sehingga 1,000 orang dibenarkan untuk menghadiri persembahan secara langsung, acara-acara MICE dan sukan jika semua hadirin sudah divaksin.

Individu yang mahu mengambil bahagian dalam acara-acara itu akan dikenakan protokol vaksin dan ujian Singapura yang baru, yang diumumkan pada minggu lalu.

Hasil ujian Tindak Balas Rantaian Polimerasi (PCR) atau ujian pantas antigen (ART) mesti dipaparkan di aplikasi TraceTogether. Kedua-dua ujian itu perlu dilakukan atau diselia oleh penganjur acara atau pengendali tempat, sama ada secara bertemu muka ataupun secara maya, menurut kenyataan media itu.

Skim perintis ini akan dinilai sebelum memutuskan bagaimana untuk memperluaskan protokol itu kepada lebih banyak acara dan persekitaran sebagai sebahagian daripada rancangan lebih meluas Singapura "untuk membolehkan penyambungan semula lebih banyak kegiatan secara selamat", tambah kenyataan itu.

"Dengan vaksin dan ujian, kami tidak sahaja membataskan peserta kepada individu divaksin, kami juga mensyaratkan mereka semua untuk diuji terlebih dahulu. Jadi ini menyediakan lebih perlindungan dan keselamatan," kata pengerusi bersama MTF, Lawrence Wong.

"Berdasarkan hasil usaha perintis ini, jika terbukti berjaya, kami kemudian akan dapat meluaskan protokol sama kepada lebih banyak acara dan persekitaran. Ini adalah cara lain bagaimana kita boleh menyambung semula lebih banyak kegiatan dengan cara yang terkawal dan selamat."

Encik Wong menambah Singapura akan mengambil "pendekatan tambahan langkah demi langkah" dalam melonggarkan langkah-langkah dan bukannya secara mendadak.

"Seperti sudah kami katakan sebelum ini, ia dilakukan dalam cara terkawal. Setiap kali kami membuat satu langkah, kami akan memantau keadaan selama beberapa hari berikutnya atau seminggu dua selanjutnya serta memastikan situasi jangkitan keseluruhan adalah stabil sebelum kami mengorak langkah seterusnya." 

LAPORAN BERKAITAN: 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan